Menu

 

A+ A A-

KIRIM GAMBAR DEDAH AURAT KEPADA TUNANG

TUNANG saya berkali-kali mendesak saya supaya mengirimkan kepadanya gambar saya tanpa memakai tudung melalui Facebook. Akibat tidak tahan dengan desakan dan pujukan, saya menghantarnya juga. Adakah saya berdosa melakukan demikian, jika niat saya pada masa itu adalah untuk mengelakkan pertelingkahan dengannya?

Jawapan : 

RINGKASNYA: Mengirimkan gambar yang mendedahkan aurat kepada seseorang yang bukan mahram adalah haram. Alasan mengelakkan pertelingkahan bukan satu alasan yang dibenarkan syarak untuk mendedahkan aurat.

HURAIAN: Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi (asing) adalah seluruh badan kecuali bahagian muka dan keduadua tapak tangan. Perbuatan seorang wanita yang memberikan gambar yang mendedahkan aurat kepada lelaki ajnabi sama seperti membiarkan lelaki tersebut melihat auratnya. Jika dilakukan dengan sengaja, maka dia dikira berdosa dan wajib bertaubat. Bahkan mengirim gambar melalui media Internet seperti Facebook membuka ruang kepada dosa yang lebih besar dan mungkin menjejaskan maruah wanita berkenaan kerana gambar itu lebih mudah tersebar.

Sepatutnya setiap orang yang beriman perlu menghayati batas-batas aurat seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Nur ayat 31, maksudnya: “Dan katakanlah kepada setiap wanita beriman supaya menundukkan (menyekat) pandangan mereka daripada memandang perkara yang haram. Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.”

Desakan dan pujukan yang dibuat oleh seorang lelaki supaya tunangnya mendedahkan aurat bukan satu pengecualian kepada larangan mendedahkan aurat. Alasan “darurat” (terdesak) atau “rukhsah” (kelonggaran) tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya tanpa melihat kepada syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak. Alasan untuk menjaga hubungan pertunangan bukan satu sebab yang kukuh untuk menghalalkan pendedahan aurat. Alangkah malangnya jika kita sanggup mengundang murka Allah semata-mata untuk memuaskan hati manusia.

TAMBAHAN: Ramai orang terkeliru dengan status pertunangan dengan menyangka bahawa ia ibarat “tiket” yang membolehkan kedua-dua pihak mendedahkan aurat dan bergaul mesra. Hakikatnya, ikatan pertunangan adalah satu perjanjian untuk berkahwin sahaja. Ia tidak mengubah apa-apa hukum berkaitan pergaulan antara lelaki dan wanita. Tunang tetap seorang ajnabi. Bahkan pasangan yang bertunang perlu lebih berhati-hati kerana perasaan cinta antara satu sama lain memberikan dorongan yang kuat kepada maksiat dan perbuatan keji.

DATING DENGAN TUNANG

Tunang saya juga kerap mengajak saya keluar bersama. Dulu saya pernah juga keluar dating dengannya. Tetapi kini saya rasa agak berat hati kerana ingin mengelak daripada maksiat. Masalahnya, tunang saya tafsirkan sikap saya ini sebagai tanda saya sudah tidak lagi sukakannya. Hubungan kami agak dingin akhir-akhir ini. Apakah saya lakukan?

Jawapan :

RINGKASNYA: Pertama, tetap bertegas untuk tidak keluar berdua-duaan dengan tunang. Itulah cara terbaik untuk mengelakkan diri daripada melakukan maksiat. Kedua, hubungan menjadi dingin mungkin kerana salah faham. Oleh sebab itu, jelaskan kepada tunang saudari tentang batasan pergaulan yang ditetapkan oleh Islam. Nyatakan keazaman saudari untuk berpegang kepada prinsip ini. Ketegasan untuk berpegang kepada prinsip ini tentunya tidak ada kaitan dengan kesetiaan dalam pertunangan.

LANJUTAN: Berkhalwat atau berdua-duaan antara lelaki dan wanita, sama ada antara mereka yang ada ikatan pertunangan atau tidak adalah haram. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berkhalwat kecuali ada bersamanya mahram.” (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, budaya dating adalah satu amalan mungkar yang bertentangan dengan Islam. Dating itu sendiri ialah maksiat. Ia membuka pintu kepada maksiat lain seperti perzinaan dan pembunuhan bayi. Oleh yang demikian, lelaki dan wanita yang bertunang perlu menjauhi amalan berdua-duaan ini. Jika perlu juga untuk keluar bersama, maka perlu ada mahram yang turut serta bersama.

TAMBAHAN: Hubungan pertunangan insya-Allah akan diberkati jika kedua-dua pihak menghindari maksiat dan berkomunikasi setakat keperluan sahaja dengan menjaga adab Islam dan batas hukum. Ingatlah bahawa setiap tingkah laku kita di dunia ini akan ditanya di akhirat kelak. Allah berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 36, maksudnya: “Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati kesemuanya akan ditanya.” Ayat ini amat berkaitan dengan ayat sebelumnya iaitu ayat 32 yang bermaksud: “Maka janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya ia satu dosa besar dan seburuk-buruk jalan.”

Alasan bahawa keluar berdua-duaan membolehkan seseorang itu lebih mengenali tunangnya adalah satu alasan dangkal yang bersalut nafsu. Hakikatnya kedua-dua pihak tidak akan menzahirkan sifat dan sikap sebenar ketika itu. Mereka akan menyembunyikan tabiat dan perangai buruk mereka dan berpura-pura dengan mempamerkan kesopanan diri. Jadi mereka tetap tidak mampu mengenali pasangannya dengan sebetulnya. Namun apa yang pasti mereka menempuh jalan maksiat dan dosa.

PUTUS TUNANG

Ustaz, saya ada terfikir untuk memutuskan pertunangan dengannya. Adakah saya berdosa jika saya memutuskan pertunangan?

Jawapan :

RINGKASAN: Secara asasnya, memutuskan pertunangan tanpa sebab adalah dilarang sebagaimana kita dilarang memungkiri janji. Namun jika pertunangan terpaksa diputuskan atas sebab-sebab yang syarii, maka ia diharuskan.

HURAIAN: Matlamat setiap pertunangan adalah untuk menuju ke gerbang perkahwinan. Jika seseorang yang bertunang yakin bahawa perkahwinan yang dirancang itu mendatangkan mudarat kepada agama atau dirinya, maka dia sepatutnya membatalkan pertunangan berkenaan. Ini kerana ikatan perkahwinan adalah ikatan yang jauh lebih penting dan bermakna berbanding ikatan pertunangan. Berpisah melalui putus tunang adalah amat kecil kesannya berbanding dengan perpisahan melalui perceraian yang mencetuskan pertikaian yang panjang serta kadang-kadang melibatkan soal masa depan anak-anak.

TAMBAHAN: Akibat daripada tindakan memutuskan pertunangan, seseorang akan dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan pemberian atau nilainya. Kadang kala pula dikenakan membayar pampasan. Di Malaysia, kadar tanggungan pembayaran pampasan akibat memutuskan tali pertunangan adalah berbeza antara negeri.

kirim-gambar-kepada-tunang-1

Ustaz Fathi Yusof

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz isu No.5


Ustaz Fathi Yusof

Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, serta Doktor Falsafah Undang-undang UIAM. Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Undang-undang Islam di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia. Membuat kajian dan penulisan dalam bidang undang-undang Islam, perlembagaan dan kekeluargaan. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel fathiyusof@gmail.com. Antara blog beliau ialah http;//abimuslih.wordpress.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas