Menu

 

A+ A A-

KEWIBAWAAN SEBELUM MENJADI RASUL

Bagaimanakah keadaan Nabi Muhammad s.a.w. sebelum menjadi Rasulullah? Adakah Baginda sejak awal-awal lagi seorang yang berkaliber atau berwibawa dalam masyarakat?

Jawapan :

Terdapat beberapa peristiwa yang secara tidak langsung menunjukkan kewibawaan Baginda antaranya:

1.Peristiwa pertikaian tentang Hajarulaswad semasa pembinaan semula Kaabah.

Peristiwa tersebut berlaku ketika Rasulullah berusia 35 tahun. Pada waktu itu banjir besar telah melanda Makkah dan merosakkan Kaabah hingga ia hampir-hampir runtuh sepenuhnya. Maka pembaikan dan binaan semula mesti dilakukan.

Hampir semua kabilah Quraisy terlibat dalam pembinaan semula Kaabah kerana ia suatu kemuliaan yang amat dibanggakan. Rasulullah bersama beberapa orang bapa saudaranya juga turut terlibat sama.

Namun sebaik usai pembinaan Kaabah, orang Quraisy saling berselisih pendapat tentang orang yang paling layak diberikan penghormatan untuk meletakkan semula Hajarulaswad pada tempatnya. Masing-masing mendakwa diri yang paling berhak. Keadaan ini melarat hingga hamper mencetuskan perang saudara.

Akhirnya seorang tokoh veteran Quraisy iaitu Abu Umayyah bin al-Mughirah al-Makhzumi mencadangkan jalan keluarnya. Akhirnya semua pihak yang bertelagah bersetuju bahawa orang yang layak meletakkan Hajarulaswad pada tempatnya diserahkan kepada orang pertama yang keesokan harinya masuk ke Masjid al-Haram melalui pintu Bani Syaibah.

Allah menetapkan semenjak azali lagi bahawa Nabi ialah orang yang memasuki pintu tersebut dan menyelesaikan pertikaian antara kabilah Quraisy. Setelah melihat Rasulullah yang memang terkenal sebagai seorang yang amanah memasuki pintu tersebut, semua orang Quraisy berasa gembira dan menyerahkan kepada Baginda untuk menyelesaikan pertikaian tersebut.

Kemudiannya Rasulullah membentangkan sehelai kain, lalu meletakkan Hajarulaswad di atasnya. Lalu Baginda meminta wakil setiap kabilah yang terlibat dalam pembinaan Kaabah agar memegang hujung kain tersebut dan bersama-sama mengusung Hajar al-Aswad ke tempatnya. Penyudahnya Baginda sendiri yang meletakkan Hajarulaswad pada tempatnya.

2.Hilf al-Fudhul atau Perjanjian Kemuliaan

Perjanjian atau sumpah menegakkan kemuliaan ini berlaku kira-kira 20 tahun sebelum Nabi dilantik menjadi rasul. Walaupun masih muda pada ketika itu, Baginda ialah salah seorang yang menyokong penuh perjanjian tersebut dan mahu meneruskannya selepas kedatangan Islam.

Peristiwa ini tercetus berikutan aduan seorang pedagang dari Zabid yang dianiayai oleh al-‘As bin Wa’il. Al-‘As telah mengambil barang pedagang tersebut tanpa membayar harganya. Setelah gagal mengambil kembali haknya, pedagang tersebut melaungkan kesedihannya dari atas bukit Abi Qubis pada waktu matahari terbit.

Laungannya itu didengari oleh bapa saudara Nabi yang bernama al-Zubair Ibn Abdul Mutalib. Beliau kemudiannya mengambil inisiatif mengumpulkan beberapa kabilah Quraisy iaitu Bani Hasyim, Bani Zuhrah dan Bani Taym bagi memeterai perjanjian kemuliaan atau Hilf al-Fudhul. Perjanjian itu dimeterai di rumah Abdullah Ibn Jad‘an. Melalui perjanjian itu, mereka semua sehati sejiwa untuk menegakkan prinsip keadilan di Makkah dan menentang sebarang penindasan.

Akhirnya mereka Berjaya mendesak al-‘As Ibn Wa’il memulangkan kembali barang pedagang dari Zabid itu. Bagi mendaulatkan perjanjian tersebut, ia diletakkan dalam Kaabah.

3.Menyara ‘Ali Ibn Abi Talib

Semasa zaman kemelesetan ekonomi di Makkah, Rasulullah dan bapa saudaranya Abbas Ibn Abdul Mutalib yang lebih kurang sebaya dengan Baginda mengambil inisiatif untuk membantu Abu Talib yang mempunyai ramai anak.

Lalu Rasulullah mengambil tanggungjawab untuk menyara Ali yang berusia dalam lingkungan lapan tahun. Abbas pula mengambil Jaafar. Tindakan ini jelas menunjukkan sikap toleransi dan bertimbang rasa Rasulullah semenjak mudanya lagi.

4. Mengambil Zaid Ibn Harithah sebagai anak angkat.

Zayd Ibn Harithah ialah satu-satunya anak angkat Rasulullah. Baginda sangat menyayanginya. Pada asalnya Zaid ialah hamba abdi yang dihadiahkan oleh Khadijah kepada Rasulullah.

Setelah beberapa ketika, ibu bapa kandung Zaid Berjaya menjejakinya hingga di Makkah. Mereka menawarkan kepada Rasulullah sejumlah bayaran sebagai tebusan untuk mendapatkan kembali Zaid.

Namun Rasulullah tidak menyerahkan anak angkat kesayangannya terus. Baginda juga tidak menghalang. Sebaliknya Baginda membiarkan Zaid membuat keputusan sendiri. Jika beliau ingin kembali kepada keluarga asalnya, Baginda akan menyerahkan sahaja tanpa mengambil sebarang wang tebusan. Namun Zaid membuat keputusan yang mengejutkan. Beliau ingin kekal bersama Rasulullah.

Lantas ibu bapa kandung Zaid mempersoal: “Wahai Zaid, adakah engkau lebih rela memilih kehambaan berbanding kebebasan dan keluargamu?”

Zaid menjawab: “Ya, kerana aku telah melihat sesuatu yang istimewa pada lelaki ini (Rasulullah). Aku tidak akan memilih seorang pun selain dia!”

Kemudiannya Baginda membawa Zaid keluar berhampiran dengan Hajarulaswad seraya berkata kepada orang ramai yang ada berdekatan: “Aku menjadikan kamu semua saksi bahawa Zaid ini (aku anggap) anakku. Dia akan mewarisi daripadaku dan aku juga akan mewarisi daripadanya.”

Melihat keadaan itu, keluarga Zaid berasa tenteram dan pulang ke kampung halaman mereka. Bermula dari saat itu beliau dikenali sebagai Zaid Ibn Muhammad. Baginda telah mengahwinkan Zaid dengan Ummu Aiman iaitu pengasuh Baginda sejak kecil.

Ummu Aiman kemudiannya melahirkan seorang anak yang diberi nama Usamah. Cucu angkat Nabi ini amat disayangi Baginda sehingga beliau digelar sebagai al- Hibb Ibn al-Hibb yang bermaksud orang yang amat dikasihi anak lelaki kepada yang amat dikasihi.

Wallahu a‘lam.

 

Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sarjana Usuluddin (Tafsir al-Quran), UM. Kini pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Tulisan beliau kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tumpuan penulisan beliau ialah kefahaman dan interaksi dengan al-Quran. Dekati beliau di abdullahbukhari.blogspot.com. 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas