Menu

 

A+ A A-

HUKUM CETAK ROMPAK

SOALAN: Saya seorang mahasiswa IPTA. Saya tidak mampu untuk membeli semua bahan rujukan asal yang mahal harganya, terutamanya buku-buku keluaran luar negeri. Saya hanya mampu membuat salinan fotokopi bahan-bahan tersebut. Dalam buku-buku tersebut ada ditulis hak cipta (copyright) yang menyatakan bahawa sebarang ulang cetak atau salinan tidak dibenarkan melainkan mendapat izin daripada penerbit. Saya bimbang perbuatan ini salah di sisi syarak dan tiada keberkatan pada ilmu yang dipelajari. Salahkah perbuatan saya ini?

JAWAPAN

Saya menghargai keperihatinan saudara dalam soal halal haramnya sesuatu perkara dan tindakan. Saya berdoa agar kehidupan saudara akan dipelihara di dunia dan akhirat. Bagi persoalan ini, ada beberapa pertimbangan yang perlu dibuat:

A) Menilai kondisi kewangan dan kegunaannya untuk keperluan seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain. Keutamaan pastinya perlu diberikan kepada yang sepatutnya. Jika saudara sememangnya tidak mampu membeli buku yang original, keadaan saudara bolehlah disifatkan sebagai darurat. Dalam keadaan ini, kaedah fiqah iaitu “darurat mengharuskan perkara-perkara yang haram” boleh diaplikasikan. Maksudnya, saudara tidak berdosa jika membuat salinan fotokopi buku-buku rujukan tersebut.

B) Kaedah fiqah lain iaitu “darurat hendaklah dalam kadar yang diperlukan sahaja” perlu diaplikasikan bersama. Maknanya, keharusan yang diberi bukanlah secara mutlak tetapi mengikut keperluan sahaja. Antara syarat-syaratnya:

i) Perbuatan tersebut dilakukan hanya untuk kegunaan peribadi dan bukan komersial.

ii) Salinan yang dibuat berkaitan dengan pembelajaran sahaja.

iii) Kebenaran adalah dalam keadaan darurat sahaja. Apabila sudah tidak darurat lagi, maka saudara perlulah membeli buku yang original bagi menggantikan buku Salinan tersebut sekiranya masih memerlukan.

iv) Jika pencipta dan pengarang buku-buku tersebut ialah orang Islam, maka doakanlah kebaikan mereka di dunia dan akhirat. Saudara boleh juga bersedekah dan niatkan pahalanya untuk mereka.

Harta Intelek

SOALAN: Sekarang banyak dibincangkan mengenai harta intelek (intellectual property), hak paten (patent right) dan tanda dagangan (trade mark). Apakah perkara-perkara ini diiktiraf sebagai harta dalam Islam?

JAWAPAN

Persoalan harta intelek adalah sesuatu yang agak baru. Dalam sejarah Eropah, undang-undang paten yang pertama telah digubal pada tahun 1474 di Itali. Ia bertujuan menggalakkan para pencipta dan pereka menggemblengkan usaha dan tenaga mereka bagi pembangunan teknologi. Antara yang terawal mendapat paten hak cipta ialah pam yang dicipta oleh Galileo Galilei untuk tujuan pengairan.

hukum-cetak-rompak-2

Walaupun tiada perbincangan khusus berkaitan perkara ini oleh ulama silam, Islam sebagai agama yang dinamik dan sentiasa sesuai diamalkan sudah tentu ada jawapan kepada perkara ini. Persidangan Fiqh Islam Sedunia ke-6 di Kuwait pada 1-6 Jamadil Awwal 1409H membuat resolusi berikut:

“Hak penulisan, hak cipta dan hak kreativiti adalah terpelihara dan dilindungi serta diiktiraf mengikut syariat Islam. Hak-hak itu adalah kepunyaan pemilik-pemiliknya dan tidak boleh dicerobohi.”

Pendirian yang sama juga telah diambil oleh Majlis Fatwa Eropah yang diketuai oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi.

Hukum Muamalah

SOALAN: Apakah pula hukum bermuamalah dengan harta intelek tersebut seperti menjual, menyewa, menggadai dan sebagainya?

JAWAPAN

Apabila harta intelek diiktiraf sebagai harta oleh syarak, maka sudah tentu segala hukum-hakam berkaitan dengan harta berlaku ke atasnya. Dengan kata lain harta intelek boleh dijual, disewa, digadai dan sebagainya.

hukum-cetak-rompak-3

hukum-cetak-rompak-4

hukum-cetak-rompak-5

Namun, harta intelek adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Maka pihak-pihak yang terlibat dalam kontrak hendaklah berhati-hati dalam mencapai kesepakatan dalam perkaraperkara yang berkaitan penyerahan, pemilikan dan pengawalan.

Dihukum Hudud

SOALAN: Adakah pencuri harta intelek boleh dikenakan hukuman hudud?

JAWAPAN

Secara umum, hukum mencuri harta intelek adalah haram. Ia diiktiraf oleh syarak, maka sudah pasti syarak juga menjaganya daripada dicerobohi.

Syarat pelaksanaan hukum hudud perlu difahami terlebih dahulu. Pertama, hudud boleh dikenakan ke atas pencuri apabila cukup semua syaratnya dan disabitkan secara “melampaui sebarang keraguan” (beyond any doubt). Ia perlu melebihi keperluan standard biasa undang-undang iaitu “melampaui keraguan munasabah” (beyond reasonable doubt).

Dengan kata lain, hukuman hudud akan terangkat dengan adanya keraguan walaupun sedikit. Dalam keadaan ini, berkemungkinan hukuman takzir boleh dikenakan dan bukannya hudud.

Kedua, syarat-syarat umum hudud adalah berkaitan dengan kesaksian, ikrar dan sebagainya. Manakala syarat khas berkaitan dengan jenayah mencuri antaranya adalah nisab dan hirz. Nilai barangan yang dicuri hendaklah melebihi nisab tertentu. Mencuri barangan murah seperti aplikasi telefon bimbit yang nilainya hanya RM1, sudah tentu tidak akan membawa kepada hukuman hudud.

Hirz berkaitan dengan cara sesuatu barang disimpan. Ia hendaklah disimpan di tempat yang menghalang orang lain daripada mendapatkannya. Sebagai contoh, barang kemas hendaklah disimpan di tempat yang berkunci. Jika seseorang mencuri barang kemas dari tempat awam yang terbuka, maka hukuman hudud tidak boleh dikenakan ke atasnya.

Berbalik kepada harta intelek, saya berpandangan bahawa kebanyakan kes tidak memenuhi syarat yang berkaitan dengan hirz kerana boleh diakses oleh orang ramai. Oleh itu, hudud tidak boleh dikenakan ke atas pencurinya. Namun hukuman takzir seperti denda, penjara dan sebagainya boleh dijatuhkan ke atas pelakunya.

Ciptaan Kafir

SOALAN: Ada yang berhujah bahawa tidak salah melakukan cetak rompak atas perisian yang dicipta oleh orang kafir. Apa pandangan Prof?

JAWAPAN

Hujah ini tidak benar. Muslim tidak dibenarkan mencuri harta orang kafir. Islam datang sebagai rahmat untuk sekalian alam. Oleh itu, semua manusia tanpa mengira agama dan bangsa akan dapat hidup dengan penuh harmoni dan sejahtera di bawah payung Islam.

Ada perbincangan fiqah menyatakan jika orang Islam merosakkan sebotol arak milik orang kafir, dia perlu membayar ganti rugi atas perbuatannya itu walaupun arak bukanlah dianggap sebagai harta bagi orang Islam. Kedudukan harta intelek sudah tentu lebih tinggi kerana ia dianggap harta oleh syarak.

Dalil lain adalah perlakuan Rasulullah dan para sahabat Baginda yang berjual beli dengan orang Yahudi serta kafir Musyrik. Ini menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan menceroboh harta orang kafir. Mereka mesti mendapatkannya dengan cara yang halal seperti berjual beli dan sebagainya.

Cetak Rompak

SOALAN: Saya menjalankan perniagaan dengan menggunakan perisian cetak rompak. Adakah ini dibenarkan oleh syarak?

JAWAPAN

Pencerobohan ke atas harta intelek adalah diharamkan. Apabila seseorang menjadikan barang tiruan sebagai tulang belakang perniagaannya, maka perniagaan itu dikira haram. Dikhuatiri hasilnya juga haram dan tidak diberkati Allah.

hukum-cetak-rompak-6

Wallahu a‘lam.

PROF. DR. ASHRAF MD HASHIM

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Prof Dr Ashraf Md Hashim

Sarjana Muda Syariah,Universiti Islam Madinah, Sarjana Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Jordan dan Doktor Falsafah, Universiti Birmingham, United Kingdom. Memegang banyak jawatan penting antaranya anggota Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (MPS BNM), ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Profesor (Syariah) di Pusat Pendidikan Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (INCEIF). Pengarah Urusan, ISRA Consultancy dan juga Timbalan Presiden, Persatuan Penasihat Shariah Kewangan Islam Malaysia.

Kembali ke atas