Menu

 

A+ A A-

PAGARI BUNGA KEIMANAN DENGAN RASA MALU

PERNAHKAH KITA MENDENGAR UCAPAN SEBEGINI, “INI ADALAH FESYEN, KENAPA PERLU MALU BERPAKAIAN SEBEGINI?” DARI SEORANG GADIS YANG MEMPERAGAKAN TUBUHNYA YANG CANTIK DALAM PAKAIAN KETAT DAN SENDAT. ATAU UCAPAN SEBEGINI, “INI ADALAH BUDAYA, KENAPA PERLU MALU MEMELUK KEKASIH SENDIRI?” DARI SEORANG JEJAKA YANG MENCUMBUI KEKASIHNYA DI HADAPAN KHALAYAK RAMAI.

Mungkin kita pernah menonton rancangan realiti yang memerlukan pesertanya terkinja-kinja menjerit sambil mendedahkan aurat. Kita mungkin meminati artis dan pelakon yang hanya berbaju dan berseluar dalam di layar perak. Kita memuji suara, penampilan dan lakonan mereka. Dengan maksud lain, kita bersetuju dengan perbuatan mereka. Tahukah kita dosa apakah yang sedang mereka lakukan? Tahukah kita bahawa mereka sedang mengajar kita untuk mencabut rasa malu dan membuang maruah?

Awas! Jangan sesekali kita bersubahat dengan orang yang mahu mencabut iman dari hati Muslimin. semua ini adalah perangkap iman dan pembunuh kepada rasa malu. Berwaspadalah dengan apa yang kita lihat, buat dan sepakati. Hampir kesemua hiburan hari ini cuba mendidik penontonnya untuk membuang rasa malu. sekali perasaan malu sudah hilang, maka pintu syurga barangkali akan tertutup. Kenapa saya berkata begitu?

pagari iman

Kerana syurga itu hanya dihuni oleh pemilik iman. sedangkan iman persis bunga yang terancam, pagarnya adalah sifat malu. Tanpa malu, iman akan pupus. Manusia tanpa iman akan mendapat celaka di akhirat.

Hidup di zaman gawat memerlukan pagar iman yang kuat, kerana saban waktu ia akan digugat dengan fitnah yang dahsyat. Dalam riwayat al-Bukhari, situasi kritikal ini digambarkan oleh Rasulullah s.a.w.: “Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya.”

Lemahnya iman disebabkan sifat malu yang rapuh di dada manusia. Khususnya golongan wanita yang mudah ditipu oleh fitnah keduniaan. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah orang-orang fakir dan aku melihat ke dalam neraka, maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah wanita.”

imam Qurthubi menjelaskan hadis di atas dengan pernyataannya:
“Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka, kecenderungan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka untuk tertipu dengan kesenangan-kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal.”

Apabila wanita telah rosak akhlaknya dan hilang sifat malunya, maka si lelaki akan terheret dalam satu krisis moral yang kronik. Begitu juga sebaliknya, apabila terdidik wanita, maka seluruh generasi sama ada lelaki mahupun perempuan akan terdidik. untuk memagari iman, maka kita perlu mengerti apakah itu pagar malu yang paling utuh.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Malulah kepada Allah dengan sebenar-benar malu.”

Para sahabat menjawab: “Kami memang malu kepada Allah, wahai Rasulullah, alhamdulillah.”

Baginda berbicara lagi: “Bukan itu yang aku maksudkan. Malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu ialah – Engkau memelihara kepala dan apa yang difikirkan, engkau memelihara perut dan apa yang diisikan ke dalamnya, engkau mengingati mati dan segala kehancurannya. Dan sesiapa yang inginkan akhirat, dia tinggalkan perhiasan kehidupan, dan dia utamakan akhirat dari dunia. sesiapa yang melakukan sedemikian barulah dikatakan dia malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.”

inilah pagar iman yang akan membenteng kita daripada melakukan kejahatan. Malu yang terbina bersama kefahaman untuk menjauhi maksiat dan kekufuran akan memposisikan diri seseorang di tempat yang bermaruah. Percayalah bahawa sifat malu tidak akan menyisihkan kita dari arus globalisasi. Malah, kita akan lebih jelas dengan cara untuk melakukan sesuatu perkara. Malangnya, orang sudah berfi kir secara songsang. Malu dianggap penghalang kemajuan dan melakukan sesuatu secara membuta tuli itu dianggap keberanian. Tanpa dinilai aspek pahala dan dosa atau makruf dan mungkar.

Berhati-hatilah dalam memahami, memandang dan memberi persetujuan. Kerana ia akan memberi impak kepada keimanan di hati. Pagarilah bunga iman di jiwa dengan rasa malu. Moga ia menjadi bunga yang akan membawa kita ke syurga abadi.

pagariiman 2


Oleh A. Ubaidullah Alias
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 6

 


 

A. Ubaidillah Alias

Lulusan BA (Hons) Usuluddin, syukbah tafsir dari Universiti al-Azhar, Kaherah. Pernah berforum di Radio Kelantan dan menjadi tetamu di tv al Hijrah. Telah menulis banyak buku kreatif seperti novel, majalah dan buku-buku ilmiah untuk bacaan umum. Aktif dalam berceramah masjid dan sekolah. Kini bertugas sepenuh masa di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan(PKINK) sebagai pegawai latihan sumber manusia. Antara guru-guru beliau Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

Kembali ke atas