Menu

 

A+ A A-

PENGAWAL PERIBADI MENURUT ISLAM

Apabila melihat gambar tokoh besar dunia diringi oleh pengawal peribadi, kita akan tertanya-tanya tentang hukum pengawal peribadi dalam Islam? Apa relevannya menggunakan khidmat pengawal peribadi sedangkan Allah sudah menetapkan segala takdir ketentuan manusia. Firman Allah: “Tidak ada sesuatu kesusahan yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga menimpa diri kamu melainkan telah sedia ada dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya lagi. Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”

(Surah al-Hadid: 22).

Sebenarnya Baginda Rasulullah sendiri memiliki ramai pengawal peribadi. Para sahabat bergiliran menjaga Nabi dalam banyak peristiwa. Siti Aishah pernah menceritakan bahawa pada suatu malam Baginda terjaga kerana tidak dapat tidur.

Baginda bersabda: “Alangkah elok sekiranya ada lelaki soleh dari kalangan sahabatku yang dapat menjagaku pada malam ini.” Tiba-tiba terdengar bunyi suara senjata dari luar rumah. Rasulullah bertanya: “Siapakah di luar sana?” Lelaki tersebut menjawab: “Aku adalah Sa’ad Ibn Abi Waqqas. Aku datang untuk menjaga keselamatan tuan.”

Selepas itu Rasulullah tidur sehingga kedengaran bunyi dengkurnya (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Walau bagaimanapun, Rasulullah menolak untuk dikawal setelah turunnya firman Allah: “Allah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Surah al-Maidah: 67).

Ayat ini memberi jaminan keselamatan kepada Baginda. Dan terbukti baginda tidak mati dibunuh sehingga ke akhir hayatnya. Kesimpulannya, Islam mengharuskan khidmat pengawal peribadi kerana ia termasuk dalam lingkungan usaha ikhtiar bagi menyelamatkan diri dari sebarang bencana.

:: Dipetik dari facebook: Abdullah Bukhari Abdul Rahim pada 11 Januari 2012

 

Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.12

 


 

Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sarjana Usuluddin (Tafsir al-Quran), UM. Kini pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Tulisan beliau kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tumpuan penulisan beliau ialah kefahaman dan interaksi dengan al-Quran. Dekati beliau di abdullahbukhari.blogspot.com. 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas