Menu

 

A+ A A-

TIDAKKAN MUNDUR JIKA JUJUR

JUJUR ialah salah satu sifat yang wajib ada dalam senarai pemilihan calon, tidak kiralah sama ada untuk mencari kawan, pasangan hidup mahupun staf bawahan. Betul tak? Cuba anda tanya pada kawan-kawan atau sesiapa sahaja, adakah mereka suka berteman atau mempunyai apa-apa hubungan dengan seseorang yang telah diketahui ketidakjujurannya? Jika ditanya pada diri sendiri pun, saya pasti ramai yang menjawab tidak. Mengapa? Mungkin antara jawapan kita: “Tak baiklah tak jujur, susahlah orang tak jujur ni, mana boleh percaya kalau orang tak jujur,” dan pelbagai lagi sebab yang lain.

Muhasabah Jujur

1Apa pun jawapan dan alasan yang diberikan, apa yang penting adakah kita terlebih dahulu mempunyai sifat jujur itu sendiri? Siapa pun kita, apa sahaja jawatan kita, di mana sahaja kita berada, pasti ada tanggungjawab yang digalas yang memerlukan kita untuk bersifat jujur. Tidak kiralah sama ada seorang pelajar (tidak meniru kerja rumah), pekerja pejabat (tidak mencuri atau menggunakan alatan pejabat sewenangnya), jurujual (tidak menjual barang rosak), guru (tidak mencuri tulang ketika waktu mengajar), mahupun pembantu rumah (tidak mendera anak yang diasuh semasa ketiadaan majikan). Semuanya memerlukan 3kejujuran untuk memastikan tanggungjawab yang diamanahkan dapat disempurnakan.

Kita bimbang apabila meneliti mafhum hadis Rasulullah s.a.w. tentang ketidakjujuran: “Ada tiga tanda orang munafik; apabila berkata dia berdusta, apabila berjanji dia memungkirinya dan apabila diamanahkan dia mengkhianatinya.” (Riwayat al Bukhari dan Muslim) Adakah kita mahu tergolong di dalamnya? Nauzubillah.

Mari kita berfikir sejenak, sudahkahkita memulangkan buku atau CD yang dipinjam daripada kawan kita, pernahkah kita membocorkan rahsia seseorang sedangkan kita telah berjanji untuk tidak memecahkannya? Adakah anda benar-benar mengulang kaji pelajaran seperti yang dipesan oleh ibu bapa walaupun mereka tiada di rumah atau adakah anda mengaku melakukan kerja rumah sendiri sedangkan ia ditiru daripada rakan anda?

Ubat Penenang

Apa yang akan kita alami sekiranya tiada kejujuran dalam setiap tindakan kita? Pastinya gelisah, risau dan bimbang sekiranya perkara sebenar diketahui, bukan? Di sinilah pentingnya kejujuran kerana ia umpama ubat penenang atau pelampung yang melindungi kita daripada terus lemas! Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda: “Tinggalkanlah apa-apa yang membuatmu ragu dan ambil apa-apa yang tidak menimbulkan keraguan, kerana sesungguhnya kejujuran itu ialah ketenangan dan dusta itu ialah keresahan.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

Menarik bukan? Ramai yang memberikan alasan untuk keluar bersiar-siar dan pergi bercuti sebagai cara untuk mencari ketenangan, sedangkan Islam telah memberikan satu cara mudah untuk tenang, iaitu dengan bersifat jujur!

Namun, ada kalanya kejujuran juga pahit untuk ditelan dan biasanya kejujuran sering dikaitkan dengan kanak-kanak. Kejujuran seperti pil atau ubatan yang perlu diambil ketika sakit, walaupun pahit untuk ditelan, tetapi ia diperlukan untuk sembuh. Moga-moga kejujuran kita menjadi salah satu lorong untuk masuk ke syurga-Nya. Amin.

ZARITA HJ KASIM

Sumber artikel daripada GEN-Q 10


 

Zarita Hj Kasim

Merupakan kolumnis di Telaga Biru untuk majalah Gen-Q serta Fellow PPLI di Institute of Islamic Understanding Malaysia (IKIM). Pernah memegang jawatan sebagai pensyarah separuh masa (Media Elektronik) di IIUM serta produser dan DJ di IKIM fm.

 

Kembali ke atas