Menu

 

A+ A A-

INGAT PUASA INGAT ZAKAT

Wajib Bayar Zakat fitrah

Siapa yang diwajibkan membayar zakat fitrah?

Jawapan: Ibn Umar berkata: “Nabi s.a.w. memfardukan zakat fitrah dalam bulan Ramadan ke atas setiap Muslim dengan dikeluarkan sebanyak segantang tamar atau makanan ruji.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini, zakat fitrah wajib atas semua individu sama ada lelaki mahupun wanita, tua atau muda dan hamba atau merdeka yang mempunyai lebihan atau cukup perbelanjaannya sehingga hari raya.

Cuma para fuqaha menetapkan bahawa orang yang afdal menunaikan fitrah ialah individu yang diwajibkan memberi nafkah seperti suami, bapa atau atuk yang menjaga dan membesarkan cucunya. Dengan kata lain, orang yang bertanggungjawab menanggung perbelanjaan dan urusan memberi nafkah keluarga.

Hendak Bayar Sendiri

Saya masih lagi menuntut di IPTA. Siapa yang lebih patut mengeluarkan zakat untuk diri saya? Ayah saya atau saya sendiri?

Jawapan:

Anak perempuan yang masih belum berkahwin masih dianggap di bawah tanggungan bapanya. Namun begitu, jika anak perempuan tersebut ingin membayar sendiri zakat fitrahnya maka dia perlu meminta keizinan daripada bapanya terlebih dahulu.

Begitu juga pelajar yang sedang menuntut di universiti dan seumpamanya. Jika dia mempunyai lebihan wang, maka dia perlu membayar zakat fitrah jika ia tidak dibayarkan oleh orang tua mereka.

Zakat Fitrah Pembantu Rumah

Saya ada seorang pembantu rumah Muslim. Adakah saya wajib membayar zakat fitrah untuknya?

Jawapan:

Tidak wajib namun boleh dilakukan.

Dalam hal ini Imam al-Khatib al-Syarbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menjelaskan bahawa ketua atau majikan pembantu rumah itu dibolehkan bahkan lebih afdal membayar zakat fitrah baginya walaupun pembantu rumah tersebut wajib membayarnya sendiri.

Meninggal Dunia Tidak Sempat Zakat Fitrah

Bagaimana dengan orang yang meninggal dunia dalam bulan Ramadan? Adakah ahli warisnya wajib mengeluarkan zakat untuknya?

Jawapan: Tidak wajib.

Ini kerana antara syarat wajib mengeluarkan zakat fitrah, hendaklah orang itu hidup dalam dua waktu sekali gus iaitu dalam bulan Ramadan dan dalam tempoh waktu wajib zakat fitrah.

Waktu wajib tersebut bermula dengan tenggelamnya matahari hari terakhir Ramadan hinggalah solat sunat Aidilfitri (malam hari raya hingga ke pagi).

Jadi, jika seseorang itu meninggal dunia sebelum sampai waktu wajib tersebut, contohnya dia meninggal dunia pada hari ke-27 Ramadan, maka tidak wajib dikeluarkan zakat fitrah untuknya.

Bayi 30 Ramadan dan 1 Syawal

Saya seorang doktor. Ada satu kes kelahiran bayi kembar yang pernah saya kendalikan. Bayi pertama direkodkan keluar pada jam 7.12 PM manakala bayi keduanya pada pukul 7.26 PM. Pada hari itu masuk waktu Maghrib pada pukul 7.20. Saya tertanya-tanya tentang zakat fitrah mereka.

Jawapan:

Bayi yang pertama, wajib dikeluarkan zakat untuknya. Bayi kedua, tidak wajib. Prinsipnya, setiap anak yang dilahirkan pada hari terakhir Ramadan sebelum waktu maghrib dan hidup selepasnya, maka wajib dikeluarkan zakat fitrahnya.

Sebaliknya, jika anak tersebut lahir selepas waktu maghrib hari terakhir Ramadan, maka tidak wajib.

Namun Sayidina Umar alKhattab pernah mengatakan bahawa dibolehkan mengeluarkan zakat fitrah untuk anak dalam kandungan awal-awal lagi, mudah mudahan bertambah pahala sunat.

Tidak Teringat Bayar Zakat

Saya pernah terlepas waktu membayar zakat fitrah. Hanya pada petang hari raya baru saya sedar bahawa saya belum lagi membayarnya. Apa yang sepatutnya perlu saya lakukan?

Jawapan:

Zakat fitrah mesti ditunaikan sebelum selesai solat sunat Aidilfitri. Jika ditunaikan selepasnya maka ia tidak lagi dikira zakat fitrah namun ia hanya dinilai seperti sedekah biasa.

Baginda bersabda yang bermaksud: “Difardukan zakat fitrah untuk membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan sikap dusta. Ia juga sebagai makanan dan kelazatan buat fakir miskin.

Wallahu a‘lam

puasa2015

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.6


Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.

Kembali ke atas