Menu

 

A+ A A-

JODOH PENZINA DENGAN PENZINA

ADAKAH seorang gadis yang pernah membuat zina tetapi telah bertaubat dengan bersungguh-sungguh akan mendapat jodoh dalam kalangan penzina juga? Dia benar-benar telah bertaubat dan berusaha menjadi wanita solehah.

Allah Maha Mengetahui jika seseorang sudah bertaubat dengan sebenar-benarnya (taubat nasuha). Bukti yang nyata dan jelas dalam taubat seseorang adalah dengan perubahan seluruh gaya hidupnya yang berkaitan dengan hubungan lelaki dan wanita. Jika seseorang mendakwa atau berasa dirinya sudah bertaubat, namun masih mengamalkan gaya hidup lamanya seperti: 

1 Masih aktif berhubung dengan rakan lelaki.

2 Masih keluar makan, berjalan berdua-duaan dengan lelaki sama ada urusan kerja atau peribadi.

3 Masih berdating dan chatting intim dengan orang lelaki tidak kira dia daripada kalangan orang agama ataupun tidak.

Maka jawapannya, peluang untuk mendapat suami penzina akan terbuka luas seperti dahulu. Taubatnya mestilah dengan perubahan ketara dalam semua gaya hidup dan cara hubungannya dengan lelaki. Cara pemakaiannya juga perlu berubah; daripada membuka kepada menutup aurat, daripada tutup separa kepada tutup penuh, daripada tudung glamor munafiq (hakikatnya membuka aurat) kepada tudung Muslimah sejati. Hanya dengan demikian, mata lelaki soleh akan mula melihat dan masuk menghantar wakil kepada ibu bapanya.

Mata lelaki soleh tidak ingin melihat kepada wanita yang bercampur dan bergaul dengan teman lelaki sekerja, bertepuk bertampar, bergurau senda, berdating sana sini berdua-duaan. Hanya mata lelaki “soleh luarannya” (penampilan fizikal) dan “tidak soleh dalamannya” sahaja yang akan terus berminat kepada wanita tersebut. 

jodoh-penzina-1

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Nur ayat 3 yang bermaksud: “Lelaki yang berzina tidak akan mengahwini melainkan wanita yang berzina, atau wanita Musyrik dan wanita yang berzina tidak akan mengahwini lelaki kecuali yang berzina atau Musyrik.”

Dalam ayat 26 surah al-Nur juga, Allah berfirman yang bermaksud: “Wanita yang keji untuk lelaki yang keji, dan lelaki keji untuk wanita yang keji. Wanita yang baik untuk lelaki yang baik.”

Ayat di atas menyebabkan ulama berbeza pandangan dalam hal berkahwin dengan seseorang yang telah berzina. Ayat di atas secara sepintas lalu, kelihatan mengharamkan berkahwin dengan kumpulan penzina ini kecuali seorang penzina juga. Walau bagaimanapun, menurut pandangan yang terkuat; hokum ayat di atas telah dinasakhkan dengan ayat yang mengharuskan berkahwin dengan semua Muslim dan Muslimah yang masih boleh berkahwin, iaitu ayat surah al-Nur ayat 32. Ia adalah pandangan majoriti ulama. (Al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, jil. 6, hlm. 112 oleh al-Qurtubi)

jodoh-penzina-2

Perlu diingat juga, terdapat sesetengah keadaan Allah s.w.t. memberikan jodoh lelaki atau wanita jahat kepada individu yang baik atau amat baik. Ia juga tidak bercanggah dengan ayat di atas. Hikmahnya hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Besar kemungkinan orang soleh tersebut berjaya menjadi lebih soleh dan musleh apabila mendapat pasangan kurang baik. Lantaran pengaruh dan kekuatannya, menjadikan beliau menjadi semakin tinggi martabatnya di sisi Allah manakala pasangannya yang jahat menjadi soleh dan solehah.

Tatkala itu, pasangan individu kurang baik boleh sahaja menjadi anugerah terbesar buat sebilangan individu yang terpilih menjadi lebih baik dengannya. Namun boleh juga berlaku sebaliknya, yang jahat bertambah buruk sikapnya, dan yang baik merudum jatuh. Nauzubillah.

jodoh-penzina-3Ingatlah, antara tanda lelaki itu baik adalah dia tidak akan pernah membicarakan soal seks atau yang menaikkan syahwat denganmu sama ada melalui SMS, telefon atau secara berdepan selagi dia belum bernikah denganmu. Mana-mana lelaki yang membicarakannya atau meminta sebelum bernikah adalah lelaki jahat dan tidak layak dijadikan suami atau itulah bakal suami penzina, kecuali apabila mereka juga bertaubat.

 

Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 2

 


 

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  ptsb1444

 

Kembali ke atas