Menu

 

A+ A A-

MEMBEZAKAN DARAH HAID DAN ISTIHADHAH

Seorang pelajar mengadu kepada saya bahawa haidnya sudah berlarutan hingga hari ke-17. Adakah dia masih dikira dalam haid atau sebenarnya istihadhah? Bagaimana hendak membezakan antara darah haid dan istihadhah?

Jawapan :Jika darah haid itu datang melebihi 15 hari, maka sebenarnya ia akan disusuli dengan darah istihadhah. Wanita yang mengalami situasi ini mempunyai empat keadaan sebagaimana jadual berikut:

hukum istihadhah

Berikut ialah perincian lanjut:

1.Mubtadia’ah Ghair Mumayyizah

Ini adalah haid pertama baginya. Dia belum pernah haid sebelum ini. Dia tidak boleh membezakan darah yang datang itu sama ada haid atau istihadhah. Dia juga tidak dapat membezakan jenis darah yang keluar itu sama ada kuat atau lemah.

Pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafi‘i ialah haidnya dikira selama sehari semalam sahaja. Hal ini kerana sehari semalam itu ialah tempoh yang diyakini iaitu tempoh minima haid bagi seorang wanita. Maka hari-hari yang berbaki dikira waktu sucinya.

2. Mubtadi’ah Mumayyizah

Dia belum pernah mengalami haid sebelum ini. Namun dia dapat membezakan jenis darah yang keluar.

Menurut Ibn Hajar al-Haitami, kuat atau lemahnya darah dapat dikenali melalui warna, kepekatan, dan bau yang busuk. Jika darah itu pekat dan gelap warnanya, maka itu darah haid. Jika darah itu cair berwarna merah biasa, maka itu darah istihadhah.

3. Mu‘tadah Ghair Mumayyizah

Dia pernah mempunyai kitaran haid dan suci yang tetap namun dia tidak dapat membezakan sifat darah yang keluar.

Jika tempoh darah haidnya melebihi kebiasaan dengan keluar kurang daripada 15 hari, maka darah itu masih dikira haid kerana boleh jadi ia akan terputus sebelum berakhirnya tempoh 15 hari. Ini kerana, tempoh 15 hari adalah tempoh yang paling lama untuk darah haid.

Tetapi, jika ia melebihi 15 hari, maka darah tersebut adalah istihadhah. Maka dia wajib mandi dan melakukan ibadah seperti biasa selepas 15 hari itu. Jika tempoh kebiasaannya enam hari, maka haidnya dikira selama enam hari itu sahaja. Baki sembilan hari yang ditahannya daripada melakukan ibadah sebelumnya dikira sebagai tempoh suci. Dalam keadaan ini, dia perlu menggantikan solat yang ditinggalkannya dalam tempoh baki hari yang suci itu.

Pada bulan kedua, jika darah yang keluar itu melebihi tempoh biasa iaitu enam hari, maka darah itu adalah istihadhah berdasarkan bulan sebelumnya.

4. Mu‘tadah Mumayyizah

Dia mengalami kitaran haid dan suci dalam tempoh biasa dan dia juga dapat membezakan sifat darah yang keluar. Maka status jenis darah yang keluar sama ada haid atau nifas ditentukan olehnya.

Misalnya, jika kebiasaannya darah haidnya keluar selama lima hari, kemudian dalam tempoh berikutnya, darah itu keluar selama 10 hari dengan warna hitam. Baki hari dalam bulan itu, darah yang keluar adalah berwarna merah.

Dalam keadaan ini, darah haidnya ialah darah berwarna hitam yang keluar selama 10 hari. Hal ini kerana hukum yang diambil berdasarkan keupayaannya membezakan sifat darah yang keluar.

headerMandi Setiap Kali Solat

Soalan : Jika sudah ditentukan bahawa darah yang keluar itu darah istihadhah, adakah wanita itu wajib mandi hadas setiap kali hendak solat?

 

Jawapan :Tidak perlu. Jumhur salaf dan khalaf menyatakan bahawa wanita yang didatangi darah istihadhah tidak perlu mandi untuk mengerjakan solat melainkan sekali sahaja iaitu selepas darah haidnya telah berhenti.

Adapun perbuatan Ummu Habibah yang mandi setiap kali hendak solat, maka Imam Syafi‘I menjelaskan bahawa ia tindakan sukarela beliau, bukannya atas perintah Rasulullah.

Nabi hanya memerintahkan mandi hanya sekali sahaja: “Apabila darah haid datang, maka tinggalkanlah solat dan apabila ia telah berhenti, maka mandilah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jadi isu ini kembali kepada prinsip asas: Hukum asal bagi suatu perkara adalah tidak wajib melainkan terdapat dalil yang menetapkan sebaliknya.

Wallahu a‘lam.

 

 

Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas