Menu

 

A+ A A-

RESTORAN MILIK BUKAN MUSLIM

Ditulis oleh 

Halal atau Haram?

Saya suka sekali makan di luar. Saya suka berkunjung ke restoran restoran yang menawarkan hidangan-hidangan yang unik. Pernah satu ketika saya masuk ke sebuah restoran. Saya ingat sebuah restoran ini milik orang Islam, tetapi ternyata bukan. Saya diberi tahu bahawa pemilik restoran itu beragama Hindu meskipun semua pekerja termasuk tukang masaknya orang-orang Muslim. Saya inginkan kepastian dari Ustaz, adakah makanan yang saya makan di restoran ini halal atau haram?

Jawapan: Pemilikan kedai makan, gerai dan restoran oleh bukan Muslim tidaklah menjadikan sesuatu makanan sebagai haram. Pemilikan bukan ukuran keharaman. Piawaian kehalalan makanan bergantung kepada makanan tersebut. Jika makanan tersebut halal, maka ia dihukum halal. Jika makanan tersebut haram, maka ia dihukum haram. Ia juga bergantung kepada bahan-bahan penyediaan makanan. Oleh itu, beberapa senario perlu difahami: RESTORAN2

Senario 1

Khinzir adalah makanan yang disebut keharamannya dalam al- Quran. Ia disebut sebagai lahm al-khinzir yang bermakna daging babi. Walaupun disebut daging babi, majoriti ulama berpendapat bahawa ia merujuk kepada keharaman babi seluruhnya. Inilah pendapat yang mesti dan wajar diguna pakai. Jika sesebuah restoran menyajikan babi sebagai makanan, maka hukumnya haram makanan tersebut. Kepelbagaian jenis masakan tidak menjadikan babi sebagai halal. Babi haram walaupun dibuat masak tomyam, dibakar, dipanggang atau dikukus. Walaupun kaedah panggang sebagai contoh mungkin menghilangkan lemak-lemak dan lendir-lendir babi, namun ia tetap dihukum haram sebagai makanan. Ini kerana keharaman babi adalah keharaman zatnya.

Senario 2

Ada masanya sesuatu makanan bukanlah dalam bentuk yang asal. Makanan tersebut secara mudahnya adalah halal. Namun, antara bahan asas bagi membuatnya menggunakan bahan yang haram seperti lemak babi, daging babi dan sebagainya. Maka ketika ini, ia juga dihukum sebagai haram.

Senario 3

Terdapat restoran milik orang bukan Muslim yang menyediakan makanan halal seperti ikan, telur dan daging. Pada masa yang sama, makanan tidak halal seperti daging babi juga disediakan. Dalam hal ini, banyak keraguan wujud. Antaranya stor simpanan daging halal dengan haram. Kemungkinan besar berlaku percampuran antara daging halal dengan daging babi. Kaedah masakan juga mungkin menggunakan peralatan dapur yang sama. Mungkin kuali, senduk dan sebagainya digunakan secara perkongsian bersama. Barangkali tukang masak atau chefnya juga adalah orang yang sama. Dalam keadaan ini, sewajibnya restoran begini tidak disinggahi.

Senario 4

RESTORAN1Terdapat restoran milik orang bukan Muslim yang menyediakan makanan halal. Ini dibuktikan dengan majoriti chefnya adalah Muslim. Pemilik restoran bukan Muslim namun sebahagian besar operasi restoran dikendalikan oleh orang Islam. Ada wajah keharusan untuk Muslim singgah makan di restoran tersebut.

Senario 5

Saham restoran dimiliki oleh orang bukan Islam dan operasi restoran dikendalikan oleh orang bukan Islam. Ia bukan tempat makan bagi orang Islam.

Senario 6

Saham restoran dimiliki oleh orang bukan Islam, manakala operasi syarikat dikendalikan oleh orang Islam. Pengurus pembelian bahan mentah adalah Muslim, tukang masak adalah Muslim dan majoriti pekerja adalah Muslim. Maka tempat begini boleh dijadikan tempat makan. Ini kerana kita bersangka baik dengan orang Islam yang bekerja di situ yang akan menjaga kehalalan makanan. Cuma perlu juga diperhatikan di manakah pula bekalan daging dan ayam diambil. Adakah ia disembelih mengikut hukum syarak? Jika chefnya Muslim tetapi dagingnya tidak disembelih mengikut hukum syarak, maka ia akan menjejaskan kehalalan makanan tersebut. Di sini, pihak berkuasa berperanan menyemak status halal sesuatu premis perniagaan makanan. Pihak individu tidak mampu menyemak di mana sumber sesuatu daging. Namun pihak berkuasa diberi kuasa melalui peruntukan undang-undang untuk menyemak bil pembelian bahan mentah, menilai tempat masakan sama ada bersih atau tidak, menilai bahan-bahan masakan dan sebagainya.

Panduan Memilih Restoran

Bolehkah ustaz rumuskan perkara-perkara yang mesti kita perhatikan sebelum memilih restoran sebagai tempat menjamu selera?

Jawapan: Secara mudahnya, restoran yang dimiliki oleh orang Islam dan pekerjanya adalah Muslim adalah harus dijadikan tempat makan. Jika sesebuah restoran diuruskan oleh orang bukan Islam dan majority pekerjanya bukan Islam, ia tidak harus dijadikan tempat makan bagi orang Islam. Bagi lebih yakin, buat penilaian berikut: Jika penilaian ini lulus, maka harus dijadikan kedai tersebut sebagai tempat makan bagi Muslim. Jika pengurus kedai makan adalah Muslim, tetapi majoriti pekerja adalah bukan Muslim, maka ia bukanlah tempat makan bagi orang Islam. Jika pengurus kedai adalah Muslim, tetapi semua chef masakan adalah bukan Muslim, ia juga bukanlah tempat sesuai sebagai tempat makan bagi orang Islam.

 

Wallahu a‘lam.

 

 

Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir (al-Jarumi)

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.12

 


 

Read 4203 times
Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir

Lulusan diploma KUSZA, Sarjana Muda Universiti al-Azhar, Kaherah dan Ijazah Sarjana dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Juga pengalaman pengajian di Pondok Pasir Tumboh. Kini pensyarah di UIAM. Boleh dihubungi di e-mel (nidiium@yahoo.com).

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.