Menu

 

A+ A A-

MENELUSURI ZAMAN KANAK-KANAK RASULULLAH

Penjaga Nabi

Rasulullah anak yatim piatu sejak kecil lagi. Jadi siapakah yang bertanggungjawab menjaga dan mendidik Rasulullah ketika itu?

Ringkasnya turutan penjaga Rasulullah adalah seperti berikut:

1. Selepas dilahirkan, Baginda dijaga oleh ibu Baginda sendiri Aminah binti Wahab sehinggalah penjagaan itu berpindah kepada ibu susuannya Halimah Binti al-Harith daripada Bani Sa‘ad.

2. Selepas peristiwa malaikat membelah dada Nabi ketika berada di perkampungan Bani Sa‘ad, Baginda dihantar pulang ke Makkah dan penjagaan Baginda diteruskan oleh ibunya. Ketika berusia enam tahun, Baginda mengikut ibunya ke Madinah untuk menziarahi keluarga ibunya daripada Bani ‘Adi bin al-Najjar. Ibunya meninggal dunia di Abwa’ ketika dalam perjalanan pulang ke Makkah.

Menurut sebuah riwayat, semasa berada di Madinah dalam ziarah tersebut, kehadiran Baginda telah menarik perhatian dua orang lelaki Yahudi. Salah seorang daripada mereka berkata: “Inilah nabi umat ini dan inilah negeri (Madinah) yang akan menjadi tempatnya berhijrah. Di negeri ini kelak akan berlaku peperangan dan penawanan yang banyak.”

Aminah yang berasa risau lantaran perbualan itu segera bertolak pulang ke Makkah. Namun beliau meninggal dunia di Abwa’.

3. Selepas kewafatan Aminah, Baginda dijaga oleh datuknya Abdul Mutalib. Kedudukan Nabi amat istimewa pada datuknya, sehingga hanya Baginda dibenarkan untuk duduk di atas kerusi khas yang diperuntukkan kepada Abdul Mutalib berhampiran Kaabah. Datuknya meninggal dunia ketika Baginda berusia lapan atau 10 tahun.

4. Selepas kewafatan datuknya, hak penjagaan Baginda dipegang oleh dua bapa saudaranya iaitu al-Zubayr dan Abu Talib. Ketika berusia 10 tahun, Baginda mengikut al-Zubayr berniaga ke Yaman. Al-Zubayr meninggal dunia ketika Baginda berusia 14 tahun. Selepas itu, hak penjagaan Baginda beralih sepenuhnya kepada Abu Talib.

Bertemu Buhayra

Dikatakan bahawa Baginda juga dibawa berdagang ke Syam dan Baginda bertemu dengan seorang rahib di sana. Siapakah rahib tersebut dan bagaimana kisahnya?

Menurut rekod sejarah, nama rahib tersebut adalah Buhayra dan beliau ialah seorang rahib Nasrani yang paling alim di Busra, iaitu sebuah daerah di Syam. Baginda bertemu dengannya pada zaman kanak-kanak ketika mengikut bapa saudaranya Abu Talib berdagang ke Syam.

Pada kebiasaannya Buhayra tidak pernah mempedulikan kafilah dagang Abu Talib yang selalu juga melintas rumah ibadahnya di Busra. Namun pada tahun tersebut, kafilah dagang Abu Talib yang turut disertai oleh Nabi Muhammad telah mendapat perhatian yang luar biasa daripada Buhayra.

Buhayra tertarik dengan kafilah dagang Abu Talib kerana mendapati awan selalu menaunginya. Beliau kemudiannya menjemput semua ahli kafilah tersebut untuk menikmati jamuan yang disediakannya. Dalam majlis itu Buhayra meneliti dan bertanya Baginda tentang sifat, gaya hidup dan cara tidurnya. Kesemua jawapan Baginda didapati bertepatan dengan ciri nabi akhir zaman. Buhayra juga bertambah yakin dengan kerasulan Baginda setelah mendapati tanda penutup kenabian memang wujud pada belakang Baginda.

Buhayra meminta supaya Abu Talib segera membawa Baginda pulang dan berhati-hati dengan orang Yahudi. Sekiranya rahsia tersebut diketahui mereka, sudah pasti Nabi akan dianiaya. Walau bagaimanapun kisah si rahib yang bernama Buhayra juga disebut dalam satu peristiwa lain ketika Abu Bakar dan Nabi keluar berniaga ke Syam. Semasa singgah di sebuah biara, Baginda berteduh di bawah sebatang pokok bidara, manakala Abu Bakar pergi berjumpa dengan si rahib untuk bertanyakan persoalan agama.

Si rahib lalu mengatakan bahawa lelaki yang sedang berteduh di bawah pokok bidara tersebut pasti akan dilantik menjadi nabi suatu hari nanti. Alasannya, belum pernah ada orang berteduh di bawah pokok tersebut sebelum ini kecuali Nabi Isa. Sejurus mendengar perkhabaran itu, Abu Bakar mulai menanam azam untuk beriman kepada Rasulullah apabila Baginda mengisytiharkan dirinya sebagai Rasul .

Pergaulan Terjaga Sejak Muda

Bolehkah ustaz sebutkan peristiwa lain yang menunjukkan keistimewaan Baginda sebelum kenabian?

Semasa mudanya Rasulullah pernah berniat untuk keluar ke Makkah pada lewat malam untuk bersuka ria bersama muda-mudi Makkah. Baginda meminta teman sekerjanya menjaga kambing gembalaannya sementara Baginda ke Makkah. Sebelum sampai ke tempat dituju lagi, Baginda ingin singgah ke sebuah majlis perkahwinan setelah tertarik dengan lantunan muziknya. Namun Baginda tiba-tiba tertidur dan hanya tersedar setelah berasa teriknya matahari menjamah kulitnya.

Peristiwa sebegini berlaku sebanyak dua kali. Selepas itu Baginda tidak lagi cuba mengulangi perbuatannya. Selain itu, Imam al-Razi juga menyebut sebuah kisah yang diceritakan oleh Abu Talib kepada Abbas bin Abdul Mutalib tentang keperibadian Nabi semenjak kecil lagi.

Menurutnya, Baginda tidak membenarkan orang melihat auratnya, memiliki tubuh yang harum seperti kasturi, selalu mengucap: “Dengan nama Allah Tuhan Yang Satu” sebelum makan dan memuji Allah setelah selesai makan. Abu Talib juga tidak pernah melihat nabi berdusta, ketawa, bersikap bodoh dan bermain bersama kanak-kanak lain.

Rujukan:

Al-Sirah al-Nabawiyyah, Ibn Kathir.

Sirah Ibn Ishaq.

Ma‘rifat al-Sahabah, Abu Nuaim al-Isbahani.

Tafsir al-Razi.

Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sarjana Usuluddin (Tafsir al-Quran), UM. Kini pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Tulisan beliau kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tumpuan penulisan beliau ialah kefahaman dan interaksi dengan al-Quran. Dekati beliau di abdullahbukhari.blogspot.com. 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas