Menu

 

A+ A A-

BERLUMBA-LUMBA MENDAHULUI SALAM

“HAK seorang Muslim atas Muslim yang lain itu ada enam. Antaranya, jika kamu bertemu dengannya hendaklah kamu mengucapkan salam.” (Riwayat Muslim)

Jika kita soroti sirah Rasulullah s.a.w., kita akan dapati bahawa memberi salam terlebih dahulu adalah salah satu ciri yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. Baginda tidak pernah gagal untuk mengucapkan salam lebih dahulu berbanding orang lain. Setiap kali bertemu dengan seseorang, baik orang dewasa mahupun kanak-kanak, dari dekat ataupun jauh Baginda pasti lebih dahulu memberi salam.

Terdapat beberapa orang para sahabat yang ingin berusaha menjadi orang pertama yang memberi salam kepada Rasulullah s.a.w., tetapi tidak berjaya. Ada satu ketika, mereka bersembunyi di laluan yang biasa Baginda lalui. Apabila melihat dari jauh Baginda akan melalui jalan tersebut, mereka pun bersiap sedia untuk mengucapkan salam.

Namun, sebelum sampai di tempat persembunyian mereka, Baginda lebih dahulu berkata: “Assalamualaikum, wahai orang yang berada di belakang dinding. Aku tidak mahu menjadi orang yang lambat dalam memberi salam sehingga ke hembusan nafasku yang terakhir.” Mereka yang bersembunyi pun keluar dari tempat persembunyian mereka dengan perasaan malu sambil menjawab salam Rasulullah.

Mengapakah ada kalanya kita teragak-agak atau ragu-ragu untuk memberi salam kepada seseorang terutamanya kepada orang yang tidak dikenali? Sedangkan kita tahu dan pasti ada ganjaran yang akan kita peroleh.

Tidakkah kita mahu semua itu? Mudah bukan? Tanpa modal dan tenaga untuk melaksanakannya. Berlumba-lumbalah dalam memberi salam dengan ikhlas tanpa ada niat yang lain kerana ia salah satu cara menjalin ukhuwah dan persaudaraan.

Mahfuzah Omar

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Mahfuzah Omar

B.A (HSc) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah bertugas sebagai editor penerbitan di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas