Menu

 

A+ A A-

KEJUJURAN AHLI JUJUR

KETIKA ada perkhabaran bahawa Rasulullah s.a.w. bersama kaum Muslimin kembali daripada peperangan Tabuk, Ka’ab bin Malik r.a. berasa gelisah. Orang yang sangat disenangi Nabi dan para sahabat kerana kefasihannya bersyair dan berkata-kata, kali ini terasa amat bersalah kerana gagal hadir ke medan Tabuk.

Terlintas dalam hatinya untuk berdusta kepada Rasulullah s.a.w. agar Baginda tidak murka kepadanya. Namun Sayidina Ka’ab yakin, dia tidak akan selamat daripada kemurkaan Baginda selama-lamanya, sehingga dia bertekad untuk berkata jujur.

Rasai di Lubuk Hati

Kejujuran ialah sesuatu yang lahir dari hati yang lurus dan tidak menyimpang ke sana-sini. Hati yang lurus ini ada pada setiap insan dan kadangkala disebut sebagai hati kecil atau lubuk hati. Sebab itulah ada kata-kata yang menyebut: “Kita boleh menipu orang lain, tetapi tidak boleh menipu diri sendiri.” Seorang ateis akan berkata dia tidak mempercayai Tuhan. Itulah ucapan yang tidak jujur kerana ia lahir dari hati yang sudah bersimpang siur dengan pelbagai fahaman, nafsu dan akal yang rosak. Hati kecilnya yang jauh di lubuk hati, pasti akan mengakui kewujudan Tuhan.

Begitu juga perihal sikap pemuka Quraisy di Makkah yang tidak mahu menerima dakwah Nabi kerana beralasan Muhammad pembohong dan penipu. Mereka cuba menipu diri sendiri, namun hati kecil mereka yang jujur berbicara, “Muhammad adalah benar! Aku enggan membenarkannya kerana takut kehilangan harta dan takhta!”

Aku Tiada Keuzuran!

Setiba daripada peperangan, seperti kebiasaan Rasulullah s.a.w. apabila pulang daripada musafir peperangan, Baginda akan masuk ke dalam masjid dan solat dua rakaat. Setelah itu, seorang demi seorang yang tidak ikut serta dalam peperangan mengajukan keuzuran masing-masing dan bersumpah di hadapan Rasulullah s.a.w.

Kini tiba giliran Ka’ab. Ketika Rasulullah s.a.w.bertanya tentang keuzurannya menyertai medan Tabuk, Ka’ab bin Malik r.a. menyatakan, “Wahai Rasulullah, seandainya aku duduk di hadapan orang lain selain kamu daripada kalangan ahli dunia ini, sudah tentu aku dapat keluar daripada kemarahannya dengan mengajukan sesuatu keuzuran, tambahan pula aku pandai berdebat. Akan tetapi demi Allah, seandainya hari ini aku katakan satu pendustaan yang membuatmu reda padaku, pasti Allah akan membuatmu marah kepadaku. Namun, jika aku katakan kepadamu perkataan jujur yang membuat mumarah kepadaku, sesungguhnya dengan itu aku harapkan keampunan Allah s.w.t. Demi Allah, aku tidak memiliki sebarang keuzuran!”

jujur Jujur dengan Kesalahan Sendiri

Kisah masyhur ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Lebih hebat lagi, pengakhiran kisah ini dirakamkan menerusi firman Allah s.w.t. dalam surah al-Taubah ayat 118. Allah s.w.t. menerima taubat Ka’ab bin Malik, Murarah bin al-Rabi‘ dan Hilal bin Umaiyyah yang terlepas peperangan Tabuk.

Apakah istimewanya tiga orang sahabat ini daripada ramai lagi para sahabat yang turut memberikan keuzuran mereka? Apakah nilai tambah kepada tiga orang sahabat ini sehingga Allah s.w.t.sendiri mengisytiharkan penerimaan taubat mereka dalam al-Quran? Inilah hebatnya sifat jujur. Jujur dengan kesalahan diri sendiri.

Kita juga manusia ‘biasa’ yang biasa melakukan kesalahan. Kadang-kadang kita ‘biasa-biasa’ sahaja apabila melakukan kesilapan. Bersikap jujurlah dengan kesilapan yang kita lakukan. Jujurlah dengan Allah s.w.t. sebagaimana kisah tadi. Apabila ingin jujur dengan Allah, kejujuran dengan manusia akan terbina. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Taubah ayat119 yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang jujur.”

USTAZ MOHD AZRUL ISMAIL

Sumber artikel daripada GEN-Q 10

Ustaz Mohd Azrul Ismail

Sarjana Muda Usuluddin (Hadis dan Ulum Hadis) Universiti al-Azhar. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Dr. Yusri Rusydi al-Sayyid Jabr al-Hasani dan Syeikh Dr. Saad Jawish (ketiga-tiganya pakar hadis Universiti al-Azhar) Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas