Menu

 

A+ A A-

TENTANG BULAN

Tempoh hari saya mendapat e-mel yang memuatkan gambar bulan dengan kesan garisan panjang di atasnya dengan dakwaan ia sebagai bukti bahawa bulan pernah terbelah. Peristiwa itu dikaitkan dengan mukjizat Nabi. Bolehkah ustaz ceritakan lebih lanjut?

Kisah bulan terbelah ini bukan hanya popular dalam kalangan masyarakat Islam sahaja tetapi popular dalam kalangan saintis Barat. Bahkan merekalah yang berusaha mencari bukti-bukti tentang peristiwa bulan terbelah ini.

Peristiwa ini telah berlaku di Makkah al-Mukaramah. Allah s.w.t. merakamkan peristiwa ini dalam firman-Nya yang bermaksud: “Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan. Dan mereka mendustakan (Nabi Muhammad) serta menurut hawa nafsu mereka sedangkan tiap-tiap perkara itu tetap (menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah).” (Surah al-Qamar: 1 dan 2)

Peristiwa itu bermula apabila penduduk Quraisy Makkah mencabar Rasulullah: “Jika kamu seorang yang benar, belahlah bulan menjadi dua!”

Lalu Rasulullah berdoa kepada Allah. Maka dengan kuasa Allah, bulan terbelah menjadi dua. Rasulullah pun bersabda: “Saksikanlah!” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walaupun begitu, mereka tetap menuduh Rasulullah sebagai pendusta. Demikianlah sikap mereka yang tidak mahu membenarkan mukjizat Rasulullah.

Namun kini sains aeroangkasa telah membuktikan bahawa bulan pernah terbelah pada suatu masa dahulu dan bercantum kembali. Hal ini berdasarkan kesan-kesan yang dijumpai di permukaan bulan yang disebut sebagai rocky belt sebagaimana yang dijelaskan dalam buku Scientific Miracles ofthe Prophetic Sunnah.

Jika kita renungkan kembali, apa-apa pun objek yang terbelah atau pecah, apabila disambungkan semula pasti meninggalkan kesan kepada objek itu. Benarlah bulan pernah terbelah pada suatu masa dahulu. Namun masih ada ilmuwan Barat yang menafikan kejadian itu.

Cat Stevens atau nama Islamnya Yusuf Islam berkata: “Inilah keindahan al-Quran. Ia meminta kita supaya berfikir dan merenung, bukannya untuk menyembah matahari mahupun bulan tetapi menyembah Tuhan pencipta segala-galanya.”

Bulan Hanya Memantulkan Cahaya

Jika kita tidak belajar sains, sudah tentu kita percaya bahawa bulan itu mengeluarkan cahayanya sendiri. Namun kajian sains telah membuktikan bahawa bulan sebenarnya hanya memantulkan cahaya matahari. Adakah penemuan sains ini lebih dulu diisyaratkan dalam al-Quran?

Ya, sebagaimana dalam firman Allah:

1a

Maksudnya: “Tidakkah kamu memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit itu bertingkat-tingkat. Dan Dia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya dan matahari sebagai lampu.” (Surah Nuh:15 dan 16)

Dalam ayat tersebut Allah membezakan status bulan dan matahari. Bulan disifatkan sebagai noora  yang bermaksud cahaya. Matahari pula disifatkan sebagai sirajan yang bermaksud lampu. Cuba amati, lampu ialah satu objek yang menghasilkan cahaya manakala sesuatu benda itu boleh disifatkan sebagai bercahaya biarpun tidak menghasilkan cahayanya sendiri. Bulan itu bercahaya kerana memantulkan suluhan cahaya yang dihasilkan oleh matahari.

Orbit Bulan

Satu lagi penemuan sains mengatakan bahawa bulan itu ada orbitnya yang unik dan tersendiri, tidak sebagaimana planet-planet. Adakah perkara ini turut diisyaratkan dalam al-Quran? Jika ada, hebatnya!

Ya. Orbit dan pergerakan bulan itu unik sekali kerana ia kadangkala bergerak ke depan dan ke belakang semasa mengelilingi bumi. Oleh sebab bulan bergerak mengelilingi bumi dan matahari secara serentak, maka didapati ia bergerak mengikut corak yang tetap seperti huruf S yang menyerupai tangkai sebuah kurma yang tua.

Firman Allah:

2a

Maksudnya: “Dan bulan pula Kami takdirkan ia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya bulan kelihatan kembali pula ke peringkat awalnya (melengkung) seperti tandan yang kering. “(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak dapat mengejar bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang. Dan setiap satunya beredar terapungapung di tempat edarannya masing-masing.” (Surah Yasin: 39 dan 40)

Kalimah urjoon bererti nipis dan melilit seperti tangkai buah kurma yang kering. Subhanallah, Allah telah menghadiahkan kita al-Quran yang bukan sahaja mengandungi hukum hakam malahan isyarat kepada kajian sains. Cuma kita sahaja yang masih alpa dan tidak mengetahui tentangnya.

Wallahu a‘lam.

 

                               Ustaz Fauzi Abdul Hamid

                                         Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Ustaz Fauzi bin Abdul Hamid

Lulusan B.A dalam Usuluddin dan M.A dalam Ulum Hadis di Universiti Faisalabad, Pakistan. Kini bertugas sebagai editor syariah di jabatan penerbitan Telaga Biru Sdn.Bhd. Aktif dalam berdakwah di masjid dan surau. Antara guru beliau Syeikh Tariq Jamil iaitu ulama besar Pakistan dan Syeikh Ubaidillah (mufti). 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas