Menu

 

A+ A A-

BAHAGIA ITU BILA MEMBAHAGIAKAN

Kata penyair,  Bila sudah cinta, ingin dipintal awan gemawan untuk dijadikan kerosang di dada isteri, ingin dijadikan rembulan untuk menjadi lentera teman beradunya, mentari sebagai sinar dalam duka dan nistanya...

Kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Pegang kata-kata ini. Maknanya, untuk kita bahagia, carilah orang yang paling hampir dengan kita dan bahagiakanlah mereka. Hanya setelah itu, barulah kita akan merasa bahagia.

Sesungguhnya bahagia itu bukan “benda” yang akan berkurang bila diberikan, tetapi ia umpama cahaya yang semakin diberikan, akan bertambah terangnya. Kata bijak pandai, dengan menyalakan lilin orang lain, lilin kita tidak akan padam, malah kita akan mendapat lebih banyak cahaya.

Siapakah dia orang yang paling hampIr dengan kita? Siapakah yang paling layak kita berikan bahagia? Bagi seorang lelaki, selain kedua ibu bapanya, maka isterinyalah yang paling utama diberikan kebahagiaan itu. Jika isteri yang di sisi tidak bahagia, jangan harap kita boleh membahagiakan orang lain. Implikasinya, jika isteri kita menderita, itu juga petanda yang kita juga menderita – kerana hakikatnya, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia.

Apakah langkah pertama untuk membahagiakan isteri? Ya, pertama, hargailah kehadirannya. Rasakan benar-benar bahawa si dia adalah anugerah Allah yang paling berharga. Jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan, justeru dia adalah anugerah khusus daripada-Nya buat teman hidup kita sepanjang kembara di dunia. Isteri kita ialah jawapan Tuhan pada doa yang selalu kita pohonkan.

Ingatlah bahawa yang paling berharga di dalam rumah kita bukannya perabot, bukan peralatan elektronik, komputer ataupun barang-barang antik yang lain. Yang paling berharga ialah manusianya – isteri atau suami kita itu. Itulah “modal insan” yang sewajarnya lebih kita hargai daripada segala-galanya. Tetapi benarkah kita telah menghargai isteri atau suami lebih daripada barang-barang berharga di rumah kita?

Prihatin dengan Perasaan Isteri
Cuba renungkan, berapa ramai para suami yang lebih prihatin tentang perasaan isteri berbanding keretanya. Batuk isteri yang berpanjangan semacam tidak kedengaran. “Batuk” kereta yang sedikit cepat-cepat dihantar ke workshop untuk diselenggarakan.

ISTERI

Bila kereta kita “aneh” sedikit bunyinya, cepat-cepat diusung ke workshop, dibetulkan enjin, ditunekan semula bunyinya. Tetapi isteri yang batuk-batuk, lenguh dan sembap dibiarkan saja. Alasannya, dah memang adat, badan dah tua.

Itu belum dikira lagi kaki pancing yang setiap hujung minggu berkepit dengan joran dan umpan, tetapi membiarkan anak-anak dan isteri kesepian di rumah. Atau para isteri yang leka dengan orkid dan barang antik, dibelek dan dikelek siang malam, sedangkan suami terbiar tanpa ditanya perasaan dan didengar luahan hatinya. Itu belum dikira yang workaholic, bekerja siang, malam, tak kenal cuti dan rehat. Bila ditanya mengapa begitu sibuk dengan kerja? Jawabnya, demi isteri dan anak-anak. Padahal, dia bekerja sampai ke tahap mengabaikan isteri. Aneh juga, ada orang yang mencari duit sehingga tidak sempat menikmati duit itu. Bila duit sudah terkumpul, kesihatan sudah tergadai, rumah tangga sudah berkecai, isteri dan anak-anak terabai.

Sesetengahnya bertanya, bagaimana kita boleh menghargai pasangan kita? Insya-Allah, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Kata orang, kasih, cinta dan sayang umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah mana ia hendak mengalir. Mulakan dengan memandangnya dengan pandangan kasih. Mungkin wajah isteri kita sudah kedut, tetapi rasakanlah mungkin separuh daripada kedutan itu kerana memikirkan kesusahan bersama kita. Mungkin uban telah penuh di kepala suami kita, tetapi uban itu “mercu tanda” pengorbanannya membina rumah tangga dan keluarga kita.

Pandangan mata hati
Itulah pandangan mata hati namanya. Kalau dulu semasa awal bercinta, pandangan kita dari mata turun ke hati. Tetapi kini setelah lama bersama, pandangan kita mesti lebih murni. Bukan lagi dari mata turun ke hati, tetapi sudah dari hati “turun” ke mata. Yang kita lihat bukan “body” tetapi budi. Yang kita pandang bukan urat, tulang dan daging lagi, tetapi suatu yang lebih murni dan hakiki – kasih, kasihan, cinta, sayang, mesra, ceria, duka, gagal, jaya, pengorbanan, penderitaan – dalam jiwanya yang melakarkan sejarah kehidupan berumah tangga bersama kita!

Daripada pandangan mata hati itulah lahirlah sikap dan tindakan. Love is verb – cinta itu tindakan. Kata penyair, bila sudah cinta, ingin dipintal awan gemawan untuk dijadikan kerosang di dada isteri, ingin dijadikan rembulan untuk menjadi lentera teman beradunya, mentari sebagai sinar dalam duka dan nistanya...

Ah, tidak perlu diajar cara apabila sudah cinta. Kerana dalam cinta itu sudah menyala kemahuan.

Mungkin si kaya pulang bersama cincin permata untuk menghargai si isteri. Atau petani hanya membawa sebiji mangga untuk dimakan bersama sang “permaisuri”. Buruh yang pulang bersama keringat disambut senyuman dan dihadiahkan seteguk air sejuk oleh isteri, tentunya lebih bahagia dan dihargai oleh seorang jutawan yang disambut di muka pintu vilanya tetapi hanya oleh seorang “orang gaji”.

Begitulah ajaibnya cinta yang dicipta Allah, ia hanya boleh dinikmati oleh hati yang suci. Ia
terlalu mahal harganya. Intan, permata tidak akan mampu membeli cinta!

Hargailah sesuatu selagi ia masih ada di depan mata. Begitulah selalu pesan cendekiawan dan pujangga. Malangnya, kita selalu terlepas pandang. Sesuatu yang “terlalu dekat”, kekadang lebih sukar dilihat dengan jelas. Isteri di depan mata, tidak dihargai. Kajian menunjukkan bahawa para suami di Amerika lebih banyak meluangkan masa menonton tv daripada bercakap dengan isteri. Di negara kita, apa kurangnya, tiga jam menonton tv bersama, namun tanpa sepatah pun berbual. Suami dan isteri sibuk melayani fikiran sendiri, walaupun duduk hanya berselang beberapa inci.

Lokek untuk bertanyakan berita
Malah, bila berjauhan pun kekadang terlalu lokek bertanyakan berita. Jika duduk berjauhan, masa berSMS dengan teman lebih banyak berbanding dengan isteri. No news is a good news. Begitu selalunya, rasa di hati. Tetapi bila isteri atau suami diserang sakit – katalah hilang keupayaan bercakap dan bergerak, maka ketika itu puaslah kita menangis kerana tidak dapat mendengar suaranya lagi. Waktu itu barulah duduk di tepi katil hospital, merenung mata isteri atau suami, yang hanya mampu berkelip-kelip, tanpa kata, tanpa suara…

Hidup terlalu singkat. Hidup hanya sekali. Yang pergi tak kan kembali. Yang hilang, mungkin tumbuh lagi, tetapi tidak semua perkara akan tumbuh semula. Apakah ibu bapa yang “hilang” akan berganti? Apakah anak, isteri, suami yang pergi, akan pulang semula?

Justeru, hargailah semuanya selama segalanya masih ada. Pulanglah ke rumah dengan ceria, tebarkan salam, lebarkan senyuman. Mungkin esok, anda tidak pulang atau tidak ada lagi si dia yang setia menunggu di sebalik pintu. Mungkin anda yang “pergi” atau dia yang “pergi”.

Hargailah kehidupan dengan sayang dan cinta. Kita tidak akan bahagia, selagi orang di sisi kita tidak bahagia!

BAHAGIA

Pahrol Mohamad Juoi
Sumber artikel daripada majalah Solusi 9

 


 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas