Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Feqah Amali

Soal Jawab - Feqah Amali

Soalan: Bolehkah orang perempuan sambut salam tangan lelaki Cina dan India apabila dia hulur dahulu untuk salam?

Jawapan: “Tok sah” kata orang Cina dan India, tok imam pun tidak boleh salam. Lelaki sama lelaki dan perempuan sama perempuan sahaja boleh salam. Kita orang Islam. Apa makna Islam? Islam maknanya surrender atau menyerah. Kerana itu apabila solat, kita mengangkat kedua-dua tangan untuk takbir, menunjukkan kita surrender. Justeru, kita kena surrender dengan segala hukum-hakam Tuhan.

Ustaz Azhar Idrus
(Macam-macam Musykil, Al-Ustaz isu No.4)

Soalan: Apakah hukum menemui bomoh?

Jawapan: Sebenarnya perkataan bomoh itu digunakan oleh orang Melayu iaitu orang yang mengamalkan perubatan. Kalau orang Inggeris cakap doktor dan kalau orang Arab cakap tabib. Bomoh kalau dia berubat dengan cara yang tidak melanggar syarak, maka hukumnya harus. Tetapi kalau mengamalkan perkara haram seperti nujum, kahin, tuduh orang dan lain-lain, maka hukumnya haram. Begitu juga dengan doktor. Kalau dia melakukan perubatan yang tidak melanggar syarak, maka hukumnya harus. Tetapi kalau melanggar syarak seperti menukarkan jantina, bayi tabung uji dan sebagainya, maka hukumnya haram.

 

Ustaz Azhar Idrus

(Macam-macam Musykil, Al-Ustaz isu No.4)

Soalan: Apakah hukum memakai pakaian bergambar? Kadang-kadang pada baju berunifom terdapat gambar harimau?

Jawapan: Kalau gambar tidak bernyawa hukumnya harus. Tetapi jika gambar bernyawa hukumnya makruh. Sekiranya gambar-gambar tersebut gambar perempuan seksi, maka hukumnya haram.

Ustaz Azhar Idrus

(Macam-macam Musykil, Al-Ustaz isu No.4)

Soalan: Apa hukumnya dari segi syarak bagi seseorang yang mengambil manfaat daripada usaha orang lain dengan menaqalkan terus tulisan orang lain tanpa disebut dari mana diambil perkataan itu? Adakah ia dikira mencuri dengan makna yang sebenarnya (kalau menaqalkan tanpa menyebut sumber asal)?

Jawapan: Harus mengambil (menaqalkan) dari segi uruf dan syaraknya daripada kitabkitab yang lain dengan syarat disandarkan diakhirnya nota tepi sumber yang diambil (dinaqal) iaitu tuan punya tulisan itu. Juga disyaratkan perkara yang dinaqal itu mengikut kadar yang sesuai seperti beberapa baris perkataan, satu atau dua muka surat dengan disyaratkan menyebut tuan punya perkataan tersebut. Kalau perkara yang dinaqalkan itu lebih daripada kadar kebiasaannya atau tidak disandarkan kepada penulis asalnya, maka dia dikira khianat dan mencuri seperti mencuri harta walaupun tidak dikenakan had kerana tidak cukup syarat. Kalau dia mengambil idea seseorang dan merencanakan sendiri penulisan itu dengan menulis berlainan dengan teks asal, maka diharuskan juga.

Dr. Wahbah al-Zuhaili
(Fatwa, Majalah Al-Ustaz Isu 4)

Ulama besar Syiria, pakar fiqah muqaran (perbandingan antara mazhab) dengan karya terkenalnya kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Pernah berguru Syeikh Mahmud Syaltut dan Syeikh Muhammad Abu Zuhrah. Kini Merupakan dekan Jabatan Fiqah Islam, Universiti Damsyik. Juga merupakan pakar rujuk di Majmak Fiqhi Islami OIC, Amerika, India dan banyak lagi institusi agama seluruh dunia.

Soalan: Apakah hukum sekiranya ahli keluarga tidak membenarkan berjihad di Iraq dalam konteks sekarang?

Jawapan: Harus berjihad tanpa izin isteri atau ibu bapa. Ini kerana jihad masa kini sudah menjadi fardu ain. Saya memohon kepada Allah petunjuk kepada umat Islam yang bekerjasama dengan golongan penjajah untuk membunuh saudara mereka kerana ia perbuatan khianat dan dosa besar. Ia akan membawa kepada kemusnahan dan keburukan hasil daripada perbuatan mereka sendiri (yang bersekongkol dengan penjajah).

Dr. Wahbah al-Zuhaili
(Fatwa, Majalah Al-Ustaz Isu 4)

Ulama besar Syiria, pakar fiqah muqaran (perbandingan antara mazhab) dengan karya terkenalnya kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Pernah berguru Syeikh Mahmud Syaltut dan Syeikh Muhammad Abu Zuhrah. Kini Merupakan dekan Jabatan Fiqah Islam, Universiti Damsyik. Juga merupakan pakar rujuk di Majmak Fiqhi Islami OIC, Amerika, India dan banyak lagi institusi agama seluruh dunia.

Soalan: Saya dapati ramai anak murid saya masih tidak pandai baca al-Quran walaupun sudah melangkah ke sekolah menengah. Apa hukumnya kepada ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab memberikan pendidikan agama kepada anak-anak?

Jawapan: Ayah wajib memberikan pendidikan fardu ain kepada anak-anaknya, sama ada dia sendiri yang mengajar atau diserahkan kepada orang lain. Jika tidak, si ayah itu berdosa. Di akhirat kelak dia akan disoal. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “ Setiap orang daripada kamu ialah pemimpin. Dan setiap orang daripada kamu akan bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya.” (Riwayat al- Bukhari dan Muslim)

Begitu juga sabda Rasulullah yang bermaksud: “Memadailah seseorang cukup berdosa kerana mengabaikan orang yang menjadi tanggungannya.” (Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i)

Bagaimanapun sekiranya anak itu sudah sedar dan terutamanya yang sudah baligh, maka hendaklah dia belajar sendiri. Tidak payah menyalahkan sesiapa.

Datuk Haji Ismail Kamus

(FIQAH HARIAN, Majalah Al-Ustaz Isu 5)

Soalan: Ada seorang wanita berusia 22 tahun di tempat saya bekerja bangga dengan perbuatan maksiatnya dan melanggar undang-undang, iaitu menjadi perempuan simpanan seorang bergelar Datuk, minum arak dan memandu tanpa lesen. Dia begitu berbangga kerana hidup agak mewah hasil perbuatannya itu. Disebabkan jauh daripada keluarga, dia rasa bebas dan sering mengatakan haknya untuk melakukan apa saja. Apakah yang perlu saya lakukan untuk menghalang perbuatan maksiat ini? Jika saya mengambil jalan mudah yakni mengabaikannya, adakah saya dikategorikan sebagai subahat dengannya kerana tidak bertindak apa-apa?

Jawapan: Seorang Islam bertanggungjawab untuk menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Atas tanggungjawab ini, anda tidak seharusnya berdiam diri sahaja. Carilah jalan seperti menasihatinya dengan sebaik mungkin atau menghubungi ahli keluarganya. Hadis Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya, apabila tidak mampu dengan lidahnya dan apabila tidak mampu dengan hatinya. Demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Bukhari dan Muslim)

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Bolehkah mencabut bulu kening yang tumbuh lebat? Saya pernah terdengar ada pendapat bahawa bulu terbabit tidak termasuk sebagai kening dan boleh dicabut sekiranya berselerak hingga ke kelopak mata, malah menjadi ejekan rakan.

Jawapan: Islam melarang mencabut bulu kening dengan tujuan untuk menjadikannya nipis (al-nams). Ini termasuk dalam cara berhias secara berlebihan dan tidak sepatutnya dilakukan. Terdapat keterangan hadis yang melarang berbuat demikian. Diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a. dalam sebuah hadis Mauquf, katanya; “Allah mengutuk para wanita yang mentatu dan ditatukan kulitnya, yang mencabut bulu alis mata dan yang dicabut alis matanya, para wanita yang mengikir (mengasah) giginya untuk kecantikan dan yang mengubah-ubah ciptaan Allah.”

Hadis lain selanjutnya menjelaskan bahawa; “Rasulallah s.a.w. melaknat perempuan yang mencukur atau mencabut bulu alis atau yang diminta dicukur atau dicabutnya.” (Riwayat Abu Daud, dengan sanad Hassan, dalam Fathul Bari) Imam Hambali berpendapat kalau perempuan mencukur alis, meruncing bulu matanya dan mewarna wajah dengan alat solek dengan izin suami dibolehkan, kerana ia termasuk bersolek untuk suami. Tapi kalau dilakukan bukan untuk suami, diharamkan.

Tapi Imam Nawawi memperketatkan hukumnya dan mensifatkan sebarang perbuatan mencukur bulu kening sama sekali tidak dibolehkan. Kerana perbuatan mencukur alis tidak dianggap bersolek, tapi mengubah ciptaan Allah. Sandarannya adalah nas-nas (hadis) di atas.

Bagaimanapun, membuang bulu pada bahagian muka yang lain bagi melambangkan kewanitaan dan bagi menjaga maruah diri daripada ejekan masih dibenarkan, tapi khusus untuk seseorang yang berkenaan sahaja.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Saya mempunyai parut pada muka sejak kecil. Ibu memberitahu saya parut itu adalah tanda lahir. Tetapi bagi saya, ia menyebabkan saya berasa rendah diri dan membuatkan saya tidak yakin dengan diri sendiri. Pelbagai ubat saya cuba, namun kesan parut itu tidak hilang. Bolehkah saya menghilangkannya melalui pembedahan atau apa sahaja? Kemudian mengenai bulu kening saya yang terlalu tebal dan bercantum. Hal ini menyebabkan orang ramai memandang semacam pada saya dan membuatkan saya rasa tidak selesa. Jika boleh, saya ingin mencukur bulu kening supaya tidak kelihatan bercantum, supaya saya tidak kelihatan seperti orang jahat. Apakah cadangan terhadap masalah saya ini?

Jawapan: Menghilangkan parut dan aib diri diharuskan. Bagaimanapun, pandangan mengenai bulu kening sedemikian adalah tidak benar. Baik dan jahat dalam Islam diukur berdasarkan perbuatan dan niat seseorang.

Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Saya merancang untuk melakukan ‘crowning’, menampal gigi palsu di atas akar gigi asal. Apa hukum seseorang membuat ‘crowning’ atau ‘bridge’ pada gigi mereka?

Jawapan: Harus untuk seseorang membuat ‘crowning’ atau ‘bridge’ bagi tujuan menjaga kesihatan gigi dan diri seseorang.

 Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu Perdana)