Menu

 

A+ A A-

AGAR DICINTAI NABI: IMAM MALIK

Imam Malik sangat menghormati Rasulullah s.a.w. Meskipun Baginda s.a.w. sudah wafat, namun Imam Malik tetap menghormati Baginda s.a.w. sehingga beliau tidak mahu menunggang kuda di dalam kota Madinah kerana hati dan jiwanya tidak tergamak melihat kaki kuda yang ditungganginya menginjak-injak tanah yang di dalamnya jasad mulia Rasulullah s.a.w.

Diceritakan bahawa Imam Malik mempunyai beberapa ekor kuda yang cantik, pemberian beberapa orang hartawan kepada beliau sebagai hadiah. Oleh kerana orang ramai melihat kuda-kuda beliau itu hanya tertambat di kandang rumahnya sahaja dan melihat Imam Malik pula yang selalu berjalan kaki ketika hendak ke masjid kerana mengajar dan bersolat, maka mereka tidak pernah melihat beliau menunggang kuda sehingga ada orang yang bertanya kepada Imam Malik, “Kenapa Tuan Guru tidak pernah menunggang kuda dan hanya menyimpannya sahaja?”

Imam Malik menjawab, “Apakah aku tidak malu kepada Allah SWT jika aku menginjak kaki kudaku ke atas bumi yang di dalamnya ada tertanam jasad Rasulullah s.a.w.?

Meskipun pada ketika usia beliau telah lanjut dan badannya telah lemah serta sakit-sakit, Imam Malik masih juga tidak mahu menunggang kudanya untuk pergi bersolat di masjid atau untuk menziarahi sahabat dan saudara maranya. Beliau lebih suka berjalan kaki demi hormatnya beliau kepada Nabi s.a.w.  


Ustaz Mohamad Wahid Hanif
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas