Menu

 

A+ A A-

APABILA JODOH SUDAH BERAKHIR

Benarkah cerai satu-satunya jalan penyelesaian dalam Islam? Atau di sana ada alternative lain...

Seorang rakan yang pernah bertugas sebagai Pegawai Sulh di sebuah mahkamah syariah memberitahu saya, antara ungkapan yang biasa kedengaran sewaktu mengendalikan kes suami isteri, “Bila dah tidak ada persefahaman, kena cerai. Sudah takdir, jodoh setakat ini sahaja...”

“Saya dan suami tidak sayang-menyayangi lagi. Jodoh kami berakhir di sini sahaja,” dan pelbagai lagi yang seumpamanya. Demikianlah sebahagian lontaran kata-kata daripada pasangan yang ingin bercerai.

Mengapa begitu mudah kata-kata ini keluar dari mulut mereka?
Baru setahun dua berkahwin, tiba-tiba hendak berpisah. Terpengaruh dengan cerita-cerita yang sering kali dimuatkan dalam akhbar? Artis ini telah berpisah! Orang kenamaan ini telah berpisah.

Atau mungkinkah kerana kurangnya kefahaman mereka tentang matlamat utama perceraian? Seolah-olah hanya perceraian sahajalah jalan penyelesaian yang ada. Memanglah jodoh itu di tangan Tuhan, tiada siapa yang menafikannya. Namun, apakah kita mahu jodoh yang penghujungnya ialah perceraian? Atau adakah kita ingin jodoh yang tiada penghujungnya? Dengan kata lain, ikatan suci berterusan hingga ke syurga.

Islam sebagai agama yang cukup lengkap, sudah pasti ada banyak jalan penyesaian dan kaedah terbaik untuk menyelamatkan sebuah “masjid” yang telah terbina.

Islam mensyariatkan perkahwinan kerana ada tujuannya. Manusia secara fitrah tidak dapat lari daripada dorongan naluri seks. Maka, perkahwinan ialah jalan yang halal disediakan oleh Allah Taala untuk disalurkan naluri tersebut. Malah, Nabi s.a.w. bersabda, mereka yang melakukan hubungan seks dengan pasangan masing-masing (suami atau isteri) mendapat pahala.

Dalam satu hadis, diceritakan bahawa beberapa orang sahabat Nabi s.a.w. datang mengadu kepada Baginda tentang kelebihan orang kaya. Kata mereka, orang kaya mampu mendahului orang miskin dari segi mendapat pahala kerana mereka mempunyai kelebihan lebih banyak bersedekah dengan harta-harta yang dimiliki. Lantaran Nabi s.a.w. terus bersabda: “Tidakkah Allah Taala menjadikan bagi kamu apa yang kamu sedekahkan? Sesungguhnya setiap tasbih itu sedekah, setiap takbir itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, menyuruh kebaikan itu sedekah, melarang daripada keburukan itu sedekah dan juga pada kemaluan seseorang kamu ada pahala sedekah.
Sahabat bertanya kehairanan, apakah orang yang mendatangi nafsu syahwat isterinya mendapat pahala? Nabi melontar satu persoalan kias kepada sahabat, “Apakah pendapat kamu, sekiranya seseorang itu meletakkannya (melepaskan) nafsunya pada tempat yang haram, tidakkah ia dikenakan dosa? Maka demikianlah juga jika ia melepaskannya pada tempat yang halal (isterinya), sudah pasti baginya pahala.” (Riwayat Muslim no. 1674, jil.
5, hlm. 177)

Selain itu, tujuan perkahwinan adalah supaya suami dan isteri hidup berpasangan saling sayang-menyayangi. Allah Taala merakamkan dalam surah al-Rum ayat 21, bermaksud:

“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.”

Namun, apabila timbul perkelahian atau ketidaksefahaman, apakah dengan begitu mudah lafaz cerai atau talak keluar dari mulut sang suami? Benarkah cerai satu-satunya jalan penyelesaian dalam Islam? Atau di sana ada alternatif lain selain cerai?

cerai1

Apakah Tujuan Cerai atau Talak?
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Perkara halal yang paling dibenci pada sisi Allah ialah talak.” (Riwayat Abu Daud). Hadis ini dinilai sebagai lemah di sisi ulama kerana ia hadis mursal.

Hadis ini memberi maksud, walau pun talak diharuskan, talak tetap menjadi perkara yang dibenci. Dengan kata lain, cerai bukan satu perkara yang digalakkan dalam Islam. Hakikatnya, cerai ialah alternatif terakhir untuk mengatasi masalah suami isteri. Bermakna, ia bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian masalah rumah tangga.

Apakah motif pensyariatan cerai ini?

Perceraian boleh kita ibaratkan seperti satu pembedahan membuang anggota yang sakit. Kadangkala salah satu anggota tubuh seseorang harus dipotong atau dibuang, demi menjaga anggota tubuh yang lain, atau kerana menghindarkan bahaya yang lebih besar. Contohnya pesakit kencing manis, segelintir kalangan pesakit terpaksa dipotong sebahagian anggotanya demi menyelamatkan anggota lain. Namun itu ialah jalan yang terakhir.

Seorang tokoh ulama mazhab Hanbali terkenal, Ibn Taimiyah r.hm. menyebut: “Cerai pada asalnya ialah sesuatu yang tidak disukai Allah Taala, ia adalah sebenci-benci perkara halal di sisi Allah. Cerai hanya diharuskan jika diperlukan oleh manusia sebagaimana di haruskan perkara-perkara haram lain kerana keperluan. Oleh sebab itu, wanita yang diceraikan menjadi haram kepada bekas suaminya selepas talak tiga sehinggalah dia berkahwin dengan lelaki lain sebagai satu hukuman kepadanya. Tujuannya supaya manusia berhenti memperbanyakkan talak.” (Majmu’ Fatawa, jil. 8, hlm. 401)

Langkah Awal

Dari segi adab atau kaedah syariat, Islam menetapkan beberapa langkah pendahuluan sebelum memilih talak. Antaranya adalah dengan memberi nasihat, pisah tempat tidur dan pukulan yang tidak mencederakan. Pukul dibenarkan jika langkah pertama dan kedua tidak berhasil. Ini langkah-langkah yang direkodkan dalam al-Quran al-Karim:

Maksud firman Allah: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulau kan mereka dari tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (Surah al-Nisa’ 2: 34)

Orang Tengah

Selepas itu, jika masih tidak mendatangkan sebarang perubahan, disyariatkan masing-masing pihak suami dan isteri datangkan hakam (orang tengah). Kedua-dua “orang tengah” akan mencari solusi yang paling baik agar pasangan tadi boleh berdamai semula. Ini turut dirakamkan dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah ‘orang tengah’ (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang daripada keluarga lelaki dan seorang daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua ‘orang tengah’ itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua-dua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah al-Nisa’ 4: 35)

Jalan akhir, jika masih menemui jalan buntu barulah berpindah kepada talak. Itupun sekiranya punca talak adalah daripada sebab perangai isteri yang tidak elok. Sekiranya punca pertelingkahan adalah daripada suami, maka si isteri boleh menebus dirinya dengan khuluk.

Firman Allah yang bermaksud: “Oleh sebab itu, jika kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa– mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya. Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah 2: 229)

Jalan Penyelesaian Terakhir

Jelaslah, cerai ialah jalan penyelesaian terakhir. Cerai boleh disamakan seperti ubat yang sangat pahit jika tiada ubat lain. Seseorang yang sedang sakit terpaksa menelan ubat tersebut walau sepahit mana sekalipun.

Pensyariatan cerai atau talak sebenarnya amat bertepatan dengan akal, maslahat atau dengan kata lain, mengandungi maqasid dan tujuan yang betul. Sebagaimana Allah mensyariatkan perkahwinan kerana tujuan-tujuan tertentu seperti mengekalkan kesinambungan zuriat, begitu juga pensyariatan hokum cerai, adalah kerana tujuan-tujuan logik iaitu mengelak daripada pertelingkahan yang tidak dapat ditanggung lagi oleh kedua-dua pasangan.

Sebab itu Allah Taala melarang perbuatan rujuk kepada isteri jika diniatkan atau atas tujuan untuk memudaratkan isteri atau menzaliminya. Firman Allah Taala maksudnya:

“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka). Dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri.” (Surah al-Baqarah 2: 231)

Cerai yang Haram

Walaupun cerai dibolehkan, tetapi bukan semua cerai itu baik. Sudahlah ia dianggap sebagai perkara halal paling dibenci, cerai juga ada yang haram dan yang harus. Dalam hukum fiqah, ada cerai yang dinamakan cerai bid’i dan sunni. Bukan semua waktu atau masa dibolehkan sang suami menceraikan isterinya. Seorang suami tidak boleh menceraikan isterinya ketika haid dan tidak boleh juga menceraikannya dalam keadaan suci selepas ia menyetubuhinya. Ini antara talak yang dianggap bidaah dan haram dilakukan.

Talak yang dijatuhkan oleh suami hendaklah dalam keadaan sedar dan waras, bukan dalam keadaan terlalu marah sehingga hilang kawalan dan kewarasannya. Sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Tiada talak dan tiada pembebasan hamba akibat kerana marah ighlaq (marah).” (Riwayat Abu Daud no. 1874, dan Ibn Majah no. 2036)

Setiap pasangan suami isteri janganlah mudah melenting apabila berlaku pergaduhan atau salah faham. Rumah tangga yang dibina wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya. Sebab itu ditegaskan, cerai bukan satu-satunya jalan penyelesaian. Ia hanya jalan terakhir.

Mungkin kerana itu jugalah Allah Taala mensyariatkan hak cerai hanya di tangan suami bukan menjadi hak bersama suami dan isteri.

Sedangkan cerai hanya menjadi hak suami pun masih banyak berlaku kes perceraian, inikan pula kalau dijadikan hak bersama. Barangkali lebih banyak kes cerai yang akan berlaku.

Sebaliknya jua, sang isteri jangan terlalu mudah membuat tuntutan cerai atau meminta diceraikan, jika kesalahan suami tidak sampai melanggar hukum Allah. Perbuatan meminta cerai tanpa alasan yang kukuh tidak dibolehkan.

Hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Mana-mana wanita yang meminta cerai daripada suaminya bukan kerana sebab yang kukuh, maka haram baginya bau syurga.” (Riwayat Abu Daud no.1899. Dinilai sahih oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, jil. 6, hlm. 429)

Maka, rumah tangga perlu dijaga sebaikbaiknya. Mudah-mudahan Allah s.w.t. member petunjuk dan hidayah kepada semua Muslimin dan Muslimat dalam menjalani hidup berumah
tangga.

 



Oleh Nik Abd Rahim Nik Abd Ghani

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 06

 


 

Nik Abd Rahim Nik Abd Ghani

Lulusan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dalam bidang Syariah. Berkhidmat sebagai guru di Sek. Men. Imtiaz, Dungun pada tahun 2004-2005. Kini melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia di samping bergiat dalam bidang penulisan dan dakwah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas