Menu

 

A+ A A-

SYIRIK MISI HIDUP SYAITAN

Maksiat yang Paling Disukai Syaitan

KITA sedia maklum bahawa syaitan akan mempengaruhi manusia supaya melakukan sebarang bentuk maksiat dan kesesatan. Namun apakah maksiat yang paling disukai oleh iblis supaya manusia lakukan?

Jawapan:

Iblis dan syaitan amat suka kalau manusia melakukan syirik kepada Allah s.w.t. Hal ini kerana apabila seseorang itu terlibat dengan perbuatan syirik, maka ia akan mengakibatkan tergelincirnya akidah seseorang Muslim daripada landasan keimanan kepada Allah.

Inilah sebenarnya yang dikehendaki oleh iblis dan syaitan. Mereka mahu manusia mengikuti mereka ke neraka. Allah berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 116, maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan dosa-dosa selain kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”

Maksud daripada ayat ini ialah apabila seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan syirik dan tidak sempat bertaubat kepada Allah, maka sudah tentu akan terjerumus dalam kebinasaan untuk selama-lamanya di akhirat kelak. Dia tidak akan memperoleh pengampunan daripada Allah.

Justeru, syirik merupakan suatu kesalahan yang amat besar yang tidak boleh dipandang remeh oleh sesiapa pun. Syaitan akan sedaya-upaya berusaha untuk menjebakkan manusia dalam perbuatan syirik. Sehubungan dengan itu, Nabi s.a.w. telah memberi amaran agar menjauhkan diri daripada terjebak dalam perbuatan syirik kerana ia merupakan suatu kebinasaan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Jauhilah tujuh perkara yang membawa kepada kehancuran.” Para sahabat bertanya: “Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah?” Baginda kemudian menyenaraikan tujuh perkara berikut:

1. Syirik kepada Allah.

2. Sihir.

3. Membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan sebab yang dibenarkan agama.

4. Memakan riba.

5. Memakan harta anak yatim.

6. Lari dari medan jihad.

7. Menuduh perempuan baik berzina. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Syirik merupakan suatu kezaliman yang besar. Allah telah merakamkan dalam al-Quran nasihat Luqman terhadap anaknya melalui surah Luqman ayat 13 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: ‘Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”

Oleh yang demikian, menjadi suatu kewajipan kepada setiap individu Muslim untuk memastikan agar tidak terjebak dalam perbuatan syirik dan menghindarkan diri daripada terjebak dalam hasutan dan belitan iblis itu.

syirik-misi-hidup-syaitan-1

Hakikat Syirik

Boleh ustaz jelaskan dengan lebih terperinci mengenai maksud syirik?

Jawapan:

Syirik ialah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, perbuatan atau kepercayaan.

Firman Allah dalam surah al- Ma’idah, ayat 72 yang bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka.”

Perbuatan syirik boleh dibahagikan kepada dua kategori:

1 Syirik khafi (tersembunyi)

2 Syirik jali (terang dan nyata)

Syirik jali ialah perbuatan syirik yang secara jelas pasti menjerumuskan seseorang ke lembah kekufuran. Syirik ini boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu:

1. Menerusi Iktikad. Contohnya meragui atau menafikan kewujudan Allah, berkeyakinan bahawa sistem ciptaan manusia lebih baik dan sempurna daripada sistem dan perundangan yang dicipta oleh Allah.

2. Menerusi perbuatan atau amalan. Contohnya perbuatan menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan bintang atau objek tertentu. Begitu juga termasuk dalam kategori ini ialah perbuatan memuja kubur atas dakwaan kubur itu keramat atau meminta bantuan bomoh yang menggunakan makhluk halus.

3. Menerusi lidah atau perkataan: Contohnya seperti sengaja menghalalkan perkara haram atau mengharamkan sesuatu yang dihalalkan.

Syirik khafi pula ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik daripada kategori ini banyak berkaitan dengan perbuatan riyak dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Rasulullah pernah menasihatkan para sahabat supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil. Para sahabat bertanya tentang perkara yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Maka Rasulullah pun memberitahu bahawa syirik kecil yang dimaksudkan ialah riyak dalam melakukan amalan.

Dr. Mohd Sukki Othman

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Dr. Mohd Sukki Othman

Sarjana Muda B. Arab dan Syariah, Universiti Yarmouk, Jordan. Sarjana Pengajian Islam, UKM. dan PhD dalam bidang I’jaz al-Quran, UM. Panelis Tanyalah Ustaz, TV9 ini merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Lebih daripada 12 buku karyanya telah berada di pasaran. Dekati beliau di www.ustazshauqi.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas