Menu

 

A+ A A-

BAHAYA KAFIR MENGKAFIR

MUTAKHIR ini, terdapat fenomena sesetengah pihak yang gemar kafir-mengkafir mengkafir dalam isu-isu tertentu. Mohon penjelasan ustaz.

MUKADIMAH:
Hukum bagi menentukan status keislaman seseorang bergantung kepada tahap atau jenis kesesatan yang dilakukan oleh individu tersebut.

JENIS KESESATAN:

Menurut para ulama, jenis kesesatan boleh dibahagikan kepada dua kategori:

1 Kesesatan yang mengkafirkan (bid‘ah mukaffirah)

Iaitu mengingkari sesuatu hukum syarak yang telah disepakati ijmak, telah mutawatir (khabarnya) serta sewajibnya dimaklumi dalam agama (ma‘lum min al-din bi al-darurah) atau orang yang meyakini sebaliknya.

2 Kesesatan yang tidak mengkafirkan (bid‘ah ghayr mukaffirah atau bid‘ah mufassiqah)

Iaitu kesesatan yang tidak menyebabkan kekafiran tetapi ia dihukumkan sebagai fasiq atau pelaku dosa. Kesesatan jenis ini tidak sampai merosakkan asas keimanan (usul al-iman), tidak membatalkan sesuatu hukum yang mutawatir dan sesuatu hukum yang sewajibnya dimaklumi dalam agama (ma‘lum min al-din bi al-darurah). Tetapi, ajaran atau amalan ini tetap dikategorikan sebagai sesat dan menyimpang daripada kebenaran (al-haq). (Sharh Nukhbat al-Fikr fi Mustalah Ahl al-Athar, Ibn Hajar al-Asqalani, hlm. 101)

RUMUSAN:
Berdasarkan kategori ini, jika kesesatan yang dilakukan adalah termasuk dalam jenis bid‘ah ghayr mukaffirah, maka tidak syak lagi bahawa dia kekal sebagai seorang Islam. Namun, sekiranya kesesatan itu menyentuh persoalan bid‘ah mukaffirah, maka menjadi tanggungjawab umat Islam agar berhati-hati dan benar-benar melakukan penelitian sebelum menjatuhkan sebarang hukuman.

Bagaimana pengkafiran itu dilakukan?

Para ulama menggariskan dua kaedah dalam mengtakfir:

1 Takfir Mutlak

Mengatakan sesuatu perbuatan itu membawa kekafiran tanpa memaksudkan orang tertentu. Kenyataan seumpama ini difokuskan kepada perbuatan atau ajaran atau pembawaannya, bukan orang secara khusus.

2 Takfir Mu‘ayyan

Iaitu menyatakan bahawa si polan bin si polan, iaitu dengan menyebut nama orang tertentu telah kafir.

HURAIAN:

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, takfir perlu dibezakan dengan dua cara iaitu takfir naw‘ (jenis) dan takfir shakhs mu‘ayyan (peribadi). Beliau menyebut: “Hendaklah diberikan perhatian pada apa yang telah diputuskan oleh para ulama muhaqqiqun mengenai wajibnya dibezakan antara peribadi dan jenis dalam isu takfir (mengkafirkan).”

Adapun apabila perkara ini berkait dengan peribadi seseorang, yang disandarkan kepada mereka itu dan ini, maka wajiblah diambil masa untuk dibuat kepastian dan sabitan mengenai hakikat sebenar pendiriannya. Ini dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujah, tiada lagi syubhah dan juga tiada lagi keuzuran untuknya”. (Fatawa Mu‘asirah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, jil. 1, hlm. 126)

Justeru, kita dapati para salaf mengkafirkan firqah secara mutlak seperti firqah Jahmiyah dan Rafidah. Tetapi, mereka tidak serta-merta mengkafirkan setiap anggota firqah tersebut, kecuali hanya beberapa orang daripada mereka seperti Ja‘d bin Dirham, Hallaaj dan Hafs al-Fard (yang pengkafirannya masih diperselisihkan). (Majmu‘ Fatawa, jil. 23, hlm. 349-350)

Antara kaedah penting yang menjadi keistimewaan Ahli Sunnah Waljamaah berbanding golongan lain adalah mereka membezakan antara sesuatu pendapat dengan pelakunya. Sesuatu pendapat adakalanya berupa kekufuran, tetapi pelakunya tidak dihukumkan kafir kecuali setelah diselidik.

bahaya-kafir-mengkafir-1

Apakah syarat-syarat yang ditetapkan sebelum sesorang itu dihukum kafir?

Para ulama Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu sebelum menghukum seseorang itu terkeluar daripada Islam atau murtad. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

1 Hendaklah pendapat atau amalan itu secara jelas menunjukkan kekufuran yang dilakukan berdasarkan pilihannya dan bukan kerana terpaksa.

2 Hendaklah dia terus berpegang dengan pendapat atau amalan kufur tersebut dan ketika dijelaskan kepadanya (kebenaran), dia tetap berpegang kepada kekufuran.

3 Hendaklah sudah ditegakkan hujah kepadanya dan dia telah jelas terhadap perkara tersebut. (Majmu‘ Fatawa, jil. 12, hlm. 500-501)

TAMBAHAN:
Di samping itu, seseorang itu terhalang daripada hukuman murtad atau terkeluar Islam sekiranya ia berada dalam situasi berikut:

1 Baru memeluk agama Islam.

2 Hidup di tempat yang jauh. Termasuk dalam kelompok ini ialah orang yang tidak mempunyai ulama selain ulama bidaah yang mereka minta berfatwa dan mereka ikuti.

3 Hilang akal kerana gila atau kerana yang lain.

4 Belum sampai kepadanya nas-nas daripada al-Quran dan sunnah, atau telah sampai (nas-nas tersebut) tetapi belum jelas kefahaman nas-nas tersebut.

5 Nas-nas tersebut telah sampai kepadanya, dia telah memahaminya dengan jelas, akan tetapi didedahkan kepadanya sesuatu yang bertentangan dengan nas-nas tersebut (sama ada yang berasal daripada akal fikiran mahupun perasaan) yang mendorongnya untuk mentakwil, walaupun dia mungkin membuat kesalahan. Termasuk kelompok ini idalah mujtahid (ahli ijtihad) yang salah dalam ijtihadnya. Allah akan mengampuni kesilapan golongan ini dan memberinya pahala atas ijtihadnya itu. (Majmu‘ Fatawa, jil. 3, hlm. 231 dan jil. 23, hlm. 345-346)

Kesimpulannya, tidak boleh menghukum seseorang itu murtad kecuali setelah memenuhi syarat-syarat tersebut dan tidak terdapat sebarang halangan. Apa yang diriwayatkan daripada salaf tentang pemutlakan kufur dan laknat, ia tetap berada pada kemutlakan dan keumumannya. Oleh sebab itu, seseorang muslim tidak boleh dihukum kafir sewenang-wenangnya, melainkan wajib disertakan dalil dan bukti.  


Ustaz Mohd Aizam bin Mas’od
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2

 


 

Mohd Aizam Mas‘od

Sarjana Muda Usuluddin Universiti Al al-Bayt, Jordan. Sarjana Usuluddin dan Pemikiran Islam, UIAM. Pernah bertalaqqi dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Syu‘aib al-Arna‘ut (ulama tahkik terkenal) dan Prof. Dr. Abdul Qadir al-Sa‘di. Beliau pakar dalam kajian aqidah dan aliran sesat. Kini merupakan Penolong Pengarah Bahagian. Penyelidikan (Aqidah), JAKIM. Dekati beliau di mufakkir-islami.blogspot.com.

Kembali ke atas