Soalan: Talak terletak pada suami. Apa hukum isteri minta talak setiap kali berlaku pertengkaran dan ia dilakukan di hadapan anak-anak?
Jawapan: Ini masalahnya orang perempuan. Ia tidak faham. Talak milik suami, isteri tidak ada talak. Allah tidak beri ia talak kerana orang perempuan tidak ada kesabaran. Kalau dia ada talak, empat kali sehari dia talak suaminya kerana tidak sabar. Oleh sebab itulah kuasa talak hanya diberikan kepada orang suami kerana orang lelaki kuat sabar. Jahat bab lain, tetapi sabar mengatasi perempuan pada keseluruhan. Perempuan apabila suami meninggal dunia, dia tidak boleh kahwin terus tetapi ia kena bersabar dahulu sebelum berkahwin lain dan itulah dipanggil idah. Kalau tiada idah, mungkin kahwin terus. Berlainan dengan lelaki apabila isteri mati, ia boleh kahwin lain tetapi orang lelaki tidak buat begitu kerana kesabaran yang kuat.
Apabila bergaduh sikit minta cerai. Itulah yang masalah. Kerana itu apabila seorang lelaki akad nikah, ia sebenarnya menerima masalah yang besar. Kerana macam-macam kerenah perempuan yang akan dihadapinya. Biasanya kahwin ini apabila bergaduh, lepas tu baik. Apabila bergaduh lagi lepas tu baik. Jangan bawa tabiat keras kepala, kerana ia akan membawa masalah. Kalau kita berbalah dengan suami, mungkin suami kalah. Tetapi dengan Allah nanti macam mana? Sudah tentu tidak lepas. Kena ingat hidup kita ini bukan selama-selama. Nanti kalau kita mati macam mana? Jadi, kalau boleh jangan minta cerai. Sabarlah kerana sabar itu pahala.
Ustaz Azhar Idrus
(Macam-macam Musykil, Al-Ustaz isu No.4)
Soalan: Saya telah berbalah dengan isteri saya dengan menyatakan: “Aku ceraikan kamu talak tiga dan engkau jadi haram bagiku serta tidak akan bersama denganku selamanya. Niat saya adalah untuk menceraikannya. Tiba-tiba isteri saya telah memberi peringatan kepada saya bahawa saya juga menyebut perkataan: “Engkau haram bagiku.” Dia juga datang ke rumah keluarga saya dengan sebab-sebab tertentu. Soalannya ialah: Adakah telah jatuh talak satu? Soalan kedua: Saya telah menyesal kerana menceraikannya dan ingin merujuk dengannya semula.
Jawapan: Ya, dikira bercerai talak satu kerana niat saudara secara jelas ingin bercerai. Namun talak tadi dikira jatuh tiga di sisi 4 mazhab. Sekiranya demikian, isteri kamu itu jadi haram buat selama-lamanya sehingga dia menikahi lelaki lain. Menurut pendapat Imam Ibn Taimiyah dan Undang-undang Syria, talak tersebut dikira jatuh talak satu. Saudara boleh rujuk semula isteri saudara itu pada masa iddahnya. Kalau rujuk selepas iddah hendaklah dibuat akad nikah yang baru.
Dr. Wahbah al-Zuhaili
(Fatwa, Majalah Al-Ustaz Isu 4)
Ulama besar Syiria, pakar fiqah muqaran (perbandingan antara mazhab) dengan karya terkenalnya kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Pernah berguru Syeikh Mahmud Syaltut dan Syeikh Muhammad Abu Zuhrah. Kini Merupakan dekan Jabatan Fiqah Islam, Universiti Damsyik. Juga merupakan pakar rujuk di Majmak Fiqhi Islami OIC, Amerika, India dan banyak lagi institusi agama seluruh dunia.
Soalan: Saya seorang wanita yang mempunyai pekerjaan tetap dengan gaji yang agak memuaskan sesuai dengan ijazah yang saya miliki. Malangnya saya belum bertemu jodoh kerana kehidupan sosial saya yang terbatas. Bolehkah saya meminang lelaki dan melaksanakan nikah misyar?
Jawapan: Tidak ada masalah meminang lelaki jika mengikut batas syariat. Begitu juga melaksanakan apa juga jenis nikah asalkan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Antaranya ada wali, ada pengantin lelaki dan perempuan, ada ijab dan kabul, ada mahar dan ada dua orang saksi. Cukup sempurna rukun nikah maka nikah itu sah. Walaupun maharnya tertangguh, misalnya hutang, maka nikah itu tetap sah. Cuma dalam kes ini isteri berhak menahan dirinya dari pada bersama suami sehingga suami membayar maharnya. Dia berhak tidak menyerahkan dirinya selagi suami tidak melunaskan kesemua jumlah maharnya. Sampai ke peringkat selagi suami tidak membayar mahar maka isteri berhak untuk menahan dirinya daripada bersama dengan suami. Maka itu hukumnya boleh. Tetapi sekiranya atas pujukan suami dia bersedia menyerahkan diri walaupun kali pertama dengan janji kononnya pada kali berikutnya dia tidak akan minta selagi tidak dibayar mahar, maka dengan penyerahan pertama sudah cukup untuk suami mendapat yang berikutnya walaupun dia masih berhutang dengan mahar. Jadi nikah ini asalkan bersyarat hukumnya sah. Begitu juga halnya dengan nikah misyar yang mana isteri tidak menuntut nafkah daripada suami seperti yang sepatutnya. Oleh sebab isteri sudah ada kerjaya dan pendapatannya sendiri maka dia menggugurkan tuntutan tersebut. Isteri yang menggugurkan tuntutan atau tidak mahu menerima nafkah daripada suami tidak mempengaruhi sahnya nikah jika segala rukunnya sempurna seperti diterangkan di atas. Begitu juga dengan kehidupan berumah tangga. Jika tanpa nafkah daripada suami, kehidupan suami isteri aman damai, harmoni dan bahagia, maka tiada masalah. Namun isteri tetap boleh menuntut nafkah tersebut pada masa-masa akan datang seandainya keadaan memerlukan demikian. Walaupun disyaratkan pada awal perkahwinan, tetapi soal nafkah suami kepada isteri ialah ketetapan daripada Allah. Katalah sebagai contoh isteri yang nikah misyar tadi sudah tidak bekerja dan duduk di rumah menguruskan rumah tangga dan anak-anak, maka dia berhak menuntut kembali nafkah daripada suaminya.
Ustaz Fadzli al-Yamani
Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur
(Majalah Solusi Isu Perdana)
Soalan: Saya akan memperoleh cahaya mata yang pertama tidak lama lagi, insya-Allah. Mohon ustaz jelaskan adab-adab menyambut kelahiran bayi?
Jawapan: Tahniah kepada saudara yang akan memperoleh cahaya mata. Di sini, saya hendak mengemukakan pandangan Imam al-Ghazali berkenaan adab-adab menyambut kelahiran cahaya mata iaitu:
1. Jangan terlalu gembira apabila menerima anak lelaki atau terlalu dukacita apabila mendapat anak perempuan. Berapa ramai orang yang dianugerahi anak lelaki berasa kesal di kemudian hari. Dia berangan kalaulah anak itu tidak dilahirkan sama sekali atau anak itu perempuan. Bahkan menerima anak perempuan itu ada kalanya lebih besar pahalanya. Hal ini sebagaimana hadis daripada Anas bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai dua orang anak perempuan atau saudara perempuan, lalu ia berbuat baik kepada kedua-duanya selama ia berdamping dengan mereka, nanti kelak di dalam syurga, saya dan dia seperti dua jari ini.” (Riwayat Ibn Hibban)
2. Melaungkan azan di telinga bayi sebaik sahaja ia dilahirkan.
3. Memberikan nama yang baik. Sesiapa yang telah diberikan nama yang tidak baik, sunat diubah nama itu dengan nama yang lain.
4. Aqiqah iaitu menyembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki atau seekor kambing bagi anak perempuan. Kemudian disedekahkan emas atau perak seberat rambut yang dicukur pada hari ketujuh.
5. Tahnik atau disebut belah mulut iaitu dengan memasukkan sedikit benda manis seperti kurma ke dalam mulut bayi itu.
Datuk Haji Ismail Kamus
(FIQAH HARIAN, Majalah Al-Ustaz Isu 5)
Soalan: Setiap kali hari cuti saya ingin berehat di dalam bilik, kerana keletihan. Tetapi isteri saya selalu keluar masuk bilik, kadang-kadang tanpa bertutup pintu. Sementara anak-anak pula kadang-kadang masuk ke dalam bilik itu dengan bebas sekali. Saya kadang-kadang berasa rimas dengan suasana itu. Apa pandangan Islam dalam hal ini.
Jawapan: Bagi menjawab persoalan ini, anak-anak perlu diberitahu adab-adab meminta izin memasuki bilik ibu bapa ketika ibu bapa berada dalam suatu situasi yang tidak ingin ada seorang pun melihat mereka, termasuk anak-anak kecil.
Secara tegas al-Quran menjelaskan adab kekeluargaan dalam Surah al-Nur: 5859): “Wahai orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum solat Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan (pada waktu) tengah hari, dan sesudah solat Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya).
Kamu dan mereka tidaklah bersalah, selain (di luar) daripada tiga masa tersebut, (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. “Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya); dan (ingatlah) Allah maha mengetahui, lagi maha bijaksana. Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang (yang telah cukup umur) yang tersebut dahulu meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Ayat di atas menjelaskan dasar-dasar pendidikan keluarga tentang adab anak-anak kecil meminta izin kepada ibu bapa, ketika mereka masih berada di bawah masa baligh. Telah ditetapkan dalam tiga keadaan, anak wajib meminta izin kepada ibu bapa mereka: Pertama, sebelum solat (Fajar) Subuh. Sebab, ketika itu biasanya ibu bapa atau pihak yang mempunyai bilik khusus, sama ada ahli keluarga pihak lelaki atau perempuan, masih tidur dan tentu berkeadaan tidak sedar diri.
Kedua, pada waktu Zuhur. Sebab ketika itu ibu bapa atau pihak yang mempunyai bilik khusus, sama ada ahli keluarga pihak lelaki atau perempuan, sedang berada dalam keadaan pakaian yang tertanggal atau separuh tertanggal.
Ketiga, setelah solat Isyak. Sebab, waktu itu adalah waktu ibu bapa atau pihak yang mempunyai bilik khusus, sama ada ahli keluarga pihak lelaki atau perempuan sedang rehat atau pada waktu tidur.
Pada ketiga-tiga masa itu wajiblah meminta izin dahulu sebelum masuk ke dalam bilik berkenaan. Kerana meminta izin pada waktu itu mempunyai nilai pedagogi (kaedah dan prinsip pendidikan dan pembelajaran) tentang dasar-dasar ketika bersama keluarga. Sehingga anak-anak memasuki kamar keluarganya, ia tidak akan dikejutkan oleh suatu keadaan yang tidak baik untuk dilihat. Jika anak-anak sudah sampai usia dewasa atau masa baligh, hendaklah mereka diajar adab-adab meminta izin di dalam tiga waktu ini.
Ustaz Fajar Siddiq
(Majalah Solusi Isu Perdana)
Soalan: Saya mempunyai seorang adik perempuan yang amat mesra dengan suami saya. Kebetulan dia tinggal serumah dengan kami di Kuala Lumpur. Sebab adik saya baru bekerja dan emak saya suruh tinggal dengan saya untuk menjaganya. Adik saya tu sangat bebas keluar masuk ke dalam bilik saya, walaupun ketika suami saya bersendirian. Hati saya tidaklah mensyaki apa-apa. Tetapi lama-kelamaan perasaan cemburu saya mula timbul, kerana melihat ia begitu mesra pula dengan suami saya, lebih-lebih lagi ketika mereka berdua ada di dalam bilik. Apakah hukumnya pergaulan itu?
Jawapan: Di antara perkara yang diharamkan Islam ialah bersendirian/berdua-duan seorang lelaki dengan seorang perempuan lain yang bukan mahram. Yang dimaksudkan bukan mahram adalah bukan isteri, bukan salah satu kerabat yang haram (mahram) dikahwini untuk selama-lamanya. Sistem kekeluargaan dalam Islam ini diatur demi menjaga kedua insan yang berlainan jenis dari godaan perasaan-perasaan yang tidak baik yang biasa bergelora dalam hati ketika bertemunya dua insan yang berlainan jenis itu, tanpa ada orang ketiganya, yang mana ketika itu syaitan akan menjadi pihak ketiga bagi menghasut perasaan dan nafsu mereka.
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka jangan sekali-kali dia bersendirian dengan seorang perempuan tanpa bersama mahramnya, kerana yang ketiganya ialah syaitan.” (Riwayat Ahmad)
Imam al-Qurtubi dalam menafsir firman Allah yang berkenaan dengan isteri-isteri Nabi, iaitu yang tersebut dalam surah al-Ahzab ayat 53, yang ertinya: “Apabila kamu minta sesuatu kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari balik tabir. Kerana yang demikian itu lebih dapat membersihkan hati kamu dan hati mereka itu” mengatakan: “Maksudnya perasaan-perasaan yang timbul dari orang lelaki terhadap orang perempuan, dan perasaan-perasaan perempuan terhadap lelaki, yakni cara seperti itu lebih kuat untuk meniadakan perasaan-perasaan bimbang dan lebih dapat menjauhkan dari tuduhan yang bukan-bukan dan lebih positif untuk melindungi keluarga dari fitnah.”
Ini bererti, bahawa lelaki tidak boleh percaya pada diri sendiri dalam hubungannya dengan masalah bersendirian dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya. Oleh kerana itu menjauhi hal tersebut akan lebih baik dan lebih dapat melindungi serta lebih sempurna dalam penjagaan maruah.
Secara khusus, Rasulullah ada memperingatkan tentang lelaki yang bersendirian dengan ipar. Sering terjadi di kalangan kita sikap menganggap ringan, kerana sudah terbiasa sedangkan hal itu dipandang besar oleh Rasulullah s.a.w., kerana peranan syaitan tidak akan melepaskan peluang untuk mengambil kesempatan membisikkan keinginan jahat, sehingga membangkitkan nafsu antara mereka, lantaran itu boleh membawa kepada zina.
Berkhalwat dengan ipar lebih hebat bahayanya daripada berkhalwat dengan orang lain, dan fitnah daripadanya pun adalah lebih kuat. Sebab seorang suami tidak akan merasa kekok jika iparnya keluar masuk rumah. Situasi ini tidak berlaku sama sekali dengan orang lain. Tetapi dalam keadaan kebiasaan itulah, syaitan akan mengambil kesempatan meniup bisikan jahat yang membangkitkan naluri seks yang sedia berada di dalam diri baik si lelaki mahupun si perempuan.
Rasulullah s.a.w. bersabda sebagai berikut: “Hindarilah keluar masuk rumah seorang perempuan.” Kemudian ada seorang lelaki dari sahabat Ansar bertanya: “Ya Rasulullah! Bagaimana pendapatmu tentang ipar?” Maka jawab Nabi s.a.w.: “Bersendirian dengan ipar itu sama dengan menempah maut.” (Riwayat Bukhari).
Yang dimaksud ipar, ialah keluarga isteri/keluarga suami. Rasulullah s.a.w. menyifatkan berkhalwat antara ipar boleh membawa bahaya dan kehancuran, iaitu boleh membawa hancurnya agama. Kerana akan membangkitkan rasa cemburu dan terjadinya maksiat; dan hancurnya ikatan suami isteri bila lafaz cerai mudah diungkap bila timbul cemburu, syak wasangka; serta membawa kehancuran hubungan sosial apa bila hubungan antara keluarga itu sudah ada perasaan berburuk sangka.
Bahayanya ini bukan hanya sekadar kepada naluri semulajadi manusia dan perasaan-perasaan yang timbul saja, malah akan mengancam keharmonian rumah tangga suami-isteri serta keluarga kedua belah pihak yang boleh jadi bahan umpatan dan fitnah.
Ustaz Fajar Siddiq
(Majalah Solusi Isu Perdana)
Soalan: Apakah dalil yang membolehkan seorang lelaki melihat calon isterinya sebelum menikah. Bilakah waktu yang sesuai untuk melihat? Adakah mesti meminta izin terlebih dahulu? Apakah boleh bertemu secara berulang-ulang?
Jawapan: Tujuan pernikahan adalah untuk ketenangan jiwa dalam usaha membentuk keluarga yang mawaddah dan rahmah. Maka, setiap pasangan dituntut untuk teliti dalam memilih pasangan hidupnya. Islam menganjurkan bagi lelaki untuk melihat bakal isterinya dengan tujuan untuk meminangnya.
Nabi s.a.w. bersabda kepada Mughirah bin Syu’bah sewaktu dia berazam untuk meminang seorang wanita: “Lihatlah perempuan itu semoga ia akan mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua.”(Riwayat Tirmizi)
Sahal bin Saad r.a. berkata: “Seorang perempuan datang menemui Nabi dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku datang untuk menyerahkan diriku kepadamu.” Nabi memerhatikan perempuan itu atas dan bawah kemudian Baginda menundukkan kepalanya.” (Riwayat Bukhari)
Maksud “menyerahkan diriku’ itu adalah “menyerahkan urusan diriku kepadamu”, sama ada mengahwininya tanpa mas kahwin ataupun mengahwinkan dengan sesiapa yang Nabi rasa sesuai. Maksud “Baginda menundukkan kepalanya” adalah setelah melihat perempuan itu, Baginda tidak lagi mengulangi perbuatannya memerhati perempuan tersebut.
Abu Hurairah r.a berkata: “Ketika aku bersama Nabi s.a.w., Baginda didatangi seorang lelaki dan dia memberitahu bahawa dia berkahwin dengan seorang perempuan Ansar. Nabi bertanya: “Adakah kamu telah melihat perempuan itu?” Beliau menjawab: “Tidak.” Nabi bersabda: “Pergi dan lihatlah perempuan itu kerana sesungguhnya mata orang-orang Ansar itu berbeza dengan mata orang lain (yang dia mungkin tidak berkenan).” (Riwayat Muslim)
Abu Humaid as-Saidi r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika salah seorang dari kamu ingin meminang seorang wanita, dia tidak berdosa jika melihat wanita tersebut untuk meminangnya, sekalipun perempuan itu tidak mengetahuinya.” (Riwayat Ahmad 5/424).
Imam al-Bukhari membolehkan melihat calon isteri dengan bersandarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. yang maksudnya: “Aku bermimpi malaikat datang kepadamu dengan berpakaian sutera putih. Rasul berkata padaku (Aisyah), ‘Ini adalah isteriku, maka aku menyingkap penutup wajahmu dan ternyata adalah engkau’.”
Pengarang Syarah al- Manhaj ketika mensyarahkan hadis ini telah mengatakan bahawa pengambilan dalil ini adalah benar kerana perbuatan Nabi dalam keadaan bangun mahupun tidur adalah sama saja darjat hukumnya. Sementara itu, Imam Nawawi berkata: “Orang yang mahu bernikah sebaik-baiknya melihat bakal isterinya terlebih dahulu. Ini adalah pendapat kami, iaitu mazhab Malik, Abu Hanifah, semua orang Kufah dan Ahmad serta jumhur ulama.”
Al-Qadhi pula menceritakan tentang terdapat suatu golongan yang memakruhkannya. Ini sebenarnya adalah salah dan bertentangan dengan hadis, ijma’ dan pendapat para ilmuwan.
Waktu Melihat
Pengikut Syafi’i meletakkan waktunya adalah sebelum bertunang dan setelah ada niat menikah dengannya. Jika tiada niat untuk menikah, maka tidak perlulah melihat. Jika melihatnya setelah bertunang, lalu ditakdirkan merekà berpisah, maka hal itu akan memberatkan pihak perempuan. Inilah jalan yang ditempuh Ashabul Haya’ dan Muru’ah.
Diriwayatkan dari Jabir r.a. sebagai dalil untuk itu, dia berkata: “Aku meminang seorang perempuan dan aku mengintipnya sampai aku melihatnya setelah aku berniat untuk menikahinya, kemudian aku menikahinya.”
Dalam melihat calon isteri, tidak perlu izin daripadanya atau daripada walinya, tetapi cukup dengan izin syariah, agar nampak keaslian perempuan tersebut. Kalau hasilnya membuatkan lelaki tertarik, maka lanjutkanlah ke jinjang pertunangan.
Dalam hal ini Imam Ramli berkata: “...walaupun tanpa izin perempuan tersebut mahupun walinya, cukuplah izin dari Rasulullah (berdasarkan hadis).” Dalam riwayat lain disebutkan: “walaupun tanpa pengetahuannya.” Imam al-Auza’i mengatakan: “Sebaiknya si perempuan tidak tahu agar dia tidak bersiap-siap, iaitu bersolek atau berdandan terlebih dahulu.”
Boleh melihatnya beberapa kali jika diperlukan kerana pandangan pertama biasanya belum mencapai hasil yang memuaskan. Akan tetapi, hal ini dengan syarat jika benar-benar diperlukan. Jadi, kalau cukup dengan sekali, maka berulang-ulang kali kerana melihat berulang-ulang kali hanya dibolehkan kerana darurat. Jika susah untuk melihatnya secara langsung, maka utuslah seorang perempuan yang solehah, amanah dan jujur.
Rasulullah s.a.w pernah mengutus Ummu Salamah kepada seorang perempuan dan bersabda: “Lihatlah serta perhatikan anggota tubuhnya.” Sebaliknya, perempuan juga boleh melihat dan menyelidiki lelaki sebagaimana lelaki melihat perempuan. Ini bertujuan agar dia dapat menentukan sikap terhadap lelaki tersebut sebelum berlangsungnya ikatan pernikahan.
Hal-Hal yang Boleh Dilihat
Para fuqaha’ sepakat tentang boleh melihat bakal pasangan, tetapi mereka berbeza pendapat tentang apa yang boleh dilihat pada perempuan tersebut kerana Rasulullah s.a.w tidak memberikan batasan tertentu. Jumhur fuqaha’ dan mazhab Syafi’i berpendapat bahawa yang boleh dilihat adalah wajah dan dua tapak tangan luar dan dalam. Dua bahagian itu cukup untuk seseorang menilai suka atau tidaknya pada seseorang perempuan. Ini kerana wajah merupakan pusat kebaikan dan keburukan yang boleh menunjukkan jati diri, kesihatan dan perilaku orang tersebut.
Melihat dua tapak tangan bertujuan untuk menunjukkan subur tidaknya seseorang. Dengan demikian, batasan yang boleh dilihat tidak boleh melebihi batasan tadi. Adapun bahagian badan lain yang diperintahkan Allah untuk ditutup, tidak boleh dilihat sama sekali untuk mencegah fitnah dan mengunci pintu-pintu kejahatan. Ibnu Rusyd menyimpulkan pendapat-pendapat mazhab fuqaha’ tersebut.
Dalam buku Bidayah al-Mujtahid, beliau menyatakan: “Adapun melihat perempuan tunangan, Maliki berpendapat boleh melihat wajah dan dua tapak tangan sahaja. Syafi’i juga berpendapat yang sama. Ada juga yang membolehkan seluruh badan, kecuali dua aurat, iaitu kemaluan dan dubur dan ini pendapat satu kaum. Pendapat Abu Hanifah membolehkan melihat dua kaki, wajah dan dua tapak tangan.
Sebab perbezaan mereka ini kerana perintah dan nas hanya melihat saja. Intinya adalah larangan mutlak, bukan muqayyad. Kita biasa bertemu dengan orang tua yang tidak mengizinkan langsung anaknya dilihat oleh calonnya sama sekali dan ada pula para ibu bapa yang secara melampau membiarkan anaknya berdua-duaan dan berpacaran, seolah-olah tiada batas dan tidak kira waktu.
Sebagai agama yang lengkap, Islam tampil dengan solusi yang adil dalam menyelesaikan dilema memilih pasangan hidup. Metod syariah dalam masalah ini adalah win-win solution (mengambil jalan tengah), iaitu tidak berlebih-lebihan dan tidak mengurangi atau istilah syaraknya tidak ifrath dan tafrith. Semuanya demi mendapat matlamat yang satu iaitu kebahagiaan dan ketenangan rumahtangga di dunia hingga ke akhirat.
Ustaz Badli Shah Alauddin
Kadi Daerah Temerloh, Pahang
(Majalah Solusi Isu Perdana)
Soalan : Seorang wanita dipinang oleh seorang lelaki. Selepas tempoh tertentu, wanita tersebut masih belum membuat sebarang keputusan sama ada menerima atau menolak pinangan itu. Persoalannya, bolehkah lelaki lain meminang wanita tersebut dalam keadaan beliau telah pun dipinang? Sekiranya berlaku pernikahan, adakah sah perkahwinan tersebut?
Jawapan : Peminangan ialah proses pernyataan seorang lelaki tentang keinginannya menikahi wanita tertentu. Jika wanita tersebut menerima peminangan tersebut melalui walinya, maka pertunangan sudah sah antara kedua-duanya. Definisi lain dalam Al-Mughni al-Muhtaj menyebutkan bahawa peminangan ialah permohonan menikah daripada pihak peminang lelaki kepada pihak wanita. Qalyubi pula mendefinisikan peminangan sebagai permohonan menikah daripada orang yang dianggap sesuai.
Peminangan dianggap sah dan benar apabila memenuhi dua syarat berikut:
1. Wanita tersebut tidak berada dalam keadaan terlarang untuk dinikahi secara syar’i serta mampu dan layak melakukan akad. Berdasarkan hal itu maka seseorang tidak boleh melamar wanita yang haram dinikahi, sama ada muhrim selama-lamanya ataupun muhrim sementara. Sebagai contoh, tidak boleh meminang isteri orang lain. Begitu juga tidak boleh meminang wanita untuk dijadikan isteri kelima pada ketika keempatempat isterinya masih ada. cantik” (boleh jadi dia hanya berkenan sahaja) atau “Seandainya ada yang sepertimu” atau “Kalau sudah halal, izinkan saya…” (Al-Mughni al-Muhtaj, Jld. 2). Dilarang juga meminang wanita yang sedang dalam masa iddah dan talak bain, baik bain sughra ataupun kubra, atau talak yang ditinggal mati. Ini kerana proses meminang itu haruslah ada kesepakatan antara peminang dengan wanita yang diceraikan kalau yang dipinangnya merupakan wanita yang sedang iddah cerai. Kalau cerai mati, mestilah ada kesepakatan antara peminang dengan keluarga yang dipinang. Meskipun kerabatnya kurang menyukai kalau dia menikah lagi, namun keputusannya bergantung kepada wanita tersebut.
2. Wanita itu belum menerima lamaran orang lain. Sesiapa pun tidak boleh mengajukan lamaran selama dia tahu kalau wanita yang akan dilamarnya sudah menerima lamaran orang lain, atau sedang berlangsung acara peminangan dari orang lain. Lamaran pertama hukumnya boleh. Tidak boleh ada dua lamaran sekali gus dalam waktu yang bersamaan. Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: “Sesama Mukmin adalah bersaudara, tidak dibenarkan seorang Muk min menawar sesuatu yang sedang ditawar Mukmin lain; janganlah pula meminang perempuan yang sudah dipinang saudaranya sampai ia membatalkannya.” Pinangan di atas pinangan akan merosakkan hak pinangan saudaranya yang lebih dulu meminang. Allah tidak me nyukai orang Juga tidak boleh meminang wanita yang sedang dalam masa idah, yang sedang talak raj’i, baik dengan pinangan yang terang-terangan (tasrihan) ataupun dengan sindiran (ta’ridan).
*Al-Tasrih adalah menyatakan dengan jelas keinginannya untuk menikah, seperti: “Saya ingin menikah denganmu” atau “jika sudah selesai idahmu, aku mahu menikahimu”.
Al-Ta’rih pula adalah pernyataan yang meragukan, sama ada keinginan menikah atau tidak, seperti: “Kamu yang berselisih, sebab masalah ini akan menimbulkan permusuhan, kemarahan dan kekerasan antara kedua-dua belah pihak. Padahal, keduanya adalah saudara seiman seperti yang dijelaskan dalam hadis.
Berbalik kepada persoalan yangdiajukan, bolehkah seorang wanita yang telah dipinang oleh seorang lelaki, dipinang pula oleh lelaki lain dalam keadaan wanita tersebut masih belum memberi sebarang keputusan terhadap pinangan pertama? Ulama fiqah berbeza pendapat dalam hal ini. Sebahagian besar pendapat mengarah kepada membolehkan pinagan lain. Diamnya wanita atau belum dijawabnya sesuatu pinangan adalah dianggap sebagai penolakan halus terhadap pinangan pertama. Alasan lainnya adalah demi kemaslahatan wanita itu untuk memberikan beberapa alternatif lain, keraguan pihak wanita yang dipinang sama ada menerima atau menolak. Jadi, peminang pertama memiliki hak sampai ada kepastian daripada pihak wanita. Hal tersebut sesuai dengan kisah Fatimah binti Qais. Rasulullah s.a.w telah meminangnya untuk Usamah bin Zaid. Walhal, Muawiyah dan Abu Jaham sudah pun meminangnya terlebih dahulu, tetapi belum ada keputusan jawapan Fatimah secara tegas. Kalaulah pinangan atas pinangan orang lain tidak boleh saat itu, maka pastilah Rasulullah s.a.w melarangnya. Tidak mungkin Baginda membiarkan kesalahan terjadi begitu saja. Pendapat yang menentang pendapat di atas pula berhujah bahawa, dengan adanya pengajuan pinangan baru, maka ini bererti mengisyaratkan pinangan pertama ditolak. Hal ini hanya akan meniup api permusuhan di antara kedua-dua belah pihak (Hasyiah al-Qalyubi, Jld. 3).
Pendapat kedua lebih tepat untuk dipakai, iaitu pinangan kedua tidak boleh diajukan agar tidak menimbulkan ketersinggungan atau kemarahan. Seandainya pinangan pertama telah ditolak, maka barulah lelaki yang kedua mengajukan pinangan. Kisah Fatimah binti Qais tidak menunjukkan kebolehan meminang pada saat yang bersamaan kerana kemungkinan peminang yang lain tidak tahu jika ada peminang sebelum dia. Juga kerana Nabi Muhammad s.a.w. meminangnya untuk Usamah, dan Baginda hanya mengajukan isyarat saja, namun orang menganggap itu sebagai pinangan. Oleh kerana itu, kisah Fatimah binti Qais tidak dapat dijadikan sebagai hujah untuk membolehkan hal tersebut. Implikasi Perkahwinan atas Pinangan Kedua Mazhab Syafi’i berpendapat bahawa pernikahan tersebut sah, tetapi dibayangi Perbuatan dosa dan maksiat kerana telah meminang pinangan orang lain. Dikatakan sah kerana semua rukun akad pernikahannya telah dipenuhi, begitu juga syarat-syarat sahnya. Agama hanya melarang peminangan tersebut dan tidak membatalkan akad pernikahan yang lengkap dan terpenuhi nilai-nilai sahnya. Namun, si peminang berdosa kerana telah melanggar larangan agama. Al-Bulqini berkata: “Jika seseorang meminang dan dia tahu tentang hukum meminang pinangan orang lain itu haram, tetapi ia memaksa sampai menikah dengan perempuan tersebut, dia berdosa seperti perkataan al-Ashab.” Pendapat ini juga merupakan pendapat jumhur ulama fiqah dan riwayat daripada Malik (Mughni al-Muhtaj, Jld. 3). Daud al-Zahiry dan Malik berpendapat tentang batalnya (tidak sahnya) akad nikah tersebut kerana orang itu menyalahi kandungan hadis. Juga kerana orang itu mendahulukan sesuatu yang dilarang agama.
Riwayat kedua daripada Malik mengatakan bahawa akadnya rosak dan wajib dibatalkan (fasakh) sebelum dukhul (berlaku persetubuhan). Rosak dan fasakhnya akad dilakukan sebelum dukhul kerana larangan agama tadi. Akan tetapi, kalau terlanjur sudah dukhul, maka tidak apa-apa (dibiarkan saja). Oleh itu, periksa dulu akad mulai daripada awal proses, pelaksanaan dan tata tertibnya. (Hasyiah al-Dusuqiy, Jld. 2; Al-Mughni, Jld. 7) Pendapat dan solusi yang paling benar menurut pandangan penulis adalah pendapat kedua daripada Malik sebagaimana yang dihuraikan di atas. Imam Nawawi berkata: “Jika seseorang meminang wanita yang sedang dalam pinangan orang lain dan sampai menikah, maka dia berdosa. Nikahnya sah dan tidak perlu difasakh.” Ini pendapat penulis dan juga jumhur. (Sahih Muslim Syarah al- Nawawi, Jld. 3, hlm. 569)
Sesiapa pun tidak boleh mengajukan lamaran selama dia tahu kalau wanita yang akan dilamarnya sudah menerima lamaran orang lain, atau sedang berlangsung acara peminangan dari orang lain. Lamaran pertama hukumnya boleh. Tidak boleh ada dua lamaran sekali gus dalam waktu yang bersamaan.
Ustaz Badli Shah Alauddin
Kadi Daerah Temerloh, Pahang
Majalah Solusi Isu 2
Soalan : Sewaktu menghadapi konflik rumah tangga, seorang isteri berkali-kali mencabar dan mengungkapkan kata-kata “Ceraikan saya!” kepada suami. Lantaran sakit hati dan hilang kesabaran, si suami akhirnya berkata, “Aku ceraikan engkau!” Si suami sebenarnya pada ketika itu tidak berniat melaksanakan cerai tersebut (sekadar terlepas cakap). Persoalannya, apakah jatuh talak? Andainya jatuh talak, masih bolehkah mereka tinggal bersama dan menjalinkan hubungan mesra seperti normal? Apakah pula prosesnya kalau mahu rujuk semula?
Jawapan : Lafaz yang diucap secara main-main atau bergurau pun boleh menggugurkan talak, apatah lagi yang bersungguh-sungguh. Ada tiga persoalan besar dalam kemusykilan yang diutarakan. Pertama, soal minta cerai, kedua soal jatuh talak dan ketiga soal hubungan selepas talak.
Pertama, sayugia ditegur kepada para isteri agar tidak sewenang-wenangnya meminta cerai daripada suami. Kalau bukan disebabkan oleh konflik yang amat berat, maka tidak baik seorang isteri minta cerai daripada suaminya sementelahan lagi hanya kerana soal-soal yang remeh seperti kemerosotan pendapatan suami atau si isteri teringin hidup lebih mewah. Bagi isteri yang solehah, persoalan sebegini tidak akan mempengaruhi jiwa dan perasaannya, bahkan dia akan berusaha menenangkan hati suaminya. Lain pula halnya bagi wanita yang bersifat “ada duit abang sayang, tiada duit abang melayang”. Perlu diingat, dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Thauban (maula rasulullah s.a.w.). Baginda bersabda, maksudnya: “Mana-mana perempuan yang minta cerai kepada suaminya, tanpa suatu alasan yang berat, maka haramlah atasnya bau syurga.” (riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al- Hakim) Sabda rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: “Apabila berkata seorang perempuan kepada suaminya, ‘Aku belum melihat kebaikan daripadamu sama sekali’ maka sesungguhnya sia-sialah segala amal perempuan itu.” (riwayat Ibn Abdi dan Ibn Asakir)
Masalah kedua berkenaan ucapan suami itu terhadap isterinya “Aku ceraikan engkau”, maka itu sudah menggugurkan talak kerana lafaz cerai itu ialah lafaz yang sarih (lafaz yang jelas yang tidak boleh diertikan lain). Kalau seorang lelaki mengucapkan lafaz talak atau cerai terhadap isterinya – apatah lagi secara serius – maka gugurlah baginya talak satu. Perlu diingat, lafaz yang diucapkan secara main-main, atau secara bersenda gurau pun boleh menggugurkan talak, maka apatah lagi secara bersungguh-sungguh. Justeru janganlah mempermainkan ucapan talak, kerana akibatnya amat berat. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. berkata, telah bersabda rasulullah s.a.w. bermaksud: “Tiga perkara, yang kesungguhannya adalah sungguh-sungguh dan main-mainnya juga sungguh-sungguh. Pertama nikah, kedua talak dan ketiga rujuk.” Masalah dilaksanakan atau tidak itu bukanlah persoalan. Kalau lafaz talak sudah diucapkan, gugurlah satu talak. Kalau dua kali terjadi demikian, maka dua talak. Kalau tiga kali, sudah tiga talak. Justeru jangan kita ambil mudah dan bermain-main dengan lafaz talak, kerana memang ia bukannya suatu permainan dan gurauan.
Hubungan Selepas Talak
Persoalan ketiga, berkaitan dengan hubungan selepas talak. Apabila pasangan suami isteri tersebut sudah sah jatuh suatu talak(cerai), baik dengan sarih ataupun dengan kinayah jika dengan niat, maka haramlah tamattu’ (bersedap-sedap, bercumbu dan sebagainya) antara suami terhadap isteri yang sudah ditalaknya, dengan talak rij’I itu, walaupun hanya dengan pandangmemandang saja. Apabila si suami ingin kembali bersatu dengan isterinya sebagai suami isteri, hendaklah dia menyatakan rujuk. Rujuk ini adalah dengan ucapan, misalnya: “Aku pulang kembali kepada isteriku” atau “Aku kembali kepada si Fulanah” atau “Aku balik kepada engkau” dan yang lebih sempurna lagi: “Aku kembalikan isteriku si Fulanah kepada pernikahanku”. Dan dalam hal ini tidak disyaratkan perlu ada saksi, hanya sunat mengadakan saksi. Disebut dalam Fath al-Mu’in, pada Hamisy I’anatutthalibin juz. ke-IV, hlm. 30: “Dan bahawasanya sah rujuk dengan kata-kata ‘Aku pulang kembali atau aku kembali pada isteriku, atau si Fulanah’, dan sekalipun tidak dikatakannya ‘kepada pernikahanku’, atau ‘kepadaku’, tetapi disunatkan bahawa menambah salah satu daripada kedua-duanya itu bersama shighat ruju’. Dan sah dengan perkataan: ‘Aku balikkan dia kepada nikahku, dan dengan aku tahan dia.’” Adapun akad nikah atasnya dengan ijab kabul, maka itu termasuk rujuk kinayah, yang berhajat kepada niat. Dan tidak sah mentaklikkannya, seperti “Aku rujuk engkau jika engkau mahu.” Dan tidak disyaratkan saksi atasnya, bahkan disunatkan. Dalam Fath al-Mu’in pada juz dan halaman yang sama juga disebut: “Haram bersedap-sedapan dengan isteri yang telah ditalak rij’i, walaupun dengan memandang semata-mata.”
Rujuk
Dalam masalah rujuk, perkara-perkara berikut boleh dijadikan panduan asas:
1. rujuk hanya boleh dilakukan apabila perceraian berdasarkan talak satu dan dua (tidak pada talak tiga), dan dilakukan sebelum habis idah.
2. rujuk hendaklah dilaporkan dalam tempoh tujuh hari kepada pendaftar (kariah masjid) di mana mereka tinggal.
3. rujuk yang tidak dilaporkan merupa kan suatu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda dan penjara (menurut enakmen negeri yang berkenaan).
4. rujuk mestilah diberitahu kepada isteri.
5. Jika isteri enggan rujuk atas alasan yang diharuskan oleh syarak maka mahkamah hendaklah melantik Jawatankuasa Pendamai.
6. Bersekedudukan tanpa rujuk boleh dihukum denda atau penjara (menurut enakmen negeri yang berkenaan) atau kedua-duanya sekali.
Sebagai solusi, penulis mencadangkan perkara-perkara berikut untuk dijadikan panduan sekiranya konflik pra perceraian berlaku:
Jangan tergopoh-gopoh
Sebelum membuat keputusan untuk berpisah, carilah masa untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar, antaranya daripada Unit Pembangunan Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran. Jika kedua-dua pihak bertekad juga untuk berpisah, maka suatu tuntutan perceraian hendaklah difailkan ke mahkamah syariah.
Peluang berdamai
Jika ada kemungkinan bagi kedua-dua pihak untuk berdamai, maka mahkamah akan melantik Jawatankuasa Pendamai yang terdiri daripada seorang pegawai agama selaku Pengerusi dan dua orang yang terdiri daripada wakil pihak suami dan wakil pihak isteri. Masa yang akan di ambil oleh Jawatankuasa Pendamai ialah selama 6 bulan atau lebih jika dibenarkan oleh mahkamah.
Talak di luar mahkamah
Jika suami telah melafazkan talak di luar mahkamah, maka talak tersebut tetap jatuh dan perceraian itu hendaklah dilaporkan kepada mahkamah. Namun perlu diingat, jika seorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talak dengan apa-apa bentuk di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, maka dia telah melakukan suatu kesalahan dan akan dihukum denda. Denda hendaklah dirujuk kepada enakmen negeri yang berkenaan.
Ustaz Badli Shah Alauddin
(Majalah Solusi Isu No.4)
Soalan: Apa erti “Ba’ah”?
Jawapan: Menurut bahasa ia bererti jimak atau sanggama. Manakala dari segi istilah (dalam bab nikah) ia bermaksud perbelanjaan nikah. Sebahagian ulama mentafsirkan ba‘ah sebagai kemampuan melakukan jimak.
M. Abdul Mujieb Tholhahah Syafi’ah A.M
(Kamus Istilah Fiqih)
(Majalah Al-Ustaz Isu No.2)