Menu

 

A+ A A-

MASA MENCINTAI RASULULLAH

“Selalu aku mendengar saranan ustaz agar kita mencintai rasulullah. Aku ada belajar tentang riwayat hidup baginda dan kisah peperangan baginda menentang orang kafir, tetapi bagaimana cara untuk aku mencintai rasulullah?”

Mengetahui susur galur nama dan keturunan Baginda, menghafal tempat dan tarikh lahir Baginda secara menyeluruh sehingga meliputi sunnah Rasulullah, ajaran yang dibawa oleh Baginda dan juga menghayati perjuangan Baginda untuk menegakkan islam. Benar, Rasulullah ialah seorang manusia.

rasulullah2Namun, tingkatannya lebih tinggi berbanding manusia lain. Allah jadikan Baginda sebagai utusan-Nya untuk menyampaikan ajaran islam kepada manusia. Baginda bukan sahaja merupakan penghulu umat manusia di dunia ini, namun Baginda ialah penghulu di akhirat nanti!

Mendoakan Rasulullah

Doa dalam setiap solat menjadi satu kemestian kita untuk terus meminta daripada Allah s.w.t. Ada yang berdoa agar diberi kesihatan yang baik, berjaya kehidupan di dunia dan akhirat, dan ada juga yang berdoa semoga dilimpahkan rezeki yang banyak dan luas. Namun, pernahkah dalam doa yang dipohon itu ditujukan buat Rasulullah s.a.w.?

“Ya Allah, Rasul-Mu telah mengajarkan kami tatacara hidup Muslim yang sebenar. Salam sejahtera buat Baginda dan ahli keluarga Baginda.” Biarpun ia sedikit, namun selawat dan salam yang didoakan buat Rasulullah ini menunjukkan kita peka dan tidak leka untuk mendoakan Baginda.

Lafaz yang berulang tiga kali pada saat akhir kewafatan Baginda (ummati, ummati, ummati)seharusnya menjadi satu momentum dalam hati kita untuk sentiasa mendoakan Baginda. Ketahuilah bahawa kita disayangi Baginda sehingga penghujung usia insan mulia ini, bahkan Rasulullah meninggalkan umatnya dengan ajaran dan sunnah yang amat berharga.

rasulullah1Masa Bersama Rasulullah

Walaupun tidak dapat bertemu dan bertentang mata dengan Rasulullah s.a.w., ia tidak menjadi alasan kepada kita sebagai umatnya untuk tidak memperuntukkan masa bersama-sama Rasulullah. Ambillah peluang keemasan ini ketika guru menceritakan tentang riwayat hidup Rasulullah dan kisah peperangan yang Baginda sertai. Jangan pula jadikan subjek “sirah Nabi” ini sebagai alasan untuk sentiasa keluar ke tandas dan ubat untuk tersengguk-sengguk di dalam kelas.

Hayati perjuangan hidup Baginda menentang orang Musyrikin dalam kisah-kisah peperangan Baginda bersama-sama tentera islam yang lain. selami kesusahan Baginda untuk menyebarkan agama islam seperti yang telah diamanahkan Allah kepada Baginda. Juga, timbulkan dalam hati dan diri untuk menyambung usaha Baginda menegakkan agama islam di muka bumi ini. Ketahuilah bahawa kita adalah perwaris perjuangan Nabi s.a.w.!

Inilah Tanda Cintaku

Sayidina umar r.a. pernah menyatakan bahawa kecintaan beliau terhadap diri sendiri melebihi kecintaan beliau kepada Rasulullah s.a.w. Beliau bertanya tentang hal itu kepada Rasulullah.

Baginda segera menjawab: “imanmu tidak menjadi sempurna sehingga kasihmu terhadap diriku melebihi kasihmu terhadap dirimu sendiri.”

rasulullah


Oleh Khadijah Khalilah Abd Rasyid

Sumber Artikel daripada Majlah Gen q Isu 7

 


 

Khadijah Khalilah Abdul Rashid

Khadijah Khalilah Abdul Rashid dilahirkan pada 20 Mei 1987 di Serdang, Selangor. Kini menetap di Sepang, Selangor. Mendapat pendidikan di Sekolah Islam al-Amin Bangi, Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya, Universiti Mohammed V, Rabat Maghribi, Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kembali ke atas