Menu

 

A+ A A-

AGAR DICINTAI NABI: TSAUBAN

SEORANG sahabat bernama Tsauban sangat kasih dan cinta kepada Nabi s.a.w. Beliau selalu berdamping dengan Nabi s.a.w. Suatu malam, Tsauban tidak dapat tidur kerana asyik memikirkan dirinya yang tidak dapat terus bersama Nabi s.a.w. saat itu.

Beliau berbisik kepada dirinya: ‘Ketika di dunia aku terpaksa berpisah dengan Rasulullah s.a.w. lebih-lebih lagi di malam hari, bagaimana pula di akhirat nanti? Kalau aku di syurga, Rasulullah s.a.w. sudah tentu di tingkat yang paling istimewa dan aku di tingkat yang lain. Dan jika aku di neraka, sudah tentu aku tidak bertemu langsung dengan Rasulullah s.a.w.’

Kerana mengingatkan hal demikianlah yang menyebabkan beliau tidak dapat tidur sepanjang malam. Pada keesokan hari menjelang waktu subuh, beliau ke masjid untuk melaksanakan solat subuh berjemaah yang diimamkan oleh Rasulullah s.a.w.

agar-dicintai-nabi-2

Sesudah solat, seperti biasa Baginda s.a.w. akan menghadap ke arah para sahabat. Tiba-tiba Baginda terpandang wajah Tsauban yang kedua-dua biji matanya merah. Baginda pun memanggil Tsauban ke hadapan.

Rasulullah s.a.w. bertanya: “Adakah kamu sakit, wahai Tsauban?” Tsauban menjawab: “Tidak wahai Rasulullah.” Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: “Kenapa kedua-dua matamu merah?”

Tsauban pun menceritakan apa yang telah berlaku semalam. Ketika itu Rasulullah s.a.w. diam tidak berkata apa-apa kerana syurga bukanlah milik Baginda. Dalam keadaan begitu, Baginda tidak dapat memberi jawapan yang pasti. Maka pada ketika itu turunlah wahyu yang menjawab mengenai persoalan tersebut:

agar-dicintai-nabi-3

Allah s.w.t. berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 69, yang bermaksud: “Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu nabi-nabi, dan orang-orang siddiqin, dan orang-orang yang syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman dan rakan (kepada orang-orang yang taat itu).”

Kemudian Baginda s.a.w. bersabda, yang diriwayatkan oleh Anas r.a., yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya ia telah mencintai aku, dan sesiapa yang mencintai aku, nescaya ia bersama-samaku di dalam syurga.”

Ustaz Mohamad Wahid Hanif
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2

 


 

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas