Menu

 

A+ A A-

KHASIAT DAN KEISTIMEWAAN LABU

Allah s.w.t. menyebut di dalam al-Quran hal mengenai pohon labu pada surah al-Syaffat ayat 146: “...dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yaqthiin(pohon labu).”

Mengenai labu, terdapat riwayat yang sahih datang daripada Anas bin Malik r.a. bahawa beliau mengkhabarkan, ada seorang tukang jahit mengundang Rasulullah s.a.w. makan di rumahnya, menikmati hidangan masakannya sendiri.

Anas berkata: “Lalu aku pun pergi bersama Rasulullah. Kemudian dihidangkan kepada kami roti gandum dan sayur berisi labu  dan dendeng*. Aku melihat Rasulullah s.a.w. selalu mencari labu di mana sahaja berada di sekitar bejana makanan tersebut. Sejak hari itu aku pun ikut menyukai labu.” (Rujuk al-Ahkam, 11/65-67).

Abu Talut mengkhabarkan, “Aku pernah menemui Anas bin Malik makan labu sambil berkata: ‘Sungguh engkau berasal dari pohon yang paling kusukai, kerana Rasulullah s.a.w. amat menyukaimu.”

Dalam Al-Ghailaniyyat disebut hadis daripada Hisyam bin Urwah, daripada ayahnya, daripada Aisyah r.ha. mengkhabarkan,“Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepadaku: ‘Wahai Aisyah, jika engkau memasak makanan, banyakkanlah labu,sesungguhnya labu itu boleh mengubat kesedihan.”

Labu bersifat sejuk dan lembap, boleh memberikan suntikan zat ringan, mudah masuk ke dalam perut, meskipun belum rosak sebelum dihadamkan dan menghasilkan hampas yang baik. Sebahagian daripada khasiatnya adalah memberi serat yang baik sesuai dengan vitamin yang dikandungnya.

Jika labu itu dimakan dengan biji sawi atau jintan hitam, boleh menimbulkan rasa pedas. Tetapi jika dicampurkan garam, boleh menimbulkan rasa masin.

Buah labu merupakan sejenis sayur-sayuran yang kaya dengan pelbagai sumber khasiat yang berguna untuk kesihatan tubuh manusia. Jika seseorang itu menghadapi rabun, terutama sekali pada waktu malam atau ketidakseimbangan gula dalam darah, maka labu merah adalah menu yang sesuai untuk diet bagi tubuh. Hal ini kerana, pakar dietetik** mendedahkan vitamin A dan vitamin C adalah dua jenis vitamin yang paling tinggi dalam isi labu.

Selain vitamin A dan C, labu juga mengandungi sumber kalsium, fosforus, zat besi, beta karotid dan serat. Dikatakan sumber serat atau fiber yang tinggi dalam labu turut berfungsi mengawal nafsu makan.

Isi labu yang direbus dikatakan baik untuk merawat tekanan darah tinggi dan penyakit kuning. Labu yang dimasak juga baik untuk mengawal diabetes, manakala labu yang dikukur halus boleh merawat luka kecil seperti terbakar atau luka pisau. Manakala anak yang kurang nafsu makan, bolehlah diberi makan isi labu.

Satu lagi kebaikan yang jarang didedahkan tentangnya ialah khasiat untuk kanak-kanak yang menderita kecacingan. Penyakit itu boleh dirawat dengan diminum sebelum tidur.

Caranya biji labu dikeringkan dan ditumbuk halus sebelum dicampurkan dengan air suam. Tapiskan campuran itu dan airnya diminum.

Nabi Yunus dan Labu

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Shaaffaat ayat 142–146 yang bermaksud:

“Setelah itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak. Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.

LABU

Oleh itu, Kami campak dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang dia berkeadaan sakit. Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pohon yaqhtiin (pohon labu).”

Ibnu Abu Hatim berkata; “Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi Yunus a.s. dimuntahkan oleh ikan di tepi pantai. Pada ketika yang sama, Allah s.w.t. menumbuhkan pohon yaqthin. Kami bertanya, ‘Wahai Abu Hurairah, apakah pohon yaqthin itu?’ Beliau menjawab, ‘Itu adalah nama lain bagi pohon labu.”

Menurut Ibnu Abbas, asSuda dan Ibnu Zaid, keadaan Yunus a.s. ketika itu seperti bayi yang baru dilahirkan dari perut ibunya, tidak memiliki kekuatan apa-apa.

Mengenai firman Allah: “Dan Kami tumbuhkan baginya sebatang pohon dari jenis yaqthin,” Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Ikrimah, Mujahid dan ulama lain mengatakan bahawa pohon itu diyakini sebagi sejenis pohon labu.

Sebahagian ulama mengatakan bahawa munculnya pohon labu itu bagi Yunus a.s, membawa hikmah yang pelbagai. Antara lain, buahnya boleh dimakan sejak berputik sehingga masak, mentah dan masaknya enak dimakan, termasuk bahagian kulit dan bijinya.Salah satu manfaat buah ini ialah dapat memulihkan lemah urat saraf dan bahagian otak. ¤.

 


Ustaz Mohd Wahid Abd Hanif
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu 10

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas