Menu

 

A+ A A-

NIKAH ANTARA SAH DAN SUSAH

Bulan lepas saya menghadiri majlis akad nikah anak saudara saya. Berkali-kali beliau disuruh mengucapkan lafaz kabul kerana dikira belum sah. Pada kali yang keenam barulah lafaz kabulnya diterima. Itu pun dia sudah berpeluh-peluh menahan gemuruh dan malu. Adakah akad nikah begitu susah untuk dilakukan?

JAWAPAN :

Para ulama hanya menetapkan bahawa antara ijab dan kabul tidak boleh diselingi masa yang panjang. Dalam erti kata lain, setelah lafaz ijab daripada wali diucapkan, maka lafaz kabul daripada bakal suami mesti segera menyusul. Mungkin anak saudara tuan itu gementar sehingga tidak dapat mengucapkan lafaz kabul dengan baik. Walau bagaimanapun ijab dan kabul ini tidak susah sebenarnya. Ia boleh berlangsung dengan santai sama seperti sembang-sembang biasa antara dua orang. Oleh sebab itu, ulama menetapkan bahawa selingan masa yang pendek antara ijab dan kabul tidak merosakkan akad nikah.          

Perkara ini mesti difahami terutamanya oleh saksi. Sebahagian saksi akad nikah yang pernah saya temui begitu ketat menetapkan syarat. Antaranya mereka mengatakan bahawa lafaz kabul daripada bakal suami mesti menyusul terus sebutan lafaz ijab yang terakhir tanpa terpisah satu saat pun. Sebahagian yang lain mewajibkan lafaz kabul itu diucapkan dengan satu nafas sahaja. Jika lebih, tidak sah dan wajib diulang! Ketetapan masyarakat sebegini sesuatu yang sangat menyusahkan. Fiqah Islam tidak pernah menetapkan perkara-perkara seperti ini.

1NASDS

Pihak Perempuan Letak Syarat

SOALAN : Saya pernah menghadiri satu majlis akad nikah. Dalam akad tersebut, pihak perempuan meletakkan syarat bahawa si suami tidak boleh menikah lagi di masa hadapan. Adakah syarat seperti ini dibolehkan?

JAWAPAN :

Akad nikah secara hokum asalnya tidak boleh mengandungi syarat. Namun jika satu-satu akad itu mengandungi syarat, maka hukum sah akad tersebut ditentukan oleh sifat syarat yang ditetapkan. Imam al-Nawawi dalam al Minhaj menyebutkan ada tiga jenis syarat yang mungkin ditetapkan dalam akad nikah seperti berikut:

1. Syarat yang selari dengan tuntutan akad nikah itu sendiri. Maka akad tersebut sah dan syarat itu sia-sia. Contoh: Pihak isteri mensyaratkan agar suami memberinya nafkah zahir dan batin. Akad nikah seperti ini sah namun syarat yang ditetapkan   itu sia-sia. Hal ini kerana nafkah merupakan kewajipan suami meski tidak disyaratkan dalam akad sekalipun.

2. Syarat yang tidak selari dengan akad namun tidak menjejaskan tujuan utama pernikahan. Akad nikah itu sah namun syarat tersebut batal. Syarat larangan suami bernikah lagi yang tuan bawakan itu termasuk dalam kategori ini. Syarat ini tidak selari dengan akad nikah kerana Islam menghalalkan seorang lelaki menikah lebih daripada satu isteri. Justeru syarat tersebut dikira batal dan tidak mengikat suami, namun akad nikah tetap sah.

3. Syarat yang bertentangan dengan tuntutan pernikahan atau menjejaskan tujuan akad nikah. Maka akad nikah dikira batal. Contoh: Pihak isteri mensyaratkan bahawa suami tidak boleh menjimaknya. Maka akad nikah itu batal kerana jimak ialah salah satu tujuan utama pernikahan.

Nikah Mutaah

SOALAN :Saya seorang pelajar tahun tiga di sebuah IPT di Kuala Lumpur. Dalam satu perbincangan, seorang teman mengesyorkan kami kahwin mutaah supaya dapat menjaga kehormatan diri selain dapat fokus kepada pengajian kerana tidak lagi disibukkan dengan isu cinta. Saya pernah dengar sebelum ini bahawa nikah tersebut tidak elok atau seumpamanya. Mohon penjelasan ustaz.

JAWAPAN :

Nikah mutaah ialah akad nikah yang ditetapkan tempoh perkahwinannya seperti selama setahun, satu bulan bahkan satu hari. Sebaik sahaja masa berlaku itu habis, maka pasangan dengan sendirinya berpisah tanpa talak. Bentuk pernikahan seperti ini menyalahi sifat akad nikah yang mengikat dengan serangkaian hak dan kewajipan untuk selama lamanya.

Nikah mutaah pernah dihalalkan pada zaman Nabi. Kemudiannya diharamkan, dan dihalalkan semula sebelum diharamkan untuk selama lamanya. Justeru akad nikah ini tidak dikira sebagai pernikahan yang sah. Para pelajar harapan bangsa dan pemimpin masa depan. Sepatutnya mereka memanfaatkan masa dan tenaga yang ada untuk membekali diri dengan ilmu sebanyak-banyaknya. Hindari segala aktiviti yang dapat merosakkan matlamat belajar anda semoga tiada penyesalan pada masa hadapan nanti.  Berkata Sufyan al-Thauri:

“Seorang pelajar yang menikah ibarat seorang yang sedang berlayar di lautan. Apabila melahirkan anak, pecahlah kapalnya.”

2NASDS

 

Anak Biaya Kahwin Ayah

 

SOALAN :Ibu saya sudah meninggal dunia beberapa tahun lepas. Kini ayah berhasrat untuk menikah lagi tetapi kurang berkemampuan dari segi kewangan. Adakah kami sebagai anak-anaknya berkewajipan untuk membiayai majlis pernikahan ayah?

JAWAPAN:

Islam menilai hajat seksual sebagai salah satu keperluan asas seperti mana nafkah dan pakaian. Sebagaimana seorang anak yang berkemampuan itu wajib member nafkah kepada ayahnya yang memerlukan, dia juga wajib membantu ayahnya yang ingin menikah mengikut kadar kemampuan.

Menurut Imam al-Nawawidalam al-Minhaj:  “Wajib bagi seorang anak menjaga kehormatan ayah (atau datuknya atas pendapat masyhur), yakni dengan memberinya harga mas kahwin wanita merdeka atau berkata: ‘berkahwinlah, aku akan bayarkan mas kahwin ayah’ atau memberikan hamba perempuan untuknya. Kemudiannya, menjadi kewajiban anak juga untuk memberi nafkah kepada ayah dan pasangannya ini.” Jika anak itu tidak berkemampuan, maka tidak ada paksaan baginya.

Inilah hukum Islam yang sangat menjaga fitrah manusia. Sebahagian masyarakat kita malu jika ayahnya menikah lagi. Kesannya, dia bukan setakat tidak membantu ayahnya, malah melarang. Mereka  mengabaikan hajat asasi ayahnya sebagai manusia biasa.

Nikah di Thailand

SOALAN :Salah seorang kenalan saya baru sahaja melangsungkan pernikahannya di Thailand. Masalahnya dia enggan mendaftarkan pernikahannya di Malaysia atas sebab-sebab tertentu biarpun dia tahu bahawa itu satu kesalahan. Adakah akad nikahnya yang tidak didaftarkan itu sah?

JAWAPAN:

Secara asasnya, akad nikah itu sah asalkan memenuhi rukun dan syaratnya sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini. Namun pernikahan tanpa bukti bertulis ini mengundang bahaya besar selain menjadi satu kesalahan disisi undang-undang. Bayangkan, andai terjadi persengketaan pada masa hadapan, kedua-dua pasangan tidak dapat membawa kes mereka ke mahkamah syariah untuk diusahakan jalan keluarnya. Telah banyak berlaku kes-kes penzaliman hak isteri dan anak-anak akibat daripada pernikahan yang tidak didaftarkan.

Justeru hindarilah pernikahan seperti ini. Bagi pasangan yang terlanjur melakukan pernikahan seperti ini, segeralah mendaftarkan pernikahan anda sebelum terjadi kekusutan pada masa hadapan.

Wali Tidak Setuju

SOALAN : Saya ingin menikahi seorang rakan sekolej saya. Namun apabila saya menyampaikan hasrat ini kepada ayahnya, beliau tidak mengizinkan. Bukan sahaja saya, anak perempuannya juga sangat kecewa. Bolehkah saya bernikah dengannya tanpa wali?

JAWAPAN:

Secara dasar, jumhur ulama menetapkan kemestian wali daripada pihak perempuan atau wakilnya dalam akad nikah. Akad nikah yang dilangsungkan tanpa keizinan daripada wali adalah tidak sah secara syarak. Walau bagaimanapun bagi kes wali enggan seperti yang dinyatakan, alasan keengganan wali masih boleh disemak semula terlebih dahulu. Jika alasan penolakan itu munasabah, misalnya wali menilai calon suami terlalu muda dan belum mampu memberikan nafkah, maka akad nikah tidak boleh dilangsungkan. 

Namun jika alasan penolakan itu tidak munasabah, maka wali hakim boleh melangsungkan akad nikah itu demi menjaga kemaslahatan anak gadis tersebut. Pihak mahkamah syariah biasanya akan membantu dalam membuatkaji selidik ini. Walau bagaimanapun, restu orang tua sangat besar kesannya dalam keberkatan akad nikah. Bawalah berbincang dengan terbuka dan baik-baik. Jodoh tidak akan lari ke mana. Bagi para orang tua, janganlah menghalang jodoh anak  dengan meletakkan syarat-syarat yang terlampau tinggi dan menyusahkan. Ingatlah bahawa jika kita memudahkan pintu halal, pintu haram akan tertutup dengan sendirinya.

Hari Tidak Baik

SOALAN : Adakah terdapat hari tidak baik untuk melangsungkan perkahwinan dalam Islam?  Saya dan tunang saya pada asalnya bersepakat pada satu tarikh. Namun, mak cik saudara tunang saya meminta kami mengubahnya kerana menurutnya, tarikh dan hari tersebut “tidak baik” untuk kami berdua. Dia ada ceritakan sebab-sebabnya yang melibatkan unsur tanah, air dan sebagainya. Apa pandangan ustaz?

JAWAPAN:

Islam tidak menetapkan hari-hari tertentu sebagai hari baik dan hari buruk. Semua hari bagi seorang Muslim adalah baik. Justeru, pilihan hari untuk membuat majlis terpulang kepada kesepakatan antara kedua-dua belah pihak

Mulakan Giliran

SOALAN : Abang ipar saya baru bernikah dengan isteri keduanya. Kini sudah hampir sebulan berlalu tetapi dia masih belum pulang ke rumah kakak saya. Adakah dalam Islam ada tempoh tertentu yang menetapkan seorang lelaki perlu bersama dengan isteri mudanya sebelum dia boleh berjumpa semula dengan isteri tuanya?

JAWAPAN :

Kes yang saudari ajukan ini sering saya dengar berlaku. Sikap suami sebegini mencerminkan kejahilan dirinya berkenaan syariat Islam. Agama kita memang membolehkan poligami.

Namun kebenaran itu diiringi dengan syarat keadilan. Dosa besar akan menimpa suami yang tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya. Sebenarnya Rasulullah ad amenetapkan bahawa jika seorang suami menikah dengan isteri baru yang masih gadis, maka ia dibenarkan tinggal bersamanya secara berturut-turut selama tujuh hari sahaja. Jika dia seorang janda pula, maka lelaki itu dibenarkan selama tiga hari sahaja. Setelah habis tempoh itu, dia wajib melaksanakan penggiliran hari untuk para isterinya secara adil. Setiap isterinya mesti mendapat peruntukan hari yang saksama.

Meminang Wanita Beridah

SOALAN : Ada seorang anak saudara perempuan saya baru bercerai. Dengar khabar sudah ada orang lain yang berkenan dengannya. Bolehkah kami menerima rombongan meminang sedangkan si perempuan masih dalam idah?

JAWAPAN :

Perkara ini sering berlaku dalam masyarakat pada saat ini. dalam masyarakat pada saat ini. Namun perbuatan ini haram sama ada perempuan itu diceraikan dengan talak satu, talak tiga atau bercerai mati. Jika orang yang ingin meminang itu tidak menyatakan hasratnya hasratnya secara terang-terangan seperti  sekadar menyindir atau berkias,  maka perkara ini dibolehkan.

Contohnya seperti berkias: “Anak perempuan kamu itu cantik lagi. Ramai orang berminat. ” Walau bagaimanapun, kata-kata sindiran seperti ini pun tetap haram ditujukan kepada wanita yang diceraikan dengan talak satu. Hal ini kerana isteri yang diceraikan dengan talak satu masih berstatus isteri. Suaminya yang lama masih berhak untuk merujuknya kembali.

3NASDS

Pengantin Lelaki Berwakil

 

SOALAN :Bolehkah seorang calon suami mengutus orang lain untuk menjadi wakilnya dalam akad nikah?

JAWAPAN :

Sebaik-baiknya akad nikah dilakukan sendiri oleh  pengantin lelaki. Apatah lagi hari pernikahan ialah hari yang paling bersejarah dalam lembaran hidupnya. Walau bagaimanapun, jika pengantin lelaki tidak dapat menghadirkan diri dalam akad nikah atas faktor tertentu, dia boleh mengutus seseorang untuk menjadi wakilnya. Sebagaimana wali boleh mewakilkan diri kepada orang lain seperti jurunikah,maka pengantin lelaki juga boleh mewakilkan dirinya kepada orang lain. Dalam kes seperti ini, kedua-dua orang saksi mesti mengetahui perkara perwakilan ini. Ketika ijabkabul, wali mesti menyebutkan dengan jelas nama pengantin lelaki.

Contoh lafaznya:“Aku nikahkan anak perempuanku yang bernama Fatimahdengan si Zaid… ”Lalu wakil pengantin lelaki menerima dengan berkata: “Saya terima nikahnya untuk si Zaid …”Jika tidak disebutkan dengan jelas, maka akadnya dikira tidak sah. Demikian kesimpulan penjelasan daripada Imam al Nawawi dalam al-Minhaj dan disyarahkan oleh al-Syarbini dalam Mughnial-Muhtaj.

Pengantin Berinai

SOALAN : Apa hukum sebenar pengantin memakai inai? Ada orang yang melarangnya dan ada yang membolehkannya.

JAWAPAN :

Inai ialah perhiasan wanita. Maka seorang wanita dibolehkan memakai inai di tangan atau kakinya terutama untuk menghias diri dihadapan mata suami. Bahkan memakai inai itu sunat bagi perempuan yang hendak berihram untuk haji atau umrah bagi menutup auratnya.

Masa yang diharamkan bagi perempuan memakai inai adalah ketika dalam idah. Ini kerana dalam idah haram dia menarik perhatian lelaki agar berminat untuk menikahinya. Seperkara lagi, disebabkan inai itu hiasan wanita, maka ia haram dipakai oleh lelaki. Justeru pengantin lelaki tidak boleh memakai inai kerana itu dikira menyerupai perempuan. Hal ini sebagaimana penjelasan dalam kitab I‘anah al-Talibin.

Jimak Menghadap Kiblat

SOALAN : Saya pernah mendengar seseorang berkata bahawa haram menghadap kiblat semasa berjimak. Betulkah perkara itu?

JAWAPAN :

Berjimak sambil menghadap kiblat tidak haram dan tida kmakruh. Tidak ada sama sekali larangan daripada Nabi dan para ulama berkenaan dengan perkara ini. Begitu juga, tidak ada halanganberjimak pada hari-hari tertentu dalam seminggu. Semua ini terpulang kepada kesukaan suami isteri. Walau bagaimanapun, jimak haram apabila isteri sedang haid dan nifas. Begitu juga ketika suami isteri dalam keadaan ihram haji ataupun umrah. Wallahu a‘lam .

 

                                                                          Ustaz Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

 

 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas