Menu

 

A+ A A-

ULAMA MESTI BIJAK MEMAHAMI REALITI

Seorang ulama dituntut bukan hanya takut kepada Allah, namun mesti pandai membaca keadaan. Ini kerana tugas mereka seperti doktor. Ubat yang diberikan kepada pesakit mestilah bersesuaian dengan tubuhnya. Ubat untuk orang dewasa berbeza dengan ubat untuk kanak-kanak. Ubat untuk ibu hamil sudah tentu berbeza dengan ubat untuk anak gadis.

Justeru ulama tidak boleh jumud dan berfikiran sempit. Kadang kala ia harus berani memutuskan satu hukum yang berbeza dengan pemahaman kebanyakan manusia. Mari kita lihat sikap Yahya bin Yahya al-Andalusi (w. 234H) dalam kisah berikut. Beliau adalah seorang pakar hadis dan fiqah bermazhab Maliki. Beliau pernah berguru secara langsung dengan Imam Malik bin Anas dan meriwayatkan kitab hadisnya yang bernama al-Muwatta’.

Berjimak pada Bulan Ramadan

Pada suatu hari di bulan Ramadan, Abdul Rahman seorang raja Andalusia menjemput para ulama ke istananya. Sudah tentu Imam Yahya bin Yahya tidak terkecuali kerana beliau pemimpin para ulama Andalusia pada masa itu. Apabila semua ulama telah tiba, Raja Abdul Rahman menjelaskan maksud perjumpaan tersebut. Beliau ingin meminta fatwa berkenaan kes yang berlaku pada dirinya. Raja Andalusia mendedahkan bahawa beliau telah berjimak pada siang hari bulan Ramadan. Beliau sangat menyesal dan ingin bertaubat. Justeru beliau meminta nasihat: “Apa yang patut saya lakukan sebagai taubat yang sempurna?”

Sebelum para ulama yang lain menjawab soalan tersebut, Yahya bin Yahya maju ke hadapan dan berkata: “Baginda mesti membayar kafarah berupa puasa dua bulan berturut-turut!” Semua ulama terdiam. Tiada seorang pun yang berani menyanggah pendapat beliau. Padahal mereka tahu bahawa jawapan ini tidak sejalan dengan mazhab Maliki yang menjadi mazhab rasmi negara.

ulama-mesti-bijak-1

Kafarah Berjimak pada Bulan Ramadan

Dalam mazhab Maliki, seseorang yang berjimak pada bulan Ramadan memang diwajibkan melaksanakan kafarah dengan melakukan salah satu daripada tiga perkara berikut:

1. Memerdekakan seorang hamba, atau

2. Berpuasa selama dua bulan berturut-turut, atau

3. Memberi makan kepada 60 orang miskin. Mana-mana satu yang dilakukan cukuplah ia sebagai kafarahnya.

Tidak mungkin ulama sehebat Yahya bin Yahya boleh lupa perkara ini. Mereka yakin bahawa beliau tentu ada hujahnya. Selepas bersurai dari majlis tersebut, para ulama segera menemui Yahya bin Yahya. Mereka bertanya: “Mengapa anda terus mewajibkan baginda berpuasa dua bulan berturut-turut? Bukankah ada pilihan lain?”

Yahya menjawab: “Baginda seorang raja yang kaya-raya. Setakat membebaskan hamba atau memberi makan kepada 60 orang miskin adalah senang baginya. Sekiranya kita membuka pilihan tersebut, nescaya ia akan selalu berjimak pada bulan Ramadan. Maka aku fatwakan ke atasnya perkara yang paling berat agar beliau tidak mengulangi perbuatannya.”

Demikianlah sebagaimana diceritakan oleh al-Qadi ‘Iyad dalam kitab Tartib al-Madarik wa Taqrib al-Masalik dan Ibn Khallikan dalam Wafayat al-A‘yan.

Hakikat Kafarah

Perhatikan ketelitian Imam Yahya bin Yahya. Beliau memahami bahawa tujuan hukuman kafarah tersebut yang sebenarnya adalah untuk mencegah orang lain daripada mengulangi kesalahannya. Maka hukuman ini mesti disesuaikan dengan keadaan, termasuklah keadaan orang yang melakukannya. Jika seorang yang kaya hanya dibebankan untuk membebaskan hamba atau memberi makan kepada 60 orang miskin, maka hukuman itu tidak akan menghalangnya daripada mengulangi kesalahan yang sama. Maka, hukuman yang paling bersesuaian dan lebih efektif adalah dengan berpuasa selama dua bulan berturut-turut.

Prinsip ini menjalar kepada banyak masalah-masalah fiqah yang lain. Kesemuanya memerlukan ketelitian dan ketajaman fikiran daripada seorang ustaz atau ulama yang akan mengajarkan fiqah kepada masyarakat. Semoga Allah merahmati Yahya bin Yahya dan seluruh ulama kaum Muslimin. Semoga kita diberikan ketelitian dan kecerdasan akal sehingga dapat menuruti jejak langkah mereka. Amin ya Rab ‘alamin.

Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas