Menu

 

A+ A A-

KHADIJAH CINTA PERTAMA RASULULLAH

KHADIJAH CINTA PERTAMA RASULULLAH

Mohon ustaz ceritakan tentang rentetan awal perkahwinan antara Rasulullah dan isteri pertama Baginda iaitu Khadijah Binti Khuwailid.

Beliau seorang usahawan wanita berbangsa Quraisy yang mulia. Gelarannya ketika zaman jahiliah ialah al-Tahirah yang bermaksud wanita yang suci kerana ketinggian akhlaknya.

Kebiasaannya beliau mengupah orang membawa barang dagangannya untuk didagangkan di luar Makkah. Setelah mendengar tentang budi pekerti Nabi s.a.w. yang amanah lagi mulia, Khadijah berhasrat untuk mengupah Baginda supaya memperdagangkan barangannya ke Syam sambil ditemani pekerjanya bernama Maisarah.

Semasa berada di Syam, Maisarah singgah di sebuah rumah ibadah Yahudi. Nabi pula pergi berteduh di bawah sebatang pokok di situ. Si rahib memberitahu Maisarah bahawa lelaki yang duduk berteduh di bawah pokok tersebut ialah seorang nabi.

Dalam perjalanan pulang pula, Maisarah seakan-akan melihat dua malaikat mengiringi dan melindungi kafilah dagangnya daripada panas matahari. Sesampainya di Makkah, Maisarah menceritakan kata-kata si rahib dan perihal naungan malaikat kepada Khadijah.

Sebaik mendengar kisah Maisarah itu, Khadijah sendiri yang terus mengorak langkah meminang Rasulullah. Sedangkan pada masa itu, Khadijah ialah wanita bangsawan Makkah yang paling kaya dan menjadi rebutan ramai lelaki. Akhirnya mereka berdua berkahwin.

Berkenaan dengan wali, sesetengah ulama sejarah mengatakan bahawa bapa Khadijah sendiri iaitu Khuwailid ibn al-Asad yang mewalikannya. Ada juga pandangan lain yang mengatakan bahawa Khadijah diwalikan oleh bapa saudaranya ‘Amru ibn al-Asad atau abangnya.

 Hasil Perkongsian Hidup

Berapakah anak yang lahir daripada perkahwinan Rasulullah dengan Khadijah?

Rasulullah tidak pernah berkahwin lain semasa hayat Khadijah. Hasil perkahwinan tersebut, Baginda dikurniakan tujuh orang anak iaitu Zainab, Ummu Kalthum, Ruqayyah, Fatimah, al-Qasim, al-Tahir dan al-Tayyib.

Namun menurut Imam Ibn Kathir, jumlah anak Nabi bersama Khadijah sebenar diperselisihkan oleh para ulama. Antara alasannya, al-Tahirdan al-Tayyib sebenarnya dua gelaran yang diberikan kepada seorang anak lelaki Baginda yang bernama Abdullah. Abdullah lahir dan meninggal setelah Baginda dilantik menjadi Rasul.

Menarik sekali untuk kita ketahui bahawa berikutan kematian Abdullah, seorang pembesar Quraish yang bernama al-‘As Ibn Wa’il mencemuh Baginda dengan gelaran “Abtar” yang bermaksud yang terputus rahmat. Lalu Allah menurunkan surah alKawthar bagi menjawab cemuhan tersebut.

SIRAH

Sebelum Berkahwin dengan Rasulullah

Benarkah Khadijah sudah berkahwin sebelum perkahwinannya dengan Rasulullah?

Ya. Sebelum berkahwin dengan Nabi, Khadijah pernah berkahwin sebanyak dua kali iaitu dengan ‘Atiq Ibn ‘A’iz dan Abu Halah ibn al-Nabbasy. Daripada kedua-dua perkahwinan itu, Khadijah mendapat seorang anak lelaki dan dua anak perempuan.

25 atau 40 tahun

Saya pernah dimaklumkan bahawa umur Khadijah semasa berkahwin dengan Rasulullah sebenarnya bukan 40 tahun sebaliknya 25 tahun. Mohon ustaz ulas.

Tidak dinafikan bahawa isu umur Khadijah semasa perkahwinannya dengan Rasulullah masih diperselisihkan oleh para ulama. Namun pendapat yang masyhur adalah sebagaimana yang diketahui umum, Rasulullah berusia 25 tahun dan Khadijah berusia 40 tahun.

Atas alasan perbezaan umur yang jauh ini, musuh Islam menyifatkan Rasulullah sebagai orang muda yang oportunis iaitu orang yang suka mengambil kesempatan kerana berkahwin dengan janda tua yang kaya.

Dalam pada itu, ada juga ulama yang berpendapat bahawa Khadijah berusia 25 ketika berkahwin dengan Rasulullah. Antara hujah mereka ialah hujah logik berdasarkan fisiologi tubuh manusia. Sebelum Khadijah berkahwin dengan Nabi, beliau sudah melahirkan tiga orang anak. Secara logiknya selepas usia 40-an, wanita tidak lagi produktif untuk melahirkan anak. Adalah tidak logik jika dikatakan sebelum berusia 40 tahun, Khadijah cuma melahirkan tiga anak manakala selepas berusia 40 tahun, beliau mampu pula melahirkan enam anak!

Walau bagaimanapun, pihak yang berpendapat bahawa usia Khadijah pada ketika itu 40 tahun menyifatkan hal itu sebagai suatu kurniaan Allah kepada Rasulullah. Ini sebagaimana yang berlaku kepada isteri Nabi Ibrahim dan Nabi Zakaria.

Sikap

Jadi mana satu pendapat yang harus saya pegang?

Sepatutnya kita tidak perlu ekstrem dalam mempertahankan mana-mana pendapat kerana ia bukanlah termasuk dalam isu pokok agama. Isu ini termasuk dalam isu sejarah yang terbuka kepada ijtihad. Yang pastinya, kedua-dua pihak tetap bertemu pada satu matlamat iaitu ingin menjaga kesucian Nabi daripada tohmahan musuh Islam.

Wallahu a‘lam

 

 

Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sarjana Usuluddin (Tafsir al-Quran), UM. Kini pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Tulisan beliau kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tumpuan penulisan beliau ialah kefahaman dan interaksi dengan al-Quran. Dekati beliau di abdullahbukhari.blogspot.com. 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas