Menu

 

A+ A A-

RASULULLAH S.A.W. BAPA MITHALI

Ibn Abbas r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w.bersabda: “Ajarlah, permudahlah dan jangan menyusahkan! Gembirakanlah dan jangan menakutkan! Jika salah seorang dari kamu marah hendaklah berdiam diri!” (Hadis riwayat Ahmad dan Bukhari)

1. Menunjukkan teladan yang baik

Menunjukkan teladan yang baik akan memberikan kesan yang positif terhadap jiwa anak-anak kerana mereka sentiasa memerhatikan tingkah laku ibu dan bapa mereka. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan anak-anak mereka.

Bersikap jujur dengan anak

Rasulullah s.a.w. memerintahkan ibu dan bapa agar sentiasa bersikap mulia dan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak mereka seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Baginda s.a.w. bersabda: “Barangsiapa berkata kepada anaknya, ’Kemarilah! (Nanti saya beri)’tetapi tidak memberikannya, maka dia adalah pembohong.” (Riwayat Ahmad)

Melakukan amal ibadah

Anak-anak sentiasa memerhatikan tingkah laku dan perbuatan yang dilakukan oleh ibu bapanya. Sekiranya ibu bapa mereka melakukan sesuatu perkara, mereka akan mengikut dan meniru perbuatan tersebut. Begitu juga dengan amal ibadah, sebagai seorang bapa atau ibu ajarlah anak anda untuk beribadah dengan menjadikan diri anda sebagai seorang model untuk diteladani kerana anak-anak melihat dan meniru apa yang berlaku di hadapan mereka.

Menurut Ibnu Abbas: “Aku bermalam di rumah Maimunah dan melihat Rasulullah s.a.w.bangun malam. Apabila berada di sepertiga malam, Baginda bangun dan berwuduk dengan air dari bekas kulit yang digantung di sebelah kiri katil Baginda. Selepas itu, Baginda pun mengerjakan solat malam. Aku pun ikut bangun dan berwuduk dari tempat air yang digunakan oleh Baginda. Kemudian aku  melaksanakan solat di sebelah kiri Baginda, lalu Baginda memindahkanku di sebelah kanannya.” (Riwayat Bukhari)

2. Memilih waktu yang sesuai untuk menasihati anak

Memberi nasihat pada waktu yang sesuai mempunyai kesan yang besar ke atas kanak-kanak.

Rasululah s.a.w. sentiasa memilih masa yang  sesuai untuk menasihati anak-anaknya. Pemilihan waktu yang sesuai ini membantu anak-anak untuk memantapkan peribadi mereka. Oleh sebab itu, bilakah masa yang sesuai  untuk menasihati anak-anak?

Rasulullah s.a.w. mencontohkan kepada kita tiga keadaan atau masa untuk kita menasihati anak-anak:

Ketika berjalan-jalan

Ibnu Abbas menyatakan kisah beliau bersama Baginda s.a.w. ketika dalam perjalanan menaiki seekor baghal yang dihadiahkan kepada beliau oleh Kisra. Ketika itu Ibnu Abbas membonceng di belakang.

Ketika dalam perjalanan Baginda s.a.w. menoleh ke belakang dan bersabda: “Wahai anak muda!” Saya ya Rasulullah, jawabnya. “Jagalah Allah, kamu pasti akan dijaga oleh-Nya!” (Riwayat Tirmizi dan disebutkan juga dalam Mustadrak Imam Hakim dengan  sedikit penjelasan mengenai kenderaan yang ditungganginya).

Dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah menziarahi seorang kanak-kanak Yahudi yang sedang sakit. Baginda datang ke rumahnya dan duduk di sebelah kepalanya. Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya, “Islamlah.” Maka dia memandang ke arah ayah nya  yang berada di sisi. Ayahnya berkata, “Ikutilah Abul Qasim (Rasulullah s.a.w.).” Kanak-kanak itu pun, menyatakan keislamannya. Rasulullah s.a.w. keluar sambil bersabda: “Alhamdulillah, Allah telah menyelamatkannya daripada api neraka.” (Riwayat Bukhari)

 

Pada waktu makan

 

Sebagai seorang bapa, masa yang sesuai untuk menegur anak-anak kita ialah pada waktu makan. Ini adalah kerana Rasulullah s.a.w memberi nasihat ketika menemani anak-anak baginda makan. Perkara ini dapat kita lihat berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:“Wahai anak! Bacalah bismillah, makanlah dengan tangan kanan dan ambillah (makanan) yang terdekat.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

 

Ketika anak sakit

Sebagai seorang insan, hati kita akan menjadi lembut ketika kita sakit. Begitu juga anak-anak, hati mereka menjadi lembut danbersedia menerima nasihat waktu mereka sakit itu.

 

bapa mitsali2

3. Adil dan tidak pilih kasih

Sikap tidak adil dan pilih kasih ibu bapa terhadap anak-anak akan menimbulkan rasa cemburu dan iri hati dalam jiwa mereka kerana merasakan diri mereka disisihkan. Oleh yang demikian Rasulullah s.a.w. telah menasihati kita agar memperlakukan anak-anak dengan baik iaitu dengan perlakuan yang adil dan tidak memilih kasih. Rasulullah s.a.w bersabda: “Bertakwalah kepada Allah, bersikap adillah terhadap anak-anak kamu.” (Riwayat Bukhari)

4. Memenuhi hak-hak anak

Sebagai seorang bapa kita seharusnya memenuhi hak-hak anak terhadap kita dan apabila hak-hak anak dipenuhi, sikap positif akan terpancar dari dalam diri mereka. Mereka juga akan belajar bahawa dalam kehidupan seseorang itu perlu mempunyai sikap memberi dan menerima. Keteladanan yang baik dan sikap adil terhadap anak-anak akan melahirkan sebuah keluarga yang harmoni dan penyayang. Rasulullah s.a.w. sentiasa memenuhi hak anak-anak kecil meskipun perlu mendahului orang tua.

Imam Bukhari dan Muslim me riwayat kan daripada Sahal bin Saad bahawa Rasulullah s.a.w. diberi air minuman dan di sebelah kanan Baginda terdapat seorang anak kecil yang bernama Al-Fadhl bin al-Abbas dan di sebelah kiri Baginda pula terdapat orang dewasa.

Setelah minum, (sebagaimana lazimnya, giliran untuk minum haruslah diberikan terlebih dahulu kepada orang berada di sebelah kanan)
Rasulullah s.a.w. bertanya kepada anak kecil yang berada di sebelah kanan Baginda,

“Adakah engkau izinkan aku memberi minum kepada mereka (orang dewasa) terlebih dahulu?”

“Tidak Rasulullah,” jawab anak kecil itu,

“Aku tidak akan mengutamakan sesiapa pun setelah aku mendapatnya daripadamu.”  Rasulullah s.a.w. pun memberikan air minuman tersebut kepadanya.” (Imam Nawawi juga menyebutnya dalam Riyadhus Saalihin pada bab Al-Tanaafus fi Umur al-Aakhirah).

bapa mitsali

5. Mendoakan anak

Doa merupakan perisai utama yang harus diamalkan oleh setiap ibu bapa. Memilih waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa juga adalah penting. Doa seorang bapa atau ibu kepada anak-anak akan menghangatkan dan memantapkan kasih sayang antara seorang ibu atau bapa kepada anaknya. Demi kebaikan anak-anak, ibu atau bapa haruslah memohon dengan bersungguh-sungguh dan penuh harapan kepada Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. pernah mendoakan seorang anak kecil agar tidak takut kepada ibunya yang beragama Nasrani. Sebagaimana yang diceritakan oleh Abdul Hamid al-Ansaaribahawa ketika datuknya masuk Islam,neneknya telah melarang. Maka, datuknya telah membawa isteri dan seorang anaknya yang belum baligh bertemu Rasulullah s.a.w. Rasulullah memberikan pilihan kepada anak tersebut sama ada ingin memilih ayah atau ibunya, sambil berdoa, “Ya Allah, berilah hidayah kepadanya.” Kemudian, anak tersebut memilih ayahnya.” (Riwayat Ahmad dan Nasaie)

6. Membantu anak agar taat dan Berbakti

Sebagai ibu atau bapa kita seharusnya bersikap kondusif dan koperatif untuk membentuk anak-anak kita agar mentaati Allah dan berbuat baik kepada ibu bapa.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Semoga Allah merahmati ibu bapa yang menolong anaknya agar berbakti kepadanya.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Dalam hadis yang lain Baginda bersabda yang bermaksud: “Bantulah anak-anakmu agar berbakti! Barang siapa yang ingin melakukannya, maka dia dapat mengeluarkan sikap derhaka dari diri anaknya.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Sebagai ibu atau bapa kita seharusnya bertanggungjawab untuk mempersiapkan anak-anak kita agar mereka menjadi orang yang sentiasa mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.


bapa mitsali3

Oleh Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 08

 


 

 

Mohd Azrul Azlen Abd Hamid

Dilahirkan di Kedah dan mendapat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana (MA) dalam bahasa Arab juga di UIAM, dan menyambung pengajian peringkat Ph.D di Universiti Malaya. Kini menjawat jawatan pensyarah di UIAM. Berpengalaman dalam bidang motivasi dan kepimpinan dan aktif dalam penerbitan buku ilmiah dan artikel majalah. Merupakan penulis Indahnya Hidup Bersyariat. Layari blog beliau di http://mohdazrul.blogspot.com. Beliau juga boleh dihubungi di mohdazrulazlan@gmail.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

tbbk1297

 

Artikel berkaitan: VISI DAN MISI RASULULLAH SAW »
Kembali ke atas