Menu

 

A+ A A-

STRATEGI MENGATASI KEGAGALAN

“Sudahlah, jangan terlalu bersedih. Bukan rezeki awak untuk dapat keputusan peperiksaan yang cemerlang kali ini,” pujuk seorang sahabat terhadap rakannya.

Benar, saat kegagalan menimpa seseorang, kata-kata motivasi dan penguat semangat amat diharapkan daripada orang sekeliling untuk bangun semula. Percaya atau tidak, sebenarnya orang yang gagal itulah yang memainkan peranan paling penting untuk bangkit kembali.

Konsep Muhasabah

Permulaan untuk bangkit daripada kegagalan ialah bermuhasabah dan mengesan punca kegagalan. Ingat, bermuhasabah tidak bermakna perlu mencari kesalahan orang lain atas kegagalan diri sendiri. Jika satu jari dituding kepada orang lain, empat lagi jari mengarah kepada diri sendiri.

Koreksi sejauh mana usaha yang dilaburkan untuk mengejar sesuatu. Jika usaha belajar itu hanya apa yang diajarkan guru, gandakan lagi usaha dengan menyertai kelas tambahan. Andai sudah lengkap keperluan pengajian dalam dan luar sekolah, kaji semula hubungan kita dengan Allah. Takut-takut akibat terlalu sibuk belajar, kita lupa melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah.

Namun, muhasabah tidak semesti pada kegagalan sahaja, bahkan ia perlu dalam setiap perkara yang dilakukan sama ada kejayaan telah dicapai atau masih dalam usaha untuk mencapai kejayaan. Kejayaan yang telah diperoleh itu sewajarnya dinilai semula. Tanya pada diri: “Aku telah berjaya, namun sejauh mana kejayaan aku ini dapat dimanfaatkan kepada orang lain.” Apabila masih berada dalam perjalanan menuju kejayaan, natijahnya kelak berjaya atau gagal. Ajukan soalan buat diri sendiri: “Bersediakah jika aku gagal?

84-1

Iktibar Perang Uhud

Strategi Rasulullah s.a.w. buat pasukan tentera Islam dalam perang Uhud sangat mantap. Sekumpulan ahli pemanah dipilih dan diarahkan berada di atas bukit yang terletak di tepi selatan lembah Qanat yang terletak 150 meter arah tenggara dari tempat tentera Islam yang lain berkumpul. Rasulullah s.a.w. menjelaskan tujuan strategi ini dilakukan untuk menyerang pasukan musuh dengan panah oleh pasukan berkuda. Baginda juga mengingatkan agar mereka terus berada di situ, sama ada telah menang ataupun kalah.

Pada mulanya, ternyata strategi ini berkesan apabila ramai tentera kafir terkorban di tangan kaum Muslimin. Apabila berasa senang dengan keadaan ini, pasukan pemanah meninggalkan kawasan yang ditempatkan buat mereka dan turun menyertai tentera Islam yang lain untuk mengambil harta rampasan perang. Peringatan Abdullah bin Jubayr tidak diendahkan oleh sebilangan besar pasukan pemanah ini. Kesempatan ini diambil oleh tentera lawan untuk menyerang tentera Islam dari arah belakang dan mengakibatkan tentera Islam kalah dalam perang Uhud.

Nah, itulah iktibarnya! Usaha demi usaha diatur untuk berjaya dalam peperiksaan, baik daripada guru, ibu bapa, keluarga dan diri sendiri. Namun ada satu perkara yang terlepas pandang dan diambil sambil lewa oleh diri sendiri, dan akhirnya kegagalan yang ditemui. Jangan mengeluh dan merintih andai ditakdirkan untuk gagal kali ini, belajar daripada iktibar perang Uhud dan bangun kembali.

84-2

Bersyukur kerana Diuji

Lihat sahaja kesibukan orang yang Allah berikan kekayaan untuk mengurus harta mereka siang dan malam, atau orang yang Allah kurniakannya kepandaian dan kecerdikan dalam pelajaran. Allah menguji mereka dengan nikmat, tetapi mereka tidak “menikmati” kurniaan Allah dengan cara yang benar. Berapa ramai orang kaya yang murah hati menginfakkan hartanya di jalan Allah? Berapa ramai orang yang cemerlangatas kertas peperiksaan, namun hakikatnya tidak mengamalkan segala ilmu yang dipelajari.

Orang yang gagal seharusnya bersyukur kerana tidak diuji dengan nikmat dan kejayaan. Ketahuilah, Allah Maha Mengetahui atas segala yang berlaku kepada hamba-Nya. Kejayaan itu memang hanya untuk orang terpilih, tetapi kegagalan itu juga buat insan istimewa yang dipilih oleh Allah agar ditingkatkan lagi imannya. Biarpun kegagalan tersebut melibatkan masa hadapan seseorang seperti gagal memperoleh keputusan SPM yang baik dan tidak mendapat tempat untuk kursus profesional seperti perubatan, kejuruteraan atau perguruan, ketahuilah kerjaya paling profesional ialah apabila seseorang berjaya dalam apa jua perkara yang dilakukan seiring dengan rasa ketakwaan kepada Allah.

Sedarilah, Allah menangguhkan kejayaan buat seseorang kerana Dia ingin menganugerahkan kejayaan yang lebih besar lagi buat hamba-Nya yang sering bersabar dalam setiap ujian dan tidak mengenal erti putus asa.

            KHADIJAH KHALILAH ABDUL RASHID

  Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09

 


 

Khadijah Khalilah Abdul Rashid

Khadijah Khalilah Abdul Rashid dilahirkan pada 20 Mei 1987 di Serdang, Selangor. Kini menetap di Sepang, Selangor. Mendapat pendidikan di Sekolah Islam al-Amin Bangi, Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya, Universiti Mohammed V, Rabat Maghribi, Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kembali ke atas