Menu

 

A+ A A-

MENJAWAB KEMUSYKILAN SAUDARA BARU

Saya berhasrat memeluk Islam. Ibu bapa saya juga tidaklah begitu menghalang. Cuma mereka tidak berapa berkenan apabila saya perlu menukar nama asal kepada nama Islam. Mereka berasakan tindakan itu menghina maruah dan keturunan kami. Saya pun seboleh-bolehnya ingin mengekalkan nama asal. Bolehkah saya berbuat demikian jika saya ingin memeluk Islam nanti?

Jawapan : Tentu sahaja boleh. Saudara tidak wajib merubah nama selagi nama itu tidak mengandungi makna syirik dan bertentangan dengan akidah Islam seperti nama dewa atau dewi. Saudara boleh merujuk al-Ustaz isu ke-9 untuk mengetahui prinsip-prinsip pemberian nama.

kata ganti nama

Buang Tatu

Soalan:Saya mempunyai seorang teman wanita berbangsa Cina. Kami telah pun merancang untuk berkahwin. Cuma teman saya ini mempunyai tatu di badannya. Adakah wajib untuk membuang tatu itu terlebih dahulu sebelum memeluk Islam? Setakat yang saya tahu, proses membuang tatu itu sangat menyakitkan.

Jawapan :Tidak perlu. Seseorang yang bertatu tetap sah keislamannya apabila mengucapkan syahadah meskipun ia belum menghilangkan tatu tersebut. Bagi saudara baru, segala dosa semasa kafir dahulu telah terhapus sebaik sahaja memeluk Islam.

Tatu ialah perbuatan menusuk kulit dengan jarum lalu mencampurkan darah yang terkeluar daripadanya dengan dakwat agar berwarna biru atau hitam. Perbuatan ini diharamkan bagi orang Islam.

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum menghilangkan tatu itu setelah masuk Islam. Menurut Ibn Hajar al-Haitami, wajib membuang tatu sekiranya tindakan itu tidak menyebabkan kemudaratan seperti luka dan cacat yang ketara pada tubuh.

Menurut Syeikh al-Ramli dan ramai ulama yang lain pula, tidak wajib meskipun tidak menyebabkan kemudaratan. Demikianlah penjelasan dalam kitab Hasyiah al-Bujairami ‘ala al-Khatib.

Jika dia tidak sanggup untuk membuang tatu itu, maka kami nasihatkan agar dia menyembunyikan kewujudan tatu tersebut. Tujuannya agar tidak terjadi salah faham dalam kalangan orang yang tidak mengetahui keadaannya.

Sertu Pinggan Mangkuk

mangkukSoalan : Saya, isteri dan anak-anak baru memeluk Islam. Namun ibu bapa dan adik-beradik saya di kampung masih belum mendapat hidayah. Saya bercadang untuk pulang bercuti di kampung seperti biasa. Kemusykilannya saya tentang segala peralatan memasak, sudu garpu, pinggan mangkuk, pisau dan seumpamanya, bolehkah kami menggunakannya?

Jawapan: Saya puji niat anda untuk bercuti di keluarga anda yang masih belum Islam. Sikap ini merupakan cerminan akhlak Islam yang terpuji. Islam sangat menganjurkan kita supaya menjaga hubungan dan ikatan silaturahim meskipun dengan keluarga yang bukan Islam.

Hukum menggunakan peralatan memasak orang bukan Islam makruh, tidaklah haram. Saudara juga tidak perlu menyertunya terlebih dahulu meski pernah digunakan untuk memasak babi sekalipun. Memadai anda membasuhnya dengan air sahaja. Demikian penjelasan kitab-kitab fiqah mazhab Syafi‘i seperti al- Majmu‘, al-Iqna‘ dan lain-lain.

Isteri Enggan Peluk Islam

Soalan: Saya sangat tertarik dengan agama Islam dan berminat untuk memeluk Islam. Masalahnya, isteri saya masih belum terbuka hati untuk masuk Islam. Jika saya mengambil keputusan untuk masuk Islam, adakah saya mesti menceraikan isteri saya itu?

Jawapan : Sebagai seorang suami, cubalah untuk terus membujuk isteri saudara. Jelaskan kepadanya keindahan Islam dan kemanisan mengikuti agama yang benar. Jangan memaksanya kerana tiada paksaan dalam beragama. Mudah-mudahan dengan kelembutan dan hikmah, isteri saudara akan tertarik menjadi seorang Muslimah.

Walau bagaimanapun jika isteri saudara tetap menolak, ikatan perkahwinan saudara dengannya tidak serta merta terputus. Hingga masa idahnya berakhir, ia tetap berstatus isteri saudara. Selepas habis tempoh itu, anda dikehendaki untuk pergi ke mahkamah syariah untuk mengesahkan pembubaran perkahwinan dan menguruskan hak-hak tertentu. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk artikel Dr. Fathi Yusuf dalam kolum Fiqah Perkahwinan di halaman 56.

Begitu juga bagi situasi isteri yang masuk Islam tetapi suaminya masih kafir. Maka apabila si suami masuk Islam dalam tempoh isterinya masih dalam idah, maka hubungan pernikahan mereka tetap kekal. Namun jika ia tetap dalam kekufuran, maka hubungan mereka terputus apabila idahnya berakhir.

Belajar Solat

orangSoalan : Saya sudah enam bulan memeluk Islam tetapi masih sering lupa bacaan dan gerakan-gerakan solat. Saya pun kerap terlupa tentang anggota badan yang wajib dibasuh dalam wuduk. Bolehkah Ustaz berikan tip agar saya boleh melakukan amalan ibadah ini dengan baik?

Jawapan: Saya sedar sukarnya menghafal semua bacaan dan gerakan solat untuk orang yang baru masuk Islam. Oleh sebab itu, cubalah untuk selalu hadir solat berjemaah di masjid. Selain pahalanya lebih besar daripada solat bersendirian, saudara juga akan mudah melakukan wuduk dan solat dengan melihat perbuatan para saudara Islam yang lain.

Jika ada perkara yang tidak jelas, saudara boleh bertanya kepada mereka. Saya yakin setiap orang daripada mereka sangat suka membantu saudara dalam perkara ini.

Ziarah Kubur

Soalan : Nenek saya yang bukan Islam meninggal dunia. Bolehkah saya menghadiri majlis penguburan jenazahnya? Bolehkah saya menziarahi kuburnya pada masa-masa akan datang?

Jawapan : Saudari boleh menghadiri penguburan jenazahnya. Saudari juga boleh menziarahi kuburnya pada bila-bila masa sahaja.

Berkata al-Nawawi dalam al-Majmu‘: “Berkata Imam al- Syafi‘i dalam Mukhtasar al-Muzani dan Ashab (turut sependapat): ‘Boleh bagi seorang Muslim untuk mengiringi jenazah kerabatnya yang kafir. Adapun ziarah kuburnya, maka menurut pendapat yang tepat, hukumnya boleh juga.’”

Hanya sahaja saudara tidak boleh mendoakannya, membaca al- Fatihah untuknya, apalagi meminta Allah mengampuni dosanya dan memasukkannya ke syurga. Haram hukumnya melakukan perkara tersebut menurut para ulama.

Allah berfirman mafhumnya: “Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang yang beriman untuk meminta ampun (kepada Allah) buat orang musyrik walaupun mereka itu adalah kaum kerabat (nya) sesudah jelas bagi mereka bahawasanya orang musyrik itu penghuni neraka Jahanam.” (Surah al-Tawbah: 113)

Doa Buat Ibu Bapa

Soalan : Bolehkah saya mendoakan agar ayah saya sihat dan sembuh? Ayah saya seorang non Muslim. Dia terkena serangan jantung dan kini terlantar di hospital.

Jawapan: Boleh, malah sangat dianjurkan. Seorang anak mesti berdoa agar ibu bapanya diberikan kesihatan, dipanjangkan usianya dan dibukakan hatinya agar memeluk Islam.

Rasulullah pernah berdoa untuk kaum Daus yang menentang dakwah Islam. Baginda bersabda maksudnya: “Ya Allah berikanlah hidayah kepada Daus dan datangkanlah mereka kepadaku.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Adapun jika mereka telah meninggal dunia dalam kekafiran, maka tidak boleh lagi mendoakan kesejahteraan buat mereka.

Khilaf Terlalu Banyak

Soalan : Saya seronok mendalami agama Islam. Namun saya menjadi keliru apabila mendapati banyak sekali perbezaan pendapat. Hampir dalam semua perkara, ada pendapat yang kata boleh dan ada yang sebaliknya. Boleh ustaz bagi panduan untuk saya memahami perkara ini?

Jawapan : Fiqah Islam sangat luas dan kaya dengan pendapat ulama. Semua ini membuka kemudahan bagi umat Islam dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan hidup mereka.

Selagi pendapat itu berasal daripada seorang ulama yang diakui keilmuannya, maka pendapat itu boleh saudara jadikan amalan.

Namun begitu, saya nasihatkan supaya saudara merujuk kepada seorang ustaz sahaja yang memiliki tauliah dalam mengajar ilmu agama. Minta nasihat dan bimbingannya dalam masalah akidah dan praktik ibadah yang benar. Saudara tidak perlu merunsingkan fikiran dengan menyemak pelbagai perbezaan pendapat dalam satu masalah.

Jika berminat untuk mendalami hukum fiqah dengan segala aspeknya, saudara boleh mendaftar diri untuk mengikuti kursus-kursus atau program diploma pengajian Islam yang ditawarkan oleh universitiuniversiti Islam. Semakin saudara mendalami hokum Islam, semakin saudara melihat keindahan dan keluasan syariat Islam.

Solat Lima Waktu

Soalan : Hati saya sangat terbuka untuk memeluk agama Islam. Saya telah mempelajari serba sedikit tentang Islam. Soalan saya: Jika saya sudah memeluk Islam, namun tidak melakukan solat lima waktu, adakah saya berdosa?

Jawapan: Tentu sahaja saudara dikira berdosa jika meninggalkan solat. Solat hukumnya wajib. Ia tidak boleh ditinggalkan oleh seorang Muslim.

Mungkin saudara menyangka bahawa solat itu sangat berat untuk dilakukan. Sebenarnya tidak. Malahan solat sangat nikmat dan memberikan kesegaran zahir dan batin. Jika saudara istiqamah melakukan solat, suatu hari nanti saudara sendiri tidak mampu dan tidak sanggup meninggalkannya.

Khatan Sebelum Islam

Soalan : Saya ada teman lelaki non Muslim yang berniat untuk masuk Islam. Keluarga saya tidak menghalang jika kami ingin berkahwin. Masalahnya, keluarga saya mendesak agar seboleh-bolehnya dia berkhatan sebelum masuk Islam dan berkahwin. Namun soal berkhatan itulah satu-satunya penghalang yang membuatkannya tidak bersedia. Harap ustaz dapat membantu.

Jawapan: Masalah ini perlulah ditangani dengan hikmah. Khatan memanglah satu kewajiban. Namun ia bukan isu asas. Jauh lebih penting daripada itu ialah isu iman dan Islam. Imanlah yang akan menentukan keselamatan dirinya di akhirat nanti.

Bagi orang dewasa, khatan bukan perkara mudah. Maka alangkah baiknya jika kita memberikan kesempatan bagi dirinya untuk mengambil masa yang cukup hingga ia benar-benar bersedia.

Perbahasan tentang khatan bagi mualaf pernah dibahaskan secara detil oleh Ustaz Nizam Abdul Kadir dalam kolum Fiqah Non Muslim pada majalah al-Ustaz isu 8. Sila rujuk kolum tersebut untuk perbincangan lebih lanjut.

>Pusaka Ayah

Soalan: Saya mualaf. Ibu saya telah lama meninggal dunia. Bulan lepas, ayah saya pula meninggal dunia. Beliau tidak Islam. Soalan saya: Adakah saya berhak mendapatkan sebahagian daripada harta pusakanya?

Jawapan: Saya turut berduka cita atas musibah yang menimpa saudara. Semoga Allah memberikan kesabaran kepada saudara untuk menghadapi kesedihan ini.

Berbalik dengan soalan, dalam mazhab Syafi‘I saudara tidak berhak mendapat harta warisan peninggalan ayah yang bukan Muslim itu. Perbezaan agama memutuskan tali perwarisan. Seorang Muslim tidak mendapat warisan daripada orang kafir. Begitu juga sebaliknya. Walaubagaimanapun, ada pandangan berbeza daripada mazhab lain.

Rezeki Allah sangat luas. Iman dan Islam yang terdapat dalam hati saudara sekarang ini jauh lebih baik daripada seluruh harta dunia. Allah Maha Berkuasa memberikan kekayaan kepada saudara dari sumber yang lain, insya-Allah.

Wallahu a‘lam.

 

 

Ustaz Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas