Menu

 

A+ A A-

BUKAN ASAP AKHIR ZAMAN

KETIKA jerebu melanda Malaysia tempoh hari, ada sesetengah pihak yang mengaitkannya dengan 10 tanda akhir kiamat. Isu ini bertambah mencelarukan apabila dikaitkan juga dengan surah al-Dukhan yang bermaksud asap. Sebenarnya amat penting bagi orang yang hendak berinteraksi dengan al-Quran untuk memahami konteks sebenar sesuatu ayat. Sebuah kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya amat sesuai untuk memperbetulkan kesalahan di atas.

Pada suatu hari, Masruq masuk ke masjid Kufah melalui salah satu pintu Kandah. Beliau kemudiannya mendengar seorang lelaki sedang bercerita kepada kawannya tentang tafsiran dua ayat daripada surah al-Dukhan: “Oleh itu, tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa kabut yang jelas nyata. Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata): “Inilah azab yang pedih.” (Surah al-Dukhan: 10-11)

Lelaki tersebut berkata: “Asap itu akan datang pada hari kiamat, lalu merosakkan pendengaran serta penglihatan orang munafik. Asap itu hanya memberikan kesan kepada orang beriman seperti selesema.”

Kemudian, Masruq berjumpa Abdullah bin Mas’ud dan menceritakan perihal lelaki tersebut. Abdullah yang sedang berbaring tersentak lantas duduk. Lalu beliau berkata: “Allah berfirman kepada Nabimu: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta daripada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran al-Quran ini, dan aku bukanlah daripada orang-orang yang mereka-reka.” (Surah Sad: 86)

bukan-asap-akhir-zaman-2

Sesungguhnya antara tanda berilmunya seseorang itu adalah dia berkata kepada perkara yang tidak diketahuinya ‘Allahu a’lam’ (Allah yang lebih mengetahui).”

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa ayat tersebut diturunkan untuk menceritakan akibat yang menimpa kaum Quraisy kerana keengganan mereka menerima dakwah Rasulullah. Nabi berdoa agar mereka ditimpakan kemarau seperti yang pernah berlaku di Mesir pada zaman Nabi Yusuf. Kemarau tersebut memaksa mereka memakan tulang-belulang dan bangkai. Setiap kali mereka memandang ke langit dengan mengharapkan hujan, yang kelihatan hanyalah asap.

Itulah maksud sebenar ayat tersebut. Bukan asap yang akan keluar pada akhir zaman. Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sarjana Usuluddin (Tafsir al-Quran), UM. Kini pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Tulisan beliau kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tumpuan penulisan beliau ialah kefahaman dan interaksi dengan al-Quran. Dekati beliau di abdullahbukhari.blogspot.com. 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas