Menu

 

A+ A A-

RAHSIA KURMA

WALAUPUN kita didedahkan dengan pelbagai jenis teknologi perubatan moden, selaku orang yang mengakui beriman kepada Allah dan rasul-Nya, perlu juga kita kembali kepada wahyu atau perkhabaran ghaib.

Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada mengemukakan sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a., bahawa beliau berkata, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Setiap kali Allah menurunkan penyakit, pasti Dia menurunkan ubat dan penawarnya.” Pada kali ini, kita akan membincangkan keistimewaan kurma, terutama kurma Madinah yang dinamakan kurma Ajwah.

Banyak hadis-hadis Nabi s.a.w. yang mengkhabarkan mengenai kebaikan dan keistimewaan kurma Ajwah. Ia juga digelar dengan kurma Nabi.

Kenali Kurma

Kurma ialah sejenis tumbuhan spesies Palma dan istilah saintifiknya ialah Phoenix dactylifera, yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Di Madinah, kurma segar atau kurma masak yang tidak dikeringkan dijual di pasar kurma, tidak jauh dari Masjid Nabawi, tetapi lebih segar jika mendapatkannya di ladang kurma. Warnanya merah dan butiran buahnya yang besar sangat menggiurkan sesiapa saja yang memandang.

Antara kurma yang terkenal ialah kurma Makkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Dalam kalangan penduduk di negara-negara Arab kurma ialah makanan utama mereka, malah dalam kalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda s.a.w. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya: “Aku melihat rasulullah s.a.w. memakan buah-buahan dengan kurma masak.”

KHASIAT KURMA

Merawat dengan Ajwah

Daripada Umar bin Abdul Aziz dan beliau memimpin Kota Madinah bahawa Sa’ad berkata bahawa rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang makan tujuh biji kurma ‘Ajwah yang tumbuh di kawasan Kota Madinah pada pagi hari, siangnya dia tidak akan terkena bahaya apa pun hingga petang.” (riwayat Ahmad) Amalkan memakan tamar (kurma) ‘Ajwah dan jika boleh makan bersama dengan tamar Madinah.

Sekiranya anda tidak boleh mendapatkan kedua-dua jenis tamar tersebut, makanlah apa-apa jenis tamar yang ada supaya menepati hadis rasulullah s.a.w.: “Daripada Amir bin Sa’ad daripada ayahnya berkata, rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ‘Sesiapa yang setiap pagi memakan tujuh biji kurma Ajwah, pada hari itu dia tidak akan terkena racun dan sihir.’” (riwayat al-Bukhari) Khasiat kurma Ajwah sebagaimana yang tersebut dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah s.w.t. sesuai dengan kemuliaannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh rasulullah s.a.w.

Asal Kurma Ajwah

Daripada Aisyah bahawa rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kurma Ajwah berasal dari syurga dan di dalamnya terdapat ubat penangkal racun, menjaga kesihatan dan airnya menyembuhkan penyakit pandangan mata.” (riwayat al-Tirmizi)

Hidangan Istimewa Bulan Ramadan

Baginda s.a.w. menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud: “rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terdapat kurma, maka Baginda s.a.w. akan berbuka dengan beberapa biji anggur.

Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air.”(riwayat Ahmad) Sehubungan dengan hadis ini ada beberapa hadis lain yang menganjurkan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “rasulullah s.a.w. berbuka dengan kurma dan sesiapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih.” Hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma: Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata, “Saya mendengar rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma.’” Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun kita bersedekah dengan hanya sebelah buah kurma, kita terhindar daripada api neraka.

Jadi bagi orang yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan baik, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian mereka khususnya di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian. Khasiat kurma juga adalah sesuai dan baik bagi pertumbuhan kanak-kanak.

KURMA

Khasiat Kurma Ajwah

Rasulullah s.a.w. bersabda: “rumah yang tidak ada kurma di dalamnya akan membuat penghuninya lapar.” Daripada Aisyah bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kurma Ajwah yang berkualiti terdapat ubat atau ia seperti air liur seseorang yang baru bangun tidur.” (riwayat Muslim) Menurut riwayat sahih juga bahawa rasulullah s.a.w. biasa memakan kurma dengan keju, atau memakannya dengan roti, dan terkadang memakannya begitu sahaja.

Kurma ialah sejenis buah daripada tumbuhan palma yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan vitamin C serta niasin. Kurma dari segi saintifiknya dikenali sebagai phoenix dactylifera L berkesan mengubati gangguan usus kronik dan mengatasi sembelit. Kurma dapat menguatkan hati, melancarkan buang air besar, menambah stamina jika dicampur dengan serbuk kayu cemara dan menyembuhkan radang kerongkong.

Tetapi bagi yang belum terbiasa memakannya seperti penduduk di negeri-negeri sejuk, boleh menyebabkan sembelit, sakit gigi dan menambah sakit kepala. Cara mengatasinya dengan memakan buah badam dan apiun. Kurma termasuk buah yang paling banyak mengandungi zat yang mengenyangkan dan diperlukan tubuh kerana kandungan unsure panas dan lembapnya.

Selain panas, buah ini juga mempunyai tenaga tambahan. Jika kita biasa memakannya dengan cara dikunyah dan ditelan, boleh mengeringkan dan melemahkan unsur cacing dalam tubuh, mengurangi bahkan juga membanterasnya sama sekali. Kurma juga penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia, mengurangkan batuk serta pelbagai khasiat lain.

Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unsur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung dalam al-Quran dan hadis rasulullah s.a.w. bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai-bagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.¤

 

         Ustaz Mohd Wahid Abd Hanif

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.4

_______________________________________________________________

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas