Menu

 

A+ A A-

JAGA BATAS PERGAULAN SESAMA SAUDARA-MARA

Berkumpul sesama saudara-mara memang menyeronokkan terutama ketika kunjungan pada hari raya, majlis kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan sebagainya. Ketika itulah sanak saudara berkumpul dan melakukan pelbagai tugas untuk menjayakan majlis-majlis tersebut. Cara begini memang baik dalam mengeratkan tali persaudaraan.

Namun, ada suatu perkara yang mungkin ramai yang terlepas pandang, iaitu dalam soal penjagaan aurat dan batas pergaulan.

jaga 2Jangan hanya kerana mereka itu sepupu, maka kita boleh memperlihatkan aurat sesama kita. Apakah kerana dia seorang berpangkat pakcik (suami kepada adik-beradik ibu kita), maka kita boleh bergaul bebas tanpa segan-silu? Wajib menjaga pergaulan dan aurat dalam apa jua situasi. Mungkin ramai antara kita yang masih samar-samar atau tidak faham batas-batasnya.

Oleh sebab itu, kita sebagai ibu bapa perlu jelas dalam soal aurat dan batas-batas pergaulan untuk kita membimbing pula anak-anak sejak usia kecil mereka. Bak kata pepatah, mendidik biarlah daripada rebung, di mana anak-anak mudah mengikut. Semoga mereka membesar dengan mempunyai nilai-nilai yang sama dengan kita.

Islam bukan menyekat kebebasan anak-anak, tetapi mengawal supaya berada pada landasan yang ditetapkan Allah s.w.t.

 

Apakah yang hendak diterapkan kepada anak-anak dalam soal pergaulan ini?

Mereka perlu mengetahui adab-adab memandang dan memelihara aurat sesame orang lain. Kanak-kanak yang sudah pandai menilai mana wanita yang cantik dan mana wanita yang jelek, bermakna mereka sudah mumaiyiz. Umur sekitar antara tujuh hingga sepuluh tahun. Anak-anak yang telah mumaiyiz tidak terkecuali daripada menjaga pandangan matanya, apatah lagi anak-anak remaja, kerana mereka lebih terdedah kepada unsur-unsur maksiat.

Anak-anak perlu dididik menjaga aurat dan panda ngan berikut:

Terhadap adik-beradik sendiri

Adik-beradik adalah mahram (tidak boleh kahwin). Boleh melihat bahagian anggota sesama mereka terkecuali bahagian di antara pusat hingga lutut. Jika anggota yang dibenarkan itu mendatangkan syahwat, maka ibu bapa perlu prihatin dan aurat patut ditutup lebih daripada itu.

Dr. Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Pedoman Pendidikan Anak-anak dalam Islam ada menyebut: “Mahram lelaki boleh memandang dada ke atas dan di bawah lutut daripada mahram wanitanya, jika syahwatnya atau syahwat mahram wanita itu aman (terkawal). Jika tidak, maka tidak dihalalkan baginya untuk memandang, dalam rangka menghindarkan hal-hal yang menimbulkan dosa.”

Terhadap lelaki/wanita yang lain

Anak-anak yang telah baligh tidak dibenarkan memandang bukan mahram, walaupun tidak dengan syahwat.

Sepupu adalah bukan mahram (boleh di kahwini), maka auratnya sama seperti orang lain. Walaupun ramai masyarakat yang menganggap sepupu ibarat adik-beradik, namun batas syaritat tetap perlu dijaga.

Begitu juga terhadap isteri bapa saudara kita (bagi lelaki) dan suami ibu saudara kita (bagi perempuan), mereka bukan mahram.

Hikmah menjaga aurat

jagaPara fuqaha mengatakan bahawa anak kecil sama ada lelaki atau perempuan tidak mempunyai aurat jika berumur empat tahun ke bawah. Jika lebih daripada empat tahun, auratnya adalah kemaluan, dubur dan sekitarnya. Jika dia telah mempunyai syahwat, auratnya adalah seperti orang baligh. Namun yang lebih utama, biasakan mereka menutup aurat seperti orang yang telah baligh.

Kita pernah dikejutkan dengan berita ayah memperkosa anak perempuannya sendiri. Ataupun datuk, pakcik, abang “merosakkan” cucu, adik saudara atau adik perempuan sendiri. Ia sebenarnya isyarat atau tamparan kepada umat Islam supaya jagalah aurat anak-anak kita. Bapa sekali-kali tidak boleh melihat aurat anak-anak perempuannya, apa lagi bapa saudara atau datuk dan sebagainya.

Jika dari awal kita mendidik anak-anak tentang aurat sesama adik-beradik, sesame sepupu dan saudara-mara yang lain, perkara buruk seumpamanya tidak mudah terjadi.

Prihatin terhadap pakaian anak-anak

Ramai ibu bapa tidak prihatin terhadap pakaian anak-anaknya. Anak-anak kecil dibiasakan memakai seluar pendek atau skirt pendek, bahagian paha terdedah. Sedangkan paha itu adalah aurat. Dengan alasan mereka anak-anak kecil tidak perlu diberatkan dengan menutup aurat seperti berbaju kurung, bertudung dan sebagainya. “Ala… mereka budak-budak lagi. Senang dia nak berlari…udara pula panas dan sebagainya.”

Seeloknya mereka dilatih berpakaian menutup aurat sejak kecil, supaya apabila sampai umur baligh, mereka tidak janggal berpakaian sedemikian. Bukan setakat menutup aurat, pastikan juga terutama anak perempuan, pakaian mereka tidak terlalu ketat dan juga tidak terlalu nipis atau terlalu jarang.

Berbicara ketika perlu

Dalam soal pergaulan, anak-anak perempuan elok juga diajar supaya berbicara apabila perlu. Dengan ini, mereka sedikit sebanyak berlatih beradab sopan di hadapan khalayak ramai. Elakkan menonjol diri dan bergelak ketawa terlalu kuat. Jaga bahasa badan, jangan sampai kata istilah orang “tergedik-gedik”.

Tujuan Islam menyuruh menutup aurat, menjaga batas pergaulan, menahan pandangan mata dan lain-lain, adalah supaya masyarakat kita terpelihara daripada fitnah dan tidak mudah dirangsangkan syahwat. Secara tak langsung, kita dapat membina masyarakat yang bersih. Tidak akan berlaku keruntuhan dalam institusi kekeluargaan, tidak akan berlaku kecurangan atau perzinaan yang hina.

Tiada kejadian berdua-duaan sesama bukan mahram, tidak ada persentuhan atau bertepuk tampar ketika bergurau dan sebagainya.

Sebaliknya didik anak-anak supaya menghormati sesama saudara-saudara yang lain, beradab sopan, menjaga pandangan mata dan tutur kata. Jika tidak, syaitan akan mengambil kesempatan untuk melibatkan kita dengan dosa

 

HAI ANAK - JAGA BATAS PERGAULAN SESAMA SAUDARA-MARA Rashidah Mustaffa - SOLUSI 6

 

Rashidah Mustaffa

Sumber artikel daripada majalah Solusi 6

 


 

Kembali ke atas