Menu

 

A+ A A-

TIDAK BERPUASA KERANA MUSAFIR

BERAPA jauh jarak perjalanan yang membolehkan seorang musafir berbuka puasa? Bolehkah saya tidak berpuasa bagi perjalanan yang sejauh 81 kilometer sahaja? Bolehkah seorang musafir tidak berpuasa walaupun perjalanannya tidak memayahkan?

Jawapan:

Musafir dibolehkan berbuka puasa berdasarkan nas al-Quran melalui surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud: “Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari lain.”

Mengenai jarak perjalanan yang dibolehkan seorang musafir berbuka puasa masih diperselisihkan oleh para fuqaha. Tetapi jika jarak perjalanan itu lebih dari 80 km sebagaimana yang ditanya, saya percaya bahawa semua fuqaha sepakat membolehkannya. Kerana menurut sebahagian besar mazhab, jarak perjalanan yang dibolehkan seseorang mengqasarkan solat dan berbuka puasa adalah sejauh 84 km. Jadi perbezaan jarak ini tidaklah terlalu jauh.

Rasulullah Tidak Pernah Menetapkan Jarak Musafir

Di samping itu, jika kita menyelidik lebih jauh mengenai hal ini, ternyata tidak ada satu pun riwayat daripada Nabi s.a.w. mahupun para sahabat yang menetapkan ukuran bagi jarak perjalanan itu. Justeru ada ulama yang tidak mensyaratkan jarak sama sekali. Hal ini kerana setiap perjalanan itu dinamakan safar menurut bahasa dan ‘uruf (kebiasaan).

Inilah yang ditetapkan al-Quran dan sunnah bahawa orang yang bermusafir boleh memilih untuk berbuka puasa atau tidak. Para sahabat Rasulullah s.a.w. pernah bermusafir bersama Nabi s.a.w. Mereka menceritakan: “Maka dalam kalangan kami ada yang berpuasa dan ada pula yang berbuka (tidak berpuasa). Orang yang berbuka tidak mencela orang yang berpuasa.”

Musafir yang Makruh Berpuasa

Akan tetapi bagi musafir yang mengalami mashaqqah (kesulitan) yang berat jika dia berpuasa, maka dimakruhkan berpuasa. Bahkan boleh sampai kepada haram (bergantung pada keadaannya). Hal ini sebagaimana hadis Nabi s.a.w. mengenai seorang yang dikerumuni oleh orang ramai ketika mengalami kesukaran kerana berpuasa.

Nabi s.a.w. bertanya: “Mengapa dengan orang itu?” “Dia sedang berpuasa.” Kemudian Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak baik berpuasa ketika safar (bermusafir).” (Riwayat al-Bukhari) Hukum ini bagi sesiapa yang mengalami kepayahan. Sedangkan bagi yang tidak mengalaminya, boleh memilih sama ada untuk teruskan berpuasa atau berbuka.

tak-berpuasa-kerana-bermusafir-1

Lebih Mudah, Lebih Utama

Mengenai pilihan yang lebih utama (berpuasa atau berbuka), para ulama berbeza pendapat. Sebahagian ulama menganggap puasa lebih utama dan sebahagian lagi menganggap berbuka itu lebih utama. Umar bin Abdul Aziz berkata: “Mana yang lebih mudah, maka itulah yang lebih utama.”

Sebahagian orang yang bermusafir merasakan lebih mudah baginya berpuasa supaya dia tidak perlu mengqadanya setelah Ramadan ketika orang lain tidak berpuasa. Ada pula mereka yang merasakan lebih mudah jika tidak berpuasa ketika itu supaya dapat menyelesaikan beberapa urusan, memenuhi pelbagai keperluan dan boleh bergerak dengan mudah dalam menyelesaikan urusannya. Justeru, mana yang lebih mudah bagi seseorang, maka itulah yang lebih utama.

Hamzah bin ‘Amr al-Aslami bertanya Rasulullah s.a.w.: “Wahai Rasulullah, saya mempunyai tunggangan yang saya gunakan untuk bermusafir dan saya sewakan. Kadangkala saya perlu bermusafir pada bulan Ramadan. Saya pula masih kuat dan muda. Bagi saya puasa itu lebih mudah daripada berbuka yang nantinya menjadi hutang atas saya. Jadi adakah saya boleh berbuka (tidak berpuasa)?” Rasulullah s.a.w. menjawab yang bermaksud: “Terserahlah mana satu yang engkau cenderung, wahai Hamzah!” Maksudnya memilih yang lebih mudah. (Riwayat Abu Daud)

Manakala dalam riwayat al-Nasa’i ada perincian yang mana Rasulullah s.a.w. menjawab yang bermaksud: “Itulah rukhsah (kemurahan) daripada Allah untuk kamu. Sesiapa yang ingin berpuasa, maka tidak ada dosa baginya.”

Tidak semestinya perlu ada mashaqqah (kesukaran)

Inilah syariat Allah bagi para musafir. Perlu diingatkan bahawa bagi hukum rukhsah ini (tidak berpuasa bagi musafir), tidak disyaratkan mesti wujud mashaqqah yang berat. Asalkan berstatus musafir, maka dibolehkan berbuka. Allah tidak mengikat hukum rukhsah (keringanan) dengan mashaqqah, melainkan mengikatnya dengan safar semata-mata. Seandainya hukum ini diikat pada masyaqqah, pasti berlaku perbezaan pendapat yang meruncing antara manusia.

Orang yang tegas akan menetapkan bentuk mashaqqah itu mestilah yang sangat berat dan paling sukar sambil mengatakan: “Ini bukan mashaqqah!” Mereka memaksa-maksa diri melakukan sesuatu di luar kemampuan. Padahal Allah tidak menghendaki hamba-Nya melakukan sesuatu yang terlalu berat atau di luar kemampuannya. Sebaliknya orang yang terlalu longgar pula akan mengatakan bahawa sebarang kesulitan kecil pun sebagai mashaqqah sebenar.

Oleh sebab itu, Allah mengikat hukum boleh berbuka dalam musafir itu pada safar itu sendiri. Maka jika seseorang itu berstatus musafir dia boleh berbuka puasa. Selain itu, perlu juga diingatkan bahawa musafir yang tidak berpuasa tersebut, bukan bererti kewajipan puasanya gugur selama-lamanya. Hakikatnya dia menanggung hutang puasa dan menundanya untuk digantikan pada hari-hari di luar bulan Ramadan.

Kesimpulannya, kita boleh memilih untuk tetap berpuasa atau berbuka pada waktu musafir, meskipun tiada sebarang mashaqqah. Wallahu a‘lam.

Rujuk: Hady al-Islam Fatawa Mu‘asirah oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi.

Dr. Yusuf al-Qaradawi

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.5


Dr. Yusuf al-Qaradawi

Tidak keterlaluan dikatakan beliau tokoh ulama paling berpengaruh masa kini. Merupakan Pengerusi Kesatuan Ulama Islam sedunia, sebuah pertubuhan yang menghimpunkan kesemua ulama daripada golongan Sunnah, Syiah dan Ibadhiah. Tesis PhD beliau “Zakat: Implikasinya Dalam Menyelesaikan Masalah Sosial” mendapat perhatian dunia Islam. Sehingga kini lebih daripada 120 buku yang ditulisnya. Beberapa kali dipenjarakan atas kelantangan dan sokongannya kepada Ikhwan al-Muslimin. Kini menetap di Qatar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Terkini daripada Dr. Yusuf al-Qaradawi

Kembali ke atas