Menu

 

A+ A A-

MENDIDIK ANAK BERAKHLAK

Mukadimah

Akhlak ada kedudukan yang tinggi dalam Islam. Bahkan ia binaan asas dalam Islam di samping akidah dan syariat. Baginda Nabi s.a.w. bukan sahaja diutus ke alam ini sebagai pembawa risalah akidah dan syariat sahaja, bahkan Baginda turut menyempurnakan akhlak manusia.

Akhlak ialah himpunan prinsip dan nilai yang mengatur tingkah laku manusia yang digariskan oleh wahyu demi menjayakan matlamat kewujudan manusia di muka bumi. Ia merupakan sifat yang tersembunyi dalam jiwa yang mendorong untuk melahirkan tingkah laku tanpa dibuat-buat bahkan ia adalah secara spontan.

Nilai Akhlak dalam Islam

Apakah kedudukan akhlak dalam Islam? Adakah ia begitu penting sehinggakan perlu diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi ?

Jawapan:

Akhlak dalam Islam mempunyai hubungan yang sangat erat dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Orang Mukmin yang sempurna imannya ialah yang terbaik budi pekertinya.”(Riwayat at-Tirmizi)

Soal iman dan takwa sudah tentu perlu dititikberatkan sejak awal perkembangan anak. Selain itu, akhlak juga disebut oleh Rasulullah sebagai pemberat timbangan amalan pada hari Akhirat. Sabda Nabi yang bermaksud: “Tiada sesuatu yang diletakkan di atas timbangan (di hari akhirat) yang lebih berat melainkan akhlak yang baik.” (Riwayat at-Tirmizi)

Jelas kepada kita semua bahawa akhlak mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah dan Rasul-Nya. Maka, jadikanlah akhlak juga sebagai perkara penting untuk diterapkan kepada anak kita. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Nakal Tanda Tidak Berakhlak?

Adakah anak yang nakal itu tandanya dia tidak berakhlak?

Jawapan:

Umumnya anak yang nakal ditakrifkan sebagai anak yang suka melakukan sesuatu yang dilarang dan tidak menurut kata. Anak yang nakal ini sebenarnya inginkan perhatian kita kepadanya.

Mereka tidaklah jahat dan tidaklah pula berakhlak keji. Cuma masih belum sempurna dan mantap pentarbiahan akhlak dalam dirinya. Apa yang penting, jangan melabel anak nakal sebagai anak yang jahat dan sudah tidak dapat dibentuk lagi. Berikan perhatian kepadanya. Hiasilah dirinya dengan akhlak yang mahmudah.

Mendidik Anak Nakal

Bagaimanakah hendak mendidik anak yang nakal?

Jawapan:

Akhlak yang sempurna hanya akan diperoleh dengan cara berjuang mendapatkannya. Semua akhlak tidak dapat meresap ke dalam jiwa seseorang selagi ia tidak membiasakan dirinya dengan segala amalan dan latihan yang baik.

Ringkasnya, cara bagi merubahnya ialah dengan cara berusaha mengurangi pengaruh buruk yang mungkin dapat mempengaruhinya seperti rakan sebaya yang tidak membina, pengaruh filem dan televisyen, pengaruh persekitaran dan lainlain lagi. Apabila sudah bersih dari segala perkara tersebut, isilah jiwa anak-anak kepada sifat-sifat yang diredai Islam.

Didikan yang Dianggap Remeh

Bolehkah ustazah sebutkan didikan-didikan asas yang sepatutnya diterapkan oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak kecil lagi?

Jawapan:

Sukalah ustazah hendak memberikan contoh pentarbiahan akhlak yang mungkin dianggap remeh oleh ibu bapa, atau ramai yang beranggapan bahawa anak-anak akan belajar dengan sendirinya apabila kian meningkat dewasa.

Namun sebenarnya tidak sewajarnya kita beranggapan anak-anak akan belajar melalui kehidupan. Ibu bapalah yang perlu menunjukkan kehidupan yang berakhlak kepadanya.

Biasakan anak untuk menggunakan tangan kanan dalam mengambil, memberi, makan, minum, menulis dan segala perbuatan yang baik sejak usianya masih bayi. Jadikan tangan kanannya sebagai tangan yang dominan kepada melakukan kebaikan.

Ajar mereka untuk selalu memulai setiap perbuatan dengan bismillah terutama untuk makan dan minum serta diakhiri dengan membaca “alhamdulillah”.

Didik anak agar tidak memberontak atau memaksa ibu bapa apabila tidak mendapat apa yang dihajatinya. Sebaliknya berikan rasional yang terbaik. Mungkin sedikit ketegasan diperlukan. Ingat! Tegas bukan bermakna meninggikan suara atau marah.

Membiasakan anak bersikap hormat dan memuliakan tetamu. Ajar anak meminta izin jika hendak lalu di hadapan atau di belakang orang yang lebih tua. Di samping itu, ajar mereka bersalaman tatkala tetamu datang dan pulang.

Dorong mereka memberi salam kepada setiap orang yang dijumpainya sama ada di jalanan, kelas, padang permainan dan sebagainya. Lebih-lebih lagi apabila berjumpa dengan guru sekolahnya. Tegah anak-anak daripada membuat simbol-simbol tangan yang tidak berfaedah dan perkataan yang tidak sepatutnya seperti “OMG”, “Bro” dan lain-lain.

Larang mereka duduk-duduk di tepi-tepi laluan tanpa sebarang aktiviti. Walaupun tiada sebarang aktiviti yang buruk dilakukan, namun duduk di tepi jalan akan memberikan tanggapan negatif masyarakat terhadap mereka.

Wallahu a‘lam.

                                                                                 Ustazah Shahidatul Akma Mohd Sha‘Ary

                                                                                     Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 06

 


 

 

Selanjutnya...

30 KESILAPAN MENDIDIK ANAK-ANAK SIRI 1

Kita mempunyai lima jari. Sering kali apabila kita menuding jari menyalahkan orang lain, kita akan menuding dengan jari telunjuk. Namun sering kali kita tak sedar bahawa tiga atau empat jari selain jari telunjuk menuju kepada kita.

Isyarat ini menunjukkan bahawa kadang kala sesuatu masalah yang timbul adalah disebabkan oleh kesilapan kita sama ada dalam berfikir, bertindak dan membuat keputusan. 

Selanjutnya...