Menu

 

A+ A A-

KEADILAN ALLAH BAGI ORANG KAFIR

Jenayah tidak mengenal siapa sama ada Muslim atau sebaliknya. Akhir-akhir ini saya memikirkan tentang nasib non Muslim yang menjadi mangsa jenayah di dunia. Kalau ikutkan sifir mudah, orang kafir akan ke nerakalah di akhirat nanti. Cuma saya berasa macam tidak adil kepadanya. Sudahlah di dunia teraniaya, di akhirat pun diseksa.

Sebagai Muslim kita wajib meyakini sifat keadilan Allah s.w.t. Allah sendiri menegaskan mafhumnya: “Allah menerangkan bahawasanya tiada tuhan melainkan Dia yang sentiasa mentadbir dengan keadilan.” (Surah Ali ‘Imran: 18)

Allah sekali-kali tidak zalim, maka kita turut yakin bahawa setiap kezaliman pasti akan dibalas. Jika bukan di dunia, Allah pasti akan membalasnya di akhirat.

Pun begitu, jangan kita samakan keadilan Allah dengan keadilan pada kaca mata manusia. Akal manusia memiliki pertimbangan yang terbatas dalam menilai baik dan buruk sesuatu perkara. Jika akal yang digunakan untuk menilai keadilan Allah, kita mungkin tersilap sepertimana yang berlaku terhadap golongan Muktazilah

Ibn Hazm ketika mengkritik pemikiran Muktazilah berkata: “Umat Islam sedia maklum bahawa Allah itu adil, tidak menindas dan tidak zalim. Sesiapa yang menyifatkan Allah dengan sifat kezaliman dan penindasan maka dia kafir.

“Namun ini tidak bermakna apa yang diandaikan oleh golongan jahil bahawa akal mereka mampu menghakimi Allah dengan mengatakan bahawa kebaikan itu apa yang akal mereka katakan baik dan keburukan itu apa yang akal mereka katakan buruk. Ini benar benar menyamakan Allah dengan makhluk-Nya!”

Berbalik kepada isu orang bukan Islam yang dizalimi, ia sebenarnya termasuk dalam kaedah umum bahawa setiap kezaliman pasti akan diadili tanpa mengira siapa hatta haiwan sekalipun. Banyak nas yang menetapkan hal ini.

Antaranya Nabi bersabda maksudnya: “Sesungguhnya setiap makhluk akan saling membalas antara sesama mereka (qisas), hinggakan kambing bertanduk akan diserah kepada kambing tanpa tanduk untuk dibalas tandukannya.” (Riwayat Ahmad).

Dalam hadis lain dirakamkan bahawa seorang wanita dihumban ke dalam neraka kerana mengurung seekor kucing tanpa memberinya makan dan minum sehingga mati. (Riwayat al-Bukhari)

Jika seorang manusia boleh dihukum oleh Allah kerana seekor haiwan yang dianiayainya, apatah lagi jika kezaliman itu dilakukan ke atas seorang manusia tanpa mengira sama ada ia Muslim atau tidak.

keadilan 1

Nasib Orang Kafir yang Dizalimi

Mengenai kedudukan orang bukan Islam yang dizalimi, ia boleh diperjelaskan dalam tiga keadaan: Hukuman asal, hukuman cabang dan hukuman sebenar bagi setiap individu kafir itu sendiri.

1.Hukuman asal

Orang kafir itu kekal selama-lamanya di dalam neraka disebabkan kekufuran mereka. Di sisi Allah, tiada jenayah yang lebih besar dan lebih berat berbanding kufur dan syirik kepada-Nya. Firman Allah mafhum-Nya: “Sesungguhnya syirik satu kezaliman yang besar!” (Surah Luqman: 13)

Tambahan lagi, azab atas perbuatan kufur tidak sekali-kali akan diringankan. Firman Allah mafhumnya: “Sesungguhnya orang kafir dan mereka yang mati dalam kekafiran pasti mendapat laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya. Mereka kekal dalam laknat itu. Tidak akan diringankan seksa terhadap mereka dan tidak pula mereka diberi penangguhan.” (Surah al-Baqarah: 161-162)

2.Hukuman Cabang

Meskipun demikian, adakah semua orang kafir dihukum dengan tahap hukuman yang sama sedangkan mereka berbeza perangai dan akhlak ketika di dunia. Realitinya ramai sahaja non Muslim yang baik. Di sinilah kita perlu merujuk kepada hukuman cabang. Allah akan mengadili orang kafir berdasarkan sikap dan tindakan mereka masing-masing. Namun hukuman asal tetap sama iaitu kekal di dalam neraka.

Menurut Imam al-Baihaqi, nas-nas yang menyebut tentang batalnya amalan orang kafir hanya bermaksud mereka tidak akan keluar dari neraka dan tidak akan masuk ke syurga. Namun, harus bagi mereka yang pernah melakukan kebajikan ketika di dunia untuk diringankan azab yang sepatutnya dikenakan terhadap dosa-dosa yang lain daripada dosa kekufuran.

Imam Ibn Hajar turut menyokong pandangan al- Baihaqi ini dengan mengatakan bahawa kebanyakan nas lebih menunjukkan bahawa azab yang tidak dikurangkan itu hanya berkenaan dosa kekufuran. Manakala dosa selain kekufuran tiada halangan untuk diringankan.

Imam Fakhruddin al-Razi dalam al-Tafsir al-Kabir berpendapat bahawa orang kafir yang dizalimi akan sama-sama diazab di dalam neraka. Namun Allah tetap akan mengadili segala perbuatan sesama mereka. Caranya, dengan kezaliman yang menimpanya maka diringankan azabnya sebagai keadilan. Jadi, tiada cara lain kecuali dengan meringankan azab orang yang dizalimi dan memberatkan azab orang yang menzalimi.

Kesimpulannya, selagi seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan kafir, maka hukuman asal baginya adalah kekal di dalam neraka. Walau bagaimanapun dengan keadilan-Nya, Allah meringankan azab terhadap dosa-dosanya yang lain sebagai balasan jika dia pernah melakukan amal kebajikan, teraniaya atau dizalimi ketika hidup.

3.Hukuman sebenar

Adapun hakikat sebenar hukuman setiap makhluk dikembalikan sepenuhnya kepada Allah. Kita hanya menghukum pada yang zahir, sedang kepada Allah diserahkan urusan segala yang batin.

Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Mohd Aizam Mas’od

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11

 


 

Mohd Aizam Mas‘od

Sarjana Muda Usuluddin Universiti Al al-Bayt, Jordan. Sarjana Usuluddin dan Pemikiran Islam, UIAM. Pernah bertalaqqi dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Syu‘aib al-Arna‘ut (ulama tahkik terkenal) dan Prof. Dr. Abdul Qadir al-Sa‘di. Beliau pakar dalam kajian aqidah dan aliran sesat. Kini merupakan Penolong Pengarah Bahagian. Penyelidikan (Aqidah), JAKIM. Dekati beliau di mufakkir-islami.blogspot.com.

Kembali ke atas