Menu

 

A+ A A-

SALAH ADAB DENGAN AL-QURAN

Kita pasti pernah melihat bingkai ayat kursi terpampang pada dinding ruang tamu rumah seseorang. Bahkan ada yang meletakkan ayat seribu dinar dan surah-surah lazim yang lain pada dinding ruang tamu rumahnya. Sayangnya ayat itu kekal menjadi perhiasan, tidak pernah dibaca oleh anak-anaknya.

Di ruang tamu yang sama juga terdapat sebuah televisyen 32 inci. Televisyen itu pula dijadikan kiblat. Ia sering bersuara dan mengeluarkan bunyi-bunyi bising sehingga mengatasi suara kalam Allah di rumahnya. Adakah situasi ini berlaku juga di rumah kita? Jika ya, maka kita sudah tersalah adab dengan al-Quran! Pada bulan Ramadan, manusia berbondong-bondong ke masjid untuk berdiri di belakang imam hafiz. Mereka memilih masjid tertentu kerana mahu mendengar bacaan imam yang sedap dan merdu. Hanya kerana mahu mendengar bacaan yang sedap, mereka sanggup mencari masjid yang jauh. Apabila Ramadan sudah berlalu, imam hafiz sudah tiada lagi, maka mereka tidak lagi ke masjid. Bahkan mereka sudah jauh dan meninggalkan masjid. Adakah hal ini berlaku kepada kita? Jika ya, kita memang tersalah adab dengan al-Quran!

Al-Quran Bukan Sekadar Didengar

Apa yang lebih utama, kita dituntut untuk memahami dan mentadabbur ayat-ayatnya, bukan sekadar mendengarnya sahaja. Ada orang bergegas ke masjid pada bulan Ramadan untuk mendengar bacaan al-Quran dalam solat tarawih. Namun, orang itu tidak pernah menghadiri kuliah tafsir al-Quran pada bulan-bulan lain. Ramai orang yang hanya suka mendengar, tetapi ramai yang tidak mahu memahami isi al-Quran. Ini adab yang salah! Bagaimana mereka akan mendapat hidayah daripada al-Quran jika mereka tidak memahaminya? Ada orang sibuk berbahas tentang hukum memegang al-Quran sewaktu berhadas. Ada yang sanggup berbalah apabila melihat orang menyentuh al-Quran tanpa wuduk.

Malangnya, orang itu tidak mengetahui hukum tajwidnya dan salah menyebut makhraj hurufnya. Mereka hanya sibuk bercakap pasal hukum sekitarnya, tetapi mereka sendiri masih tidak boleh membaca al-Quran dengan baik. Bukankah ini sesuatu yang pelik dan songsang? Sewaktu anak kita berumur tiga tahun, kita sudah kalut mencari tadika untuk mengajar anak kita mengeja dan membaca buku. Kita usahakan mencari tadika yang mengajar anak kita semua benda, kecuali al-Quran.

Kenapa kita tidak berusaha untuk mencari pusat pengajian al-Quran seperti, al-Baghdadi Learning Center dan seumpamanya? Kita malu jika anak kita lewat. Tetapi kita tidak malu jika anak tidak pandai bersolat dan membaca al-Quran seawal usia enam tahun. Apabila anak kita buta al-Quran dan keras hati, mereka membesar dalam keadaan jauh daripada al- Quran. Lalu mereka berperangai teruk dan berakhlak buruk. Adakah kita salahkan mereka? Sedangkan kita yang tidak berusaha memberikan al-Quran kepada mereka sewaktu kecil. Bahkan kita langsung tidak pernah mengajar mereka tentang isi kandungan al-Quran. Layakkah kita mengaku sebagai ibu bapa yang Muslim?

Tip Berinteraksi dengan al-Quran

Al-Quran ialah kitab hidayah. Sebelum membaca al-Quran, kita diajar supaya agar berdoa: “Ya Allah berilah petunjuk dengan bacaanku ini.” Sesungguhnya orang yang mahu akan petunjuk akan memerhatikan setiap ayat yang dilafazkan, mendengarkan penuh penghayatan sambil bermuhasabah diri. Apakah yang belum aku kerjakan daripada suruhan al-Quran ini?

Apa pula perbuatan yang kerap dilakukan padahal ia ditegah al-Quran? Justeru, jangan bekukan al-Quran dalam ruangan sempit pemikiran kita. Ayat yang turun mencela golongan munafik dan kafir itu sebenarnya untuk diri kita juga. Kerana kita adalah manusia yang mudah tersalah jalan lagi alpa. Tadabbur juga boleh dilakukan dengan cara mengulang-ulang bacaan sambil menghayati maknanya. Diriwayatkan daripada Abu Zar, beliau berkata: “Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat malam bersama kami, lalu Baginda berdiri dan membaca sebuah ayat.

Baginda mengulang-ulang ayat tersebut, iaitu ayat yang bermaksud: “Jikalau Engkau (ya Allah) menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka itu hamba-hamba-Mu jua. Dan jikalau Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkau Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”(Surah al-Ma‘idah 5: 118) Sesungguhnya pengulangan sesuatu ayat dengan maksud meresapkannya ke dalam hati, seterusnya sebati dalam darah dan daging merupakan proses pembersihan jiwa yang diajarkan oleh Rasulullah. Betapa nikmatnya tadabbur yang menjadi kesukaan Baginda dan para sahabatnya.

Seandainya Nabi yang memahami bahasa Arab pun mengulangi ayat itu berkali-kali, apatah lagi kita sebagai bangsa Melayu yang buta bahasa Arab. Sudah tentu kita perlu menggandakan lagi pengulangan ayat agar mampu meresap ke dalam jiwa. Maka adakah kita sudah menunaikan hak al-Quran dengan sebaiknya? Sudahkah kita melayan al-Quran dengan betul dan penuh beradab? Atau kita tergolong dalam kalangan mereka yang salah adab atau biadab terhadap al- Quran? Nauzubillah! Semoga Allah merahmati kita.

 

 

Ustaz A.Ubaidillah bin Alias

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 06

 


 

 

A. Ubaidillah Alias

Lulusan BA (Hons) Usuluddin, syukbah tafsir dari Universiti al-Azhar, Kaherah. Pernah berforum di Radio Kelantan dan menjadi tetamu di tv al Hijrah. Telah menulis banyak buku kreatif seperti novel, majalah dan buku-buku ilmiah untuk bacaan umum. Aktif dalam berceramah masjid dan sekolah. Kini bertugas sepenuh masa di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan(PKINK) sebagai pegawai latihan sumber manusia. Antara guru-guru beliau Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

Kembali ke atas