Menu

 

A+ A A-

RAMADAN BULAN BERZAKAT

Menunggu Ramadan untuk Berzakat

Soalan:

Orang tua-tua dulu berpesan, kalau nak bayar zakat (harta) tunggu bulan Ramadan. Apa rahsianya?

Jawapan:

Bulan Ramadan adalah bulan dilipatgandakan ganjaran pahala. Perbuatan generasi terdahulu menjadikan bulan Ramadan sebagai tanda aras atau asas perkiraan haul (tempoh matang) zakat amat bertepatan dengan roh syariat. Allah s.w.t. memilih Ramadan sebagai bulan yang penuh keistimewaan. Bulan yang padanya diturunkan al-Quran, difardukan puasa, digalakkan berinfak dan juga berzakat.

Ibn Abbas r.a. berkata: “Nabi s.a.w. ialah orang yang paling dermawan dan lebih dermawan lagi ketika bulan Ramadan... dan kedermawanan Rasulullah ‘lebih kencang’ daripada angin yang berhembus.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, pahala amalan wajib digandakan sehingga 70 kali ganda. Jika Allah kehendaki, Dia akan gandakan sehingga 700 kali ganda. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Setiap amalan anak adam itu digandakan. Setiap satunya diberi gandaan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah Ta’ala berfirman: kecuali puasa. Ia adalah untukku dan akulah yang bakal mengganjari pahalanya kerana hambaku meninggalkan syahwatnya dan makan minumnya kerana-Ku.” (Riwayat Muslim)

Begitu juga Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir yang pada tiap-tiap bulir terdapat seratus biji pula. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

Maka atas dasar inilah bulan Ramadan menjadi pilihan untuk memaksimumkan infak, zakat dan sedekah kerana kelebihan dan ganjaran yang berlipat ganda sebagai tawaran terbaik daripada Allah buat para hamba-Nya.

ramadan-bulan-berzakat-1

Bayar Zakat Fitrah dengan Wang

Soalan:

Apa hukum bayar zakat fitrah dengan wang? Saya ada mendengar kuliah yang menyebut bahawa zakat fitrah mesti diberikan dalam bentuk makanan. Mohon penjelasan.

Jawapan:

Berdasarkan zahir nas, zakat fitrah yang dikeluarkan hendaklah berupa makanan ruji. Ibn Umar meriwayatkan: “Rasulullah s.a.w. mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas setiap Muslim sama ada merdeka atau hamba, lelaki mahupun perempuan iaitu sebanyak segantang kurma atau gandum.” (Riwayat Muslim)

Justeru jumhur ulama (Maliki, Syafi‘i dan Hanbali) berpandangan bahawa zakat fitrah mesti dibayar dalam bentuk makanan asasi bagi satu-satu negara. Ia tidak boleh dibayar dengan nilainya. Jadi di Malaysia, zakat fitrah dibayar dalam bentuk beras. Namun menurut ulama Hanafi, zakat fitrah boleh dibayar dengan nilainya (al-qimah) iaitu dalam bentuk wang yang setara nilainya dengan segantang makanan tersebut. Adapun amalan yang berlaku di negara kita ialah pihak amil atau pusat-pusat pungutan zakat menerima bayaran zakat fitrah dalam bentuk wang tetapi menyampaikannya kepada yang berhak dalam bentuk beras.

Penetapan Kadar Zakat Fitrah

Soalan:

Mengapa kadar zakat fitrah antara negeri tidak sama?

Jawapan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan penentuan harga zakat fitrah bagi seluruh Malaysia.

Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Harga zakat fitrah bagi negerinegeri di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.60kg.

2. Harga zakat fitrah bagi negerinegeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White Rice bagi negeri Sabah dan Thai White Rice bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg.

Sumber: Himpunan KeputusanMuzakarah Jawatankuasa FatwaKebangsaan: Berhubung denganIsu-Isu Muamalat (2009) Wallahu a‘lam.

Ahmad Husni Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.

Kembali ke atas