Menu

 

A+ A A-

KENAPA BERDISIPLIN?

ALAM persekolahan dan pembelajaran memang sangat padat. Apabila melangkah ke dunia seorang pelajar, kehidupan seseorang itu pasti akan berubah. Benar, tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh seorang pelajar itu cukup banyak. Namun, para pelajar selalu merasakan bahawa setiap arahan dan suruhan yang diberikan kepada mereka adalah sebuah bentuk kekejaman dan paksaan.

Walaupun demikian, apabila melakukan aktiviti yang dapat menarik minat mereka, semua yang diarahkan menjadi terlalu senang untuk dilaksanakan. Lebih-lebih lagi aktiviti yang dilakukan di luar luang lingkup buku dan suasana di dalam tempat belajar. Ini membuktikan, naluri seseorang pelajar itu masih di alam pembelajaran lagi, tetapi masih tidak dapat menguruskan masa dengan baik.

kenapa-berdisiplin-1

Mengurus masa

Apabila rasa bosan terlalu cepat hadir dalam diri seseorang, ini bermakna ada sesuatu yang kurang sama ada pada dirinya sendiri atau daripada unsur luar. Jangan salahkan ‘banyak tugas’ dalam setiap masalah masa yang dihadapi. Tetapi, itu salah teknik dalam pengurusan masa.

Langkah pertama yang perlu dilakukan, buat satu senarai apa yang perlu dilakukan sepanjang hari esok sebelum tidur. Senarai tugas itu dilakukan bermula pada waktu pagi sehingga masa untuk kembali ke bilik tidur pada malam hari. Mari kita lakarkan, apa yang perlu dilakukan sepanjang hari:

kenapa-berdisiplin-2

Alhamdulillah, semua kerja terlaksana apabila jadual seharian disusun dengan rapi! Menguruskan masa ketika waktu lapang terutama tatkala waktu cuti adalah satu cabaran buat diri setiap orang. Apabila diberikan cuti, kalau boleh, tidak mahu melakukan apa-apa kerja dan ada yang membuat keputusan untuk berbaring dan menonton televisyen. Jangan bataskan diri dengan alasan bercuti hanya untuk berehat, tetapi rancang aktiviti santai yang bermanfaat dan digemari.

Menetapkan niat dalam setiap tugas

Untuk melakukan setiap perkara dan tugas, perlu ada tujuan dan niat dalam diri sendiri. Perkara yang paling utama, tetapkan niat yang baik dan bermanfaat bukan sahaja untuk diri sendiri, bahkan berguna untuk keluarga, masyarakat dan paling penting untuk agama.

Seharian berada di sekolah, adakah masa selama lapan jam itu digunakan sebaik-baiknya? Atau sekadar memenuhkan kerusi yang berada dalam dewan belajar sahaja? Berniatlah untuk tekun belajar, moga-moga masa yang diberikan seharian di sekolah menjadikan diri sendiri berilmu untuk mencapai cita-cita dan menolong masyarakat dan negara kelak.

Apabila beriadah dan bersukan, niat juga perlu diperbetul. Jangan hanya bertujuan untuk melepaskan penat setelah seharian belajar, tetapi mengharapkan agar Allah mengurniakan tubuh badan yang sihat. Di samping itu diberikan kesihatan fikiran dan mental yang berpanjangan agar tugas kita di dunia dapat dilaksanakan sepenuhnya dan dengan badan yang ihat, ibadah kepada Allah dapat ditunaikan dalam usaha melengkapkan keperluan di akhirat nanti.

Apabila ibu bapa menghantar anak mereka untuk mengaji dan kelas-kelas agama, ada satu harapan dalam diri mereka buat anak-anak. Semua ibu bapa mahu melihat ilmu dunia dan akhirat seimbang dalam diri cahaya mata mereka. Berniat untuk memperbanyakkan bidang ilmu dan memperkaya ilmu pengetahuan merupakan salah satu ibadah.

Jangan pesongkan niat ke arah sesuatu yang buruk kerana itu bermakna seseorang telah tertipu oleh dirinya sendiri. Menurut Imam al-Bukhari, terdapat dua nikmat yang membuatkan manusia tertipu iaitu nikmat kesihatan dan waktu lapang.

kenapa-berdisiplin-3

Pengurus bukan petangguh

Allah memberikan kesempatan masa yang sama kepada setiap manusia, setiap satu hari dengan 24 jam. ‘Tidak cukup masa’ adalah satu ungkapan yang menunjukkan seseorang itu tidak berjaya menjadi seorang pengurus yang berjaya; seorang pengurus masa.

Seorang pengurus masa akan sentiasa memastikan semua kerja dan tugas dilaksanakan tanpa bertangguh-tangguh. Dalam riwayat al-Bukhari, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Apabila engkau berada pada waktu petang, maka jangan menunggu waktu pagi, dan apabila engkau berada pada waktu pagi, maka jangan menunggu waktu petang. Gunakan waktu sihatmu sebelum sakit, dan hidupmu sebelum mati.”

Usahalah untuk menjadi seorang pengurus masa yang baik agar semua kerja dan tugas dapat dilicinkan. Terapkan sikap berdisiplin terhadap masa dan jangan berlengah-lengah!  


Khadijah Khalilah Abdul Rasyid
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


Khadijah Khalilah Abdul Rashid

Khadijah Khalilah Abdul Rashid dilahirkan pada 20 Mei 1987 di Serdang, Selangor. Kini menetap di Sepang, Selangor. Mendapat pendidikan di Sekolah Islam al-Amin Bangi, Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya, Universiti Mohammed V, Rabat Maghribi, Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kembali ke atas