Menu

 

A+ A A-

STATUS PERKAHWINAN SELEPAS ISLAM

SOALAN : Rakan sekerja saya baru memeluk Islam tanpa pengetahuan isteri dan keluarganya. Sebelum ini dia pernah menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam dan mengajak sama isterinya tetapi dia enggan. Apakah status hubungannya dengan isteri yang masih kafir?

Jawapan:

RINGKASNYA: Sebaik sahaja memeluk Islam, hubungan pernikahan mereka tergantung. Kesannya mereka perlu hidup secara berasingan sehingga status perkahwinan mereka diputuskan mengikut kaedah syarak.

HURAIAN: Tergantung di sini bermaksud mereka belum dianggap bercerai menurut hukum syarak, tetapi perlu dipisahkan dan tidak boleh hidup sebumbung. Situasi ini berlaku kerana ada dua dalil yang bertentangan:

1.Ayat al-Quran yang melarang perkahwinan dengan orang yang bukan Islam. Walaupun larangan ini tidak ditujukan kepada seseorang yang baru memeluk Islam yang telah berkahwin menurut agama lamanya, namun hikmah larangan ini tetap relevan dengan situasinya.

2.Hadis-hadis yang merakamkan bahawa ikatan perkahwinan pasangan non Muslim yang memeluk Islam bersama-sama dikira sah maka tidak perlu akad baru setelah pengislaman mereka.

Prinsip ini diambil daripada tindakan Rasulullah yang mengasingkan anaknya Zainab daripada suaminya Abu al-‘As al-Rabi‘ sehinggalah suaminya memeluk Islam. Dalam situasi yang lain pula Rasulullah mengembalikan seorang isteri kepada suaminya setelah isterinya itu memeluk Islam. Perkataan “mengembalikan” menunjukkan terdapatnya pengasingan atau pemisahan sebelumnya.

Imam Malik berkata: “Jika seorang lelaki menganut Islam sebelum isterinya, maka perpisahan berlaku antara mereka apabila lelaki itu mengajaknya memeluk Islam tetapi dia menolaknya. Hal ini kerana Allah berfirman mafhumnya: “Jangan kamu memegang erat ikatan dengan wanita kafir.” (Surah al-Mumtahanah: 10)

TAMBAHAN: Namun jika kedua-dua pasangan non Muslim memeluk Islam tetapi perkahwinan mereka itu bercanggah dengan syarat nikah dalam Islam seperti pasangan suami isteri itu sesusuan, maka perkahwinan itu dikira batal dan mereka perlu berpisah buat selama-lamanya.

Akad Nikah Baru

Soalan :

Dia sedang mencari jalan untuk memujuk isterinya supaya memeluk Islam. Saya rasa perkara ini pasti mengambil masa. Bagaimana jika sekiranya isterinya menerima Islam selepas dua atau tiga bulan berikutnya? Adakah mereka perlu berkahwin semula?

Jawapan :

RINGKASNYA: Jika isterinya memeluk Islam dalam tempoh edah, maka tidak perlu diakadkan kembali.

HURAIAN: Para ulama bersepakat bahawa jika isteri memeluk Islam dalam tempoh edah selepas pengislaman suami, maka tidak perlu diadakan akad nikah yang baru.

Hukum ini disandarkan kepada beberapa hadis nabi antaranya kisah isteri Safwan bin Umayyah yang memeluk Islam pada hari Pembukaan Makkah dan diikuti dengan Islamnya Safwan sekitar satu bulan kemudian. Rasulullah tidak memisahkan antara kedua-duanya dan mereka kekal dengan ikatan perkahwinan yang sedia ada. (Riwayat Imam Malik)

Adapun jika salah satu pihak memeluk Islam selepas tamat tempoh edah maka terdapat dua pandangan.

Pendapat Pertama: Mereka boleh terus bersama tanpa perlu membuat akad nikah baru. Ini menurut Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dan muridnya Ibn al- Qayyim. Walau bagaimanapun kedua-dua pihak bebas untuk berkahwin dengan orang lain selepas tamat tempoh edah itu.

Pendapat Kedua: Wajib akad nikah baru. Ini menurut majoriti ulama. Antara asasnya, perpisahan melalui fasakh telah berkuat kuasa selepas tamatnya tempoh edah.

Pada dasarnya para ulama bersepakat bahawa kedua-duanya telah tiada ikatan perkahwinan selepas tamat edah itu. Walau bagaimanapun pendapat kedua adalah lebih jelas bagi menentukan hak-hak yang timbul selepas berlakunya perpisahan seperti hak hadanah, nafkah, harta atau sebagainya.

TAMBAHAN: Menurut undang-undang keluarga Islam Wilayah Persekutuan, jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh mahkamah. Peraturan ini menunjukkan bahawa pembubaran perkahwinan itu perlu dilaksanakan melalui proses mahkamah.

Oleh yang demikian, bagi seseorang suami atau isteri yang memeluk Islam dan pasangannya masih belum mengikutinya, maka adalah wajar baginya berusaha untuk memujuk pasangannya agar memeluk Islam dalam tempoh edah iaitu lebih kurang 3 bulan 10 hari. Selepas tamat tempoh berkenaan, maka dia sepatutnya pergi ke mahkamah syariah untuk mengesahkan pembubaran perkahwinan serta mendapat hak-hak yang sewajarnya terutamanya hak penjagaan anak.

PERKAHWINAN1Nasab Anak-Anak

Soalan :

Bagaimana pula dengan status anak-anaknya? Adakah sabit nasab keturunan mereka memandangkan mereka dilahirkan melalui ikatan perkahwinan mengikut agama asal?

Jawapan :

RINGKASNYA: Nasab keturunan anak-anak itu adalah sah.

HURAIAN: Perkahwinan orang bukan Islam yang dilaksanakan mengikut ajaran agama masing-masing adalah diiktiraf oleh undang-undang dalam sesebuah pemerintahan Islam. Ulama bersepakat bahawa jika sepasang suami isteri memeluk Islam serentak atau dalam tempoh edah, maka perkahwinan mereka berterusan serta ikatan mereka yang lalu juga dikira sah.

Oleh itu anak yang lahir melalui perkongsian hidup berasaskan perkahwinan itu adalah anak yang sah. Prinsip ini diamalkan sejak dari zaman Rasulullah. Baginda tidak pernah menimbulkan sebarang pertikaian tentang status anak yang dilahirkan melalui perkahwinan sebelum Islam.

Baginda cuma mengarahkan agar perkahwinan itu diselaraskan dengan syariat Islam. Contohnya Baginda pernah mengarahkan seorang sahabat yang baru memeluk Islam dan mempunyai lebih daripada empat orang isteri agar menceraikan sebahagian dari isteri-isterinya dan mengekalkan empat orang sahaja.

Wallahu a‘lam.

 

Dr. Fathi Yusof

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Ustaz Fathi Yusof

Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, serta Doktor Falsafah Undang-undang UIAM. Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Undang-undang Islam di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia. Membuat kajian dan penulisan dalam bidang undang-undang Islam, perlembagaan dan kekeluargaan. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel fathiyusof@gmail.com. Antara blog beliau ialah http;//abimuslih.wordpress.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas