KASIH SAYANG BAPA ADALAH MELALUI DOANYA
- Ditulis oleh Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir
- Kategori Ibubapa
- Read 23168 times
DIRIWAYATKAN daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tiga Doa Yang Diperkenankan Tanpa Diragui Lagi Padanya:
Doa Seorang Bapa; Doa Orang Yang Musafir; Dan Doa Orang Yang Dizalimi.” (Riwayat Abu Daud)
Tiga jenis doa yang diutamakan
ALLAH s.w.t. sangat suka kepada mereka yang berdoa. Doa merangkumi segala bentuk permohonan manusia kepada Tuhan-nya. Doa yang dituturkan dengan baik, penuh adab, meletakkan harapan yang sepenuhnya kepada Allah s.w.t. akan dipandang oleh Allah s.w.t. Bahkan, Allah s.w.t. tidak pernah jemu untuk mendengar permohonan hamba-Nya sebaliknya akan mengabulkan apa-apa yang dipinta oleh mereka.
Inilah keputusan yang dibuat oleh Allah s.w.t. seperti yang terdapat di dalam firmannya yang bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku maka (jawablah): Sesungguhnya Aku sangat dekat, Aku memperkenankan doa seseorang yang berdoa apabila dia meminta kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah 2: 186)
Dalam banyak-banyak doa tersebut, Nabi s.a.w. mengkhususkan tiga jenis doa yang pasti tidak akan dilengahkan oleh Allah s.w.t. untuk mengabulkannya. Tidak kiralah doanya berbentuk sama ada kebaikan atau keburukan, ia diyakini akan menimpa ke atas orang yang didoakan. Doa seorang bapa kepada anaknya, doa si pengembara yang berada di dalam perjalanan supaya didatangkan kebaikan, dan doa mereka yang teraniaya disebabkan perbuatan orang lain.
Mengapa doa si bapa?
Melihat kepada maksud hadis, doa pertama yang tidak akan ditolak oleh Allah s.w.t. ialah doa si bapa kepada anaknya. Bagaimana pula dengan doa si ibu? Kebanyakan para ulama menyatakan bahawa doa seorang ibu tidak disebutkan kerana perkara tersebut telah dimaklumi oleh manusia. Malah, ia lebih kuat daripada doa seorang bapa disebabkan kedudukan seorang ibu sangat mulia di sisi Allah s.w.t. Kalaulah doa si bapa pun sudah menyebabkan Allah s.w.t. akan terus mengabulkannya, bagaimana pula dengan doa seorang ibu?
Keutamaan seorang ibu berbanding bapa disebutkan di dalam riwayat al- Bukhari bahawa seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. dan bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah yang lebih berhak untuk saya berbuat baik?” Baginda menjawab: “ibumu.” Dia berkata: “Kemudian siapa?” “ibumu,” jawab Baginda dengan jawapan yang sama. “Kemudian siapa?” lelaki itu bertanya untuk kali ketiga. “ibumu,” sama jawapan Baginda seperti sebelumnya. “Kemudian siapa?” dia masih bertanya dengan pertanyaan yang serupa. Akhirnya, barulah Nabi s.a.w. menjawab, “Kemudian bapamu.”
Biarlah doa itu diiringi dengan kebaikan
Seorang ayah merupakan sebab kepada wujudnya insan di atas muka bumi. Dia mengalunkan azan dan iqamat, melakukan akikah, bersama isterinya membesarkan anaknya, serta segala macam pengorbanan yang telah dilakukan. Segala susah dan senang telah dilalui semata-mata bagi memastikan si anak dapat meneruskan kehidupan sebagai seorang hamba Allah s.w.t. semua ini menunjukkan kepada kasih sayang yang tidak berbelah bahagi daripada dirinya terhadap anaknya.
Maka, layaklah dia diberikan sekalung penghormatan seperti yang dinyatakan di dalam hadis Rasulullah s.a.w. ini. Seutus doa kepada si anak sentiasa dititipkan dalam apa jua pekerjaan dan perbuatan. Namun, biarlah ia disalurkan dengan kebaikan dan keberkatan bukannya keburukan atau kecelakaan. ini kerana, Nabi s.a.w. pernah menegaskan di dalam sebuah hadis lain riwayat at-Tirmizi bahawa doa dengan keburukan oleh seorang ayah ke atas anaknya tidak akan ditolak. Pasti Allah s.w.t. akan segera mengabulkannya jika ia dipinta disebabkan sebab-sebab yang diperakui syarak seperti kederhakaan si anak kepadanya dan sebagainya.
Mendapat doa yang baik
Seorang anak akan menempuh kehidupan yang senang dan diredai oleh Allah s.w.t. disebabkan doa ibu bapanya. Kejayaan dalam pelajaran, mudah dalam urusan, dihindari daripada kecelakaan dan sebagainya merupakan kesan doa dengan kebaikan oleh kedua mereka ke atasnya. Semua ini adalah bukti keredaan dan kasih sayang mereka agar si anak sentiasa berada di bawah lindungan Allah s.w.t.
Oleh itu, lakukanlah segala perkara yang boleh mendatangkan keredaan dan kesenangan kepada ibu bapa. Pastinya keduanya mudah untuk memohon kepada Allah s.w.t. supaya si anak diberikan kebaikan dalam semua perkara. Tambahan pula, mereka sangat gembira sekiranya seorang anak mendoakan pula supaya mereka diberikan rahmat oleh Allah s.w.t. ingatlah, bahawa doa seorang anak akan menjadi bekalan kepada kehidupan ibu bapa di alam barzakh. Semoga kita diberikan petunjuk daripada Allah s.w.t. untuk sentiasa berbakti kepada ibu bapa dan mendapat keberkatan menerusi doa mereka. Q
Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir
Sumber artikel daripada Majalah Gen Q Isu 5
Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir
Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.