Menu

 

A+ A A-

NIKAH DENGAN NIAT SEMENTARA

Niat Cerai Sejak Awal Lagi

ADAKAH sah nikah seorang lelaki yang berniat untuk menjadikan pernikahannya itu sementara sahaja? Sejak awal lagi dia sudah niat untuk menceraikan isterinya apabila sampai masanya.

RINGKASNYA: Akad nikah itu tetap sah selagi niat tersebut tidak disebutkan dalam akad. Namun ia tidak wajar dilakukan.

HURAIAN: Jumhur ulama berpendapat bahawa pernikahan sebegitu adalah sah jika akadnya secara mutlak tanpa dilafazkan niat tersebut sewaktu akad. Demikian juga jika niat demikian datangnya daripada wanita dan walinya atau kedua-dua pihak. Selagi niat itu tidak disyaratkan dalam akad maka nikahnya adalah sah. Ini kerana niat ialah soal antara dirinya dengan Allah dan bukannya satu syarat yang mengikat pihak-pihak yang berakad. Niat ialah ucapan hati yang tidak mampu merosakkan akad. Bahkan niat itu mungkin berubah dan orang yang berniat itu mungkin kemudiannya berhasrat untuk meneruskan perkahwinan.

Selain itu, niat untuk menceraikan isteri sewaktu akad tidak mencacatkan akad kerana ia tidak mengurangkan hak dan kewajipan kedua-dua pihak yang wujud daripada akad nikah. Talak atau cerai bukanlah sebahagian daripada nikah bahkan ia adalah sesuatu yang berlaku selepas nikah. Maka, niat yang berkait dengan talak sewaktu nikah tidak menjejaskan nikah itu sendiri. Lelaki yang berniat sedemikian sewaktu akad, tetap meletakkan dirinya mempunyai hak dan kebebasan dalam menentukan soal talak.

HUJAH: Hukum berdasarkan kisah Zaid bin Harithah yang berniat untuk menceraikan isterinya tetapi dibantahi oleh Rasulullah sehingga turunlah wahyu yang meminta agar Zaid meninggalkan isterinya bagi memenuhi hikmat yang telah ditentukan oleh Allah. Niat Zaid pada peringkat awal itu tidaklah menjadikan perkahwinannya terbatal. Ikatan perkahwinannya hanya tamat selepas dia melafazkan talak. Hal ini disandarkan kepada ayat 36-40 Surah al-Ahzab dan beberapa hadis yang menjelaskan peristiwa berkenaan.

TAMBAHAN: Namun demikian, ada juga ulama seperti al-Auza‘i yang berpandangan bahawa akad seperti di atas tidak dibolehkan kerana ia ibarat nikah tahlil (nikah sementara yang bertujuan untuk menghalalkan perkahwinan semula dengan wanita yang telah diceraikan dengan talak tiga). Terdapat juga pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanbali yang menghukumkan nikah ini sebagai haram dan akadnya dikira rosak. Pendapat ini berasaskan prinsip bahawa setiap amal itu bergantung kepada niatnya.

Namun jumhur berpandangan bahawa nikah di atas tidak sama dengan nikah tahlil kerana pengharaman nikah tahlil adalah khusus dan perkahwinan berlaku tanpa rasa suka dengan wanita yang dikahwininya, bahkan semata-mata kerana upah.

Nikah kerana Terpaksa

Ada kes, seseorang itu nikah dengan niat sementara sahaja kerana ingin memenuhi kehendak ibu bapa yang ingin bermenantukan perempuan pilihan mereka. Ada juga kes pelajar atau pekerja Muslim di luar negara yang bernikah untuk tempoh keberadaan mereka di sana sahaja atas alasan mengelakkan maksiat. Apa pandangan ustaz?

RINGKASAN: Tidak wajar dan ia perlu dihindari.

HURAIAN: Walaupun jumhur berpendapat perkahwinan seperti di atas sah, namun pernikahan ini wajar dielakkan kerana ia boleh membawa kepada dosa dan penganiayaan dalam banyak sudut antaranya:

1. Tujuan perkahwinan adalah untuk membina kebahagiaan melalui kasih sayang sebuah keluarga. Perceraian pula akan membawa kepada kekecewaan dan menjadikan anak-anak ketandusan kasih sayang. Berniat untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan musibah kepada orang lain ialah sesuatu yang boleh mendatangkan maksiat. Selain itu perkahwinan adalah untuk menyambung zuriat, dan perkahwinan sementara dan perceraian boleh menyebabkan kecelaruan dalam nasab.

2. Setiap orang memahami bahawa perkahwinan dilakukan dengan tujuan ia berkekalan. Pada saat kegembiraan dan kemeriahan majlis perkahwinan, pengantin perempuan dan seluruh keluarga kedua-dua pihak, serta masyarakat secara keseluruhannya tidak akan mengharapkan berlakunya perceraian selepas akad. Oleh sebab itu niat dan perancangan untuk menceraikan isteri ketika melafazkan akad ialah satu penipuan dan pengkhianatan yang amat besar.

3. Jika perkahwinan sebegini dibiarkan berleluasa, maka ia membuka jalan kepada mereka yang ingin mempermainkan hukum Allah dengan melakukannya untuk memuaskan hawa nafsu. Tidak mustahil akan ada lelaki yang kerap berkahwin dan bercerai semata-mata bagi memenuhi kehendak syahwat tanpa memikirkan tanggungjawab yang timbul melalui perkahwinan.

TAMBAHAN: Niat untuk mengelakkan maksiat ialah satu niat yang baik. Namun adalah tidak wajar jika hasrat yang baik ini dilaksanakan dengan cara berbentuk penipuan dan penganiayaan serta pengabaian kepada tujuan sebenar perkahwinan itu disyariatkan. Maksiat boleh dielakkan dengan cara melakukan perkahwinan yang kekal, atau jika tidak mampu dengan cara-cara lain seperti berpuasa.

nikah-dgn-niat-sementara-1

Bukan Nikah Mut‘ah

Tidakkah pernikahan dalam kes-kes yang disebutkan ini dikira sebagai nikah mut‘ah yang diharamkan?

RINGKASAN: Ia tidak termasuk dalam kategori nikah mut‘ah.

HURAIAN: Nikah mut‘ah adalah menikahi wanita dalam tempoh yang ditentukan, dan ikatannya akan tamat dengan sendirinya bila sampai tempoh yang ditetapkan itu. Nikah ini haram dan tidak sah menurut ijmak ulama selain Syiah. Nikah mut‘ah berbeza daripada nikah dengan niat untuk bercerai dari aspek:

1. Lafaznya sewaktu akad. Bagi nikah mut‘ah, tempoh tamat nikah disebut dalam lafaz akad. Ini bermakna, pihak suami tidak ada kuasa untuk meneruskan perkahwinan apabila tiba tempoh itu.

2. Talak berlaku pada masa yang ditentukan tanpa perlu dilafazkan.

3. Nikah mut‘ah juga tidak membawa kepada hukum hakam berkaitan pusaka.

4. Pengharaman nikah mut‘ah adalah berdasarkan nas al-Quran, ayat 23-24 surah al-Nisa’ dan beberapa hadis Rasulullah antaranya hadis dengan mafhumnya: “Nabi melarang menikahi wanita dengan nikah mut‘ah dan makan daging keldai peliharaan sewaktu perang Khaibar.” (Riwayat al-Bukhari )

Wallahu a‘lam.

Dr. Fathi Yusof

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Ustaz Fathi Yusof

Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, serta Doktor Falsafah Undang-undang UIAM. Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Undang-undang Islam di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia. Membuat kajian dan penulisan dalam bidang undang-undang Islam, perlembagaan dan kekeluargaan. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel fathiyusof@gmail.com. Antara blog beliau ialah http;//abimuslih.wordpress.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas