Menu

 

A+ A A-

HADHANAH SIAPA LEBIH BERHAK?

Apa itu Hadhanah?
Hadhanah menurut Sayyid Sabiq dalam bukunya Fiqh al-Sunnah ialah melakukan pemeliharaan anak-anak yang masih kecil sama ada anak lelaki atau perempuan, atau mereka yang sudah dewasa tetapi belum dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk.

Termasuk dalam tanggungjawab ini ialah menyediakan keperluannya, memeliharanya daripada sesuatu yang menyakitinya, memberikan pendidikan jasmani dan rohani serta akalnya agar mampu berdiri sendiri menghadapi hidup dan memikul tanggungjawab.

Sudah banyak kali kita mendengar bahawa syariat Islam dibina atas asas memelihara lima maqasid al-syari’ah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Topik perbincangan kali ini melihat kepada sistem hadhanah dalam Islam, yang juga bertujuan memelihara maqasid syarie tersebut. Hukum hadanah yang disyariatkan dalam Islam menepati dengan fitrah manusia untuk menjaga masa depan anak-anak.

Di negara-negara umat Islam, kes-kes hadhanah banyak juga mengundang kontroversi terutamanya apabila ia bukan sahaja melibatkan pasangan suami isteri seagama yang bercerai, malahan melibatkan kes-kes pasangan yang berlainan agama apabila salah seorang antara mereka menukar agamanya. Sebagai umat yang prihatin, kita pasti pernah mendengar kes-kes seperti ini.

Penulis merasa terpanggil untuk menjelaskan siapakah yang berhak mendapat hak hadhanah sekiranya berlainan agama. Mudah-mudahan ia satu sumbangan ilmu dan dapat memberi kefahaman kepada semua yang membaca. Tulisan ini akan cuba mendedahkan maqasid al syari’ah dalam pensyariatan hukum hadhanah.

Apakah Hadhanah?
ANAK2Dari segi bahasa hadhanah berasal dari perkataan hidn yang membawa erti mengasuh anak atau memeluk anak. Al-hidn sama makna dengan al-janb atau lambung atau rusuk. Hal ini kerana seseorang yang menjaga anaknya tentu akan memeluk dan mendukung anaknya serta merapatkan anaknya kepada lambungnya.

Manakala dari segi istilah, hadhanah ialah menjaga anak-anak dengan mendidik mereka sehingga umur mumayyiz. Selepas anak-anak itu baligh, ia dinamakan kafalah.

Dalam mazhab Syafii ia disebut sebagai menjaga orang yang tidak boleh bersendirian untuk menguruskan dirinya daripada perkara yang menyakitkannya kerana ia belum mumaiyiz lagi seperti kanak-kanak dan orang dewasa yang gila. Selain itu turut berperanan mendidiknya (mendidik orang yang dijaga) dalam perkara yang memberi maslahat kepadanya sama ada berkaitan pemeliharaan makanan, minuman dan sebagainya.” (Mughni al-Muhtaj, 3/452).

Hadhanah merupakan ketetapan yang wajib dilaksanakan. Haram membiarkan anak-anak tanpa penjagaan, seperti makan minum anak-anak dan juga pendidikan mereka. Ia menjadi fardu ain ke atas bapa, atau ke atas ibu, ketika umur mereka masih menyusu, sekiranya bapa tidak dapat mengupah ibu susuan lain atau sememangnya si anak tidak mahu menerima susu selain susu ibunya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.” (Surah al-Baqarah 2: 233).

Syarat Islam kepada Hadhinah (penjaga)
Antara syarat menjadi penjaga anak ialah Islam. Matlamat paling utama ialah hifz al-din, iaitu memelihara agama. Persoalannya bagaimana matlamat tadi boleh dicapai sekiranya penjaganya bukan Islam?

Menurut ulama, sekiranya bayi atau kanak-kanak itu Muslim, maka disyaratkan penjaganya mestilah juga Muslim supaya akidah dan agama kanak-kanak tersebut terjaga sewaktu membesar. Dalam Radd al- Muhtar dijelaskan antara lain:

“Dan penjaga (ibu) yang zimmi sekalipun Majusi, kemudian suaminya memeluk Islam, namun ia enggan menjadi Muslimah, selama mana anaknya tidak mengerti akan hal agama (masih kecil), dan dianggarkan umur tujuh tahun (umur mengerti agama) kerana sah Islamnya ketika itu, atau dianggarkan sehingga umur dibimbangkan ia boleh menjadi jinak dengan kufur seumpama dibawa anak tersebut ke tempat ibadat mereka, maka mesti dicabut (hak hadhanah) daripadanya sekalipun kanak-kanak tersebut tidak mengerti agama.”
(Hashiyah Radd al-Muhtar, 13/48).

Mazhab al-Syafii menyatakan dengan jelas tidak sabit hadhanah kepada orang kafir untuk menjaga orang Islam, kerana tiada hak perwalian (penjagaan) baginya ke atas orang Islam. Hak hadhanah disyariatkan bertujuan untuk maslahat anak-anak, sedangkan tiada maslahat untuk anak Muslim dalam penjagaan orang kafi r. Al-Muti’i, cendekiawan Islam terkenal berkata:

“Dan tidak sabit (hadhanah) kepada orang fasiq kerana ia tidak dapat menyempurnakan hak penjagaan itu, dan kerana hadhanah disyariatkan untuk menjaga (maslahat kebajikan) anak sedangkan tiada bahagian (maslahat kebajikan) bagi anak dalam penjagaan orang fasiq, kerana dibimbangkan anak akan membesar mengikut caranya (orang fasiq), dan juga tidak sabit hak tersebut kepada orang kafi r.” (Al-Majmuk, 18/320)

Mazhab Hambali pula menyebut:
“Dan tiada hadhanah kepada orang kafir ke atas orang Muslim, bahkan mudaratnya lebih besar, ini kerana ia boleh memberi fitnah kepada bayi tersebut dalam agamanya dan boleh mengeluarkannya daripada Islam melalui mengajarkannya akan kekufuran. Dan pada demikian semuanya menjadi mudafar ke atasnya.” (Kashshaf al-Qina’, 19/487)

Ini menarik perhatian kita terhadap beberapa isu terkini dalam kes hak hadhanah anak-anak bawah umur apabila salah seorang daripada ibu bapa yang asalnya bukan-Islam telah memeluk Islam. Menilai dari sudut maslahat dan maqasid al-syari’ah, boleh kita tegaskan bahawa maslahat menuntut agar hak penjagaan diberikan kepada orang Islam, demi untuk memelihara akidah dan agama bayi tersebut. Sekiranya diserahkan hak tersebut kepada bukan Islam, dibimbangi ia membesar dalam suasana kafi r. Nauzubillah!

Bahkan situasi semasa dan tempat turut menyokong keadaan ini. Tidakkah fatwa itu mengikut masa dan tempat. Sejarah Umar al-Khattab r.a. ketika pemerintahannya, pernah memutuskan satu kes terhadap Huzaifah bin al-Yaman agar beliau menceraikan isterinya yang beragama Yahudi sedangkan dalam Islam diharuskan lelaki Muslim menikahi wanita Yahudi atau Nasrani. Mengapa Umar al-Khattab memutuskan hukuman ini?

Jawapannya, tidak lain tidak bukan, maslahat yang ada pada zaman tersebut, iaitu agar wanita-wanita Muslim tidak ditinggalkan begitu sahaja tanpa dinikahi kerana masih ramai lagi wanita Muslim yang belum berkahwin ketika itu. (Ibn al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’in, Jld. 3)

Inilah yang dikatakan, hukum atau fatwa berubah mengikut zaman dan masa berdasarkan kepada maslahat dan maqasid al-syari’ah.

Ya, ada pandangan yang mengatakan bahawa hak hadhanah boleh diberikan kepada ibu yang beragama kitabiyyah (Yahudi atau Nasrani). Tetapi janganlah alasan khilaf fi qhiyah selalu digembar-gemburkan apabila timbul sesuatu isu. Rujuklah kepada nas-nas syariat yang betul, yang menepati maslahat dan maqasid al-syar’iah. Sebenarnya, pandangan tersebut merupakan satu pandangan mengikut situasi ketika itu dan situasi yang amat berbeza dari sekarang.

Al-Kasani, tokoh mazhab Hanafi terkemuka, mengemukakan pandangan ini:

“Sekiranya wanita yang menjaga bayi itu kitabiyah dan anak pula adalah Muslim, maka hak hadhanah kekal padanya seperti seorang wanita Muslim juga.” (Al-Bada’i al-Sana’i, 4/42).

Kenyataan ini sebenarnya bersesuaian pada zaman kekuatan umat Islam dan perundangan Islam menjadi tonggak sesebuah negara.

Ibn Hazm pernah menyebutkan:
“Dan bagi ibu yang kafi r maka dia berhak menjaga kedua-dua anak kecil sepanjang masa penyusuan. Selepas kedua-duanya sampai umur putus susuan (berhenti menyusu), boleh makan sendiri dan memahami, maka tiada lagi hak hadhanah kepada orang kafi r dan orang fasiq.”

Ibn Hazm menjelaskan alasan pendapatnya melalui fi rman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah al-Maidah 5: 2).

Dan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan.” (Surah al-Nisa’ 4: 135).

Dan juga firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi.” (Surah al-An’am 6: 120).

Jelas di sini, membiarkan anak-anak sama ada lelaki atau perempuan berlatih dari kecil mendengar kekufuran dan belajar mengingkari kenabian Muhammad s.a.w. sebagai Rasul, sehingga tertanam subur kufur dalam jiwa mereka adalah termasuk dalam perbuatan bantu membantu dalam dosa dan permusuhan, bukan termasuk dalam bantu membantu dalam kebaikan dan ketakwaan. Ia juga tidak termasuk dalam kategori meninggalkan dosa yang zahir atau batin. Sebaliknya ia adalah perbuatan haram dan maksiat. (Ibn Hazm, al-Muhalla, Jld.10, hlm.323-324).

ANAK

Hubungan bayi dengan ibu bapa
Perlu juga diketengahkan di sini, sekiranya salah seorang ibu bapa bukan Islam, maka hubungan bayi dengan ibu bapa yang bukan Islam seharusnya tidak putus. Hal ini supaya bayi tersebut hidup dalam keadaan aman dan sejahtera dapat merasai kasih sayang ibu bapa.

Jika, bayi tersebut berada dalam jagaan bapa atau ibu yang Muslim, ia tidak bermaksud putus hubungan antara bapa atau ibu yang bukan Islam. Hak sebagai seorang bapa atau ibu tetap ada. Ini dijelaskan oleh ulama seperti Ibn Qudamah: “Anak selama mana berada dalam jagaan salah seorang ibu bapa, maka ia tidak menghalang yang lain untuk melihat dan menjenguknya.” (Al-Mughni Jld.7, hlm. 617)

Jelaslah, Islam bukan menzalimi hak seseorang itu sama ada ia seorang bapa atau ibu. Maka, dapat disimpulkan bahawa hak hadanah adalah untuk menegakkan keadilan dan kebaikan kepada bayi tersebut, bukan untuk menzaliminya. Mudah-mudahan Allah s.w.t. memberi ilmu yang manfaat kepada kita semua.

Hadhanah: Ayah atau Ibumu?
“Seorang perempuan datang kepada Rasulullah s.a.w. dan ketika itu aku sedang duduk di samping Baginda.

Perempuan itu berkata: ‘Wahai Rasulullah, suamiku hendak membawa pergi anakku. Dia telah memberiku minum dari Telaga Abu Inabah dan dia telah memberi aku manfaat.’ Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Hendaklah kalian menentukan hak asuh anak kalian melalui undian.’ Suami perempuan itu berkata: ‘Siapakah orang yang berani menghalang aku untuk mendapatkan hak pengasuhan anak aku?’ Baginda berkata (kepada anak mereka berdua): ‘Ini ialah ayahmu dan ini ialah ibumu, maka peganglah tangan salah satu antara mereka yang kamu suka.’ Anak itu memegang tangan ibunya kemudian pergi bersamanya.” (Riwayat Abu Daud, hadis Sahih)


Nik Abd Rahim Nik Abg Ghani
Sumber artikel daripada majalah Solusi 9

 


 

Nik Abd Rahim Nik Abd Ghani

Lulusan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dalam bidang Syariah. Berkhidmat sebagai guru di Sek. Men. Imtiaz, Dungun pada tahun 2004-2005. Kini melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia di samping bergiat dalam bidang penulisan dan dakwah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas