Menu

 

A+ A A-

SEWAKAN BAJU PENGANTIN DEDAH AURAT

SOALAN : Saya ada menyewakan pakaian pengantin yang mendedahkan aurat. Saya juga menyewakan set pelamin yang kadang kadang melibatkan persandingan yang mendedahkan aurat. Adakah rezeki yang saya terima halal?

JAWAPAN :

Mendedahkan aurat kepada yang bukan mahram adalah haram. Jika saudara memang mengetahui bahawa baju itu akan dipakai oleh pengantin di hadapan tetamu yang bukan mahram, atau pelamin yang disediakan akan melibatkan persandingan yang mendedahkan aurat kepada tetamu yang bukan mahram, maka adalah lebih baik saudara tidak berurus niaga dengan orang tersebut.

Hal ini adalah kerana dikhuatiri perbuatan saudara itu termasuk dalam larangan Allah, mafhumnya: “Bertolong-tolonglah kamu dalam kebaikan dan takwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam berbuat dosa dan melampaui batas. Dan bertakwalah kepada Allah.” (Surah al-Maidah: 2)

Walimah Wang Haram

SOALAN : Apakah hukum menghadiri majlis kenduri kahwin yang kita tahu bahawa kos perbelanjaannya daripada sumber wang haram? 

JAWAPAN :

Para fuqaha bersepakat bahawa adalah tidak wajib menghadiri walimah seseorang yang diketahui bahawa sebahagian besar pendapatannya adalah daripada sumber yang haram. Sama-sama kita ingat bahawa walimah ialah ibadah. Justeru, pastikan walimah itu dibiayai dengan sumber yang halal.

Laburkan Wang Emak

SOALAN :Saya ada melaburkan wang emak saya sebanyak RM5000 bersama dengan wang saya sendiri. Malangnya, pelaburan itu mengalami kerugian namun saya sempat mengeluarkan sebahagian daripadanya dan melaburkan pula dalam skim yang lain. Saya merancang untuk mengembalikan saja wang pokok emak saya setelah mendapat keuntungan hasil pelaburan yang kedua nanti. Bolehkah saya berbuat demikian atau saya wajib mengembalikan wang tersebut beserta dengan keuntungan?

JAWAPAN :

Ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan di sini:

1.Adakah pelaburan kali pertama dan kedua tersebut dilakukan bertepatan dengan syariah?

Jika pelaburan itu dilakukan  dalam produk yang tidak mematuhi syariah, maka keuntungannya hendaklah disalurkan kepada mana-mana badan kebajikan. Dengan kata lain, keuntungan tersebut adalah haram dan saudara serta emak saudara tidak boleh menganggapnya sebagai pendapatan.

2.Adakah saudara mengambil wang emak saudara itu sebagai seorang yang berhutang ataupun sebagai wakil yang diamanahkan untuk melaburkan wang tersebut?

Jika wang itu dianggap sebagai hutang, maka jumlah yang saudara istilahkan sebagai “pokok” sahaja yang perlu dikembalikan tidak kira sama ada pelaburan itu untung atau rugi. Namun jika saudara sebagai wakil, keuntungan dan kerugian bahagian pelaburan emak saudara adalah ditanggung dan dinikmati olehnya.

Kesimpulannya, jika terdapat keuntungan melalui pelaburan kedua, saudara hendaklah memulangkan jumlah modal berserta keuntungannya sekali kepada emak saudara.

Wallahu a‘lam.

 

                                                                             Prof. Dr. Ashraf Md Hashim

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Prof Dr Ashraf Md Hashim

Sarjana Muda Syariah,Universiti Islam Madinah, Sarjana Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Jordan dan Doktor Falsafah, Universiti Birmingham, United Kingdom. Memegang banyak jawatan penting antaranya anggota Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (MPS BNM), ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Profesor (Syariah) di Pusat Pendidikan Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (INCEIF). Pengarah Urusan, ISRA Consultancy dan juga Timbalan Presiden, Persatuan Penasihat Shariah Kewangan Islam Malaysia.

Kembali ke atas