Menu

 

A+ A A-

BERSAUDARALAH SEPERTI RANTAIAN TASBIH

“RAMAI manusia di sisi sombong dan tidak bertegur sapa. Bagaimana harus aku buktikan silaturahim suruhan Tuhan, sampai bila begini...” (petikan lagu Silaturahim nyanyian kumpulan BPR)

Lagu bukan sekadar hiburan semata, tetapi setiap lagu ada penceritaan dan mesej yang ingin disampaikan kepada pendengar. Benar seperti mesej dalam bait-bait lirik lagu ‘silaturahim’, ukhuwah atau persaudaraan sesama islam pada hari ini dilihat semakin rapuh.

Orang Islam adalah saudara kepada seorang Islam yang lain. Seorang Mukmin itu tidak boleh dianiaya, dibiarkan, didustai, juga tidak boleh dihina. Larangan ini wajib dihormati untuk memelihara perpaduan antara orang Islam yang diakui sebagai saudara. Kita hidup di dunia ini tidak sendiri.

bersaudaralah-seperti-rantaian-tasbih-1

Kita hidup dalam masyarakat yang banyak perbezaan dari segi cara hidup dan berfikir, sudut pandang dan bermacam lagi ragam manusia. Oleh kerana itu, kita harus saling menjaga diri dalam menjalani kehidupan. Jangan biarkan segala perbezaan itu menghalangi kita untuk menjalin persaudaraan kerana dengan persaudaraanlah kita lebih bersedia untuk hidup bermasyarakat.

Namun sayangnya, kepentingan dan ketamakan pada dunia telah melemahkan, bahkan menghancurkan ukhuwah islamiah yang ada. Lihat sahaja di sekitar kita, betapa ramai orang yang sanggup menindas saudaranya sendiri demi mengaut kekayaan dunia. Bahkan tidak sedikit yang menggunakan cara-cara kotor agar matlamatnya tercapai seperti membunuh dan menipu.

bersaudaralah-seperti-rantaian-tasbih-2

Mari Menjalin Ukhuwah

Ukhuwah, persaudaraan ataupun silaturahim, biarkan apa pun istilah yang kita gunakan, ia tidak dapat terjadi apabila seseorang selalu ingin difahami dan dia tidak berusaha memahami orang lain.

Menyoroti hadis Rasulullah s.a.w. yang maksudnya: “Seorang Mukmin bagi seorang Mukmin itu umpama satu binaan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian lain dan orang Islam itu seperti satu badan. Jika matanya sakit, sakitlah seluruhnya dan jika kepalanya sakit, sakitlah seluruhnya.”

Rasulullah s.a.w. menganjurkan kepada kita untuk memperkuatkan tali persaudaraan kerana dengan cara itu, umat Islam akan menjadi lebih kuat dan berjaya. Oleh sebab itu, ada beberapa elemen dalam membina ukhuwah islamiah. Antaranya:

  • Melakukan proses taaruf (mengenal).
  • Melaksanakan proses tafahum (memahami).
  • Melakukan proses ta’awun (tolong-menolong).
  • Melaksanakan proses takaful (saling menjamin).
  • Mempunyai rasa ithar (melebihkan atau mendahulukan sahabat).

bersaudaralah-seperti-rantaian-tasbih-3

Ayuh kita menghapuskan sifat hasad dengki, kikislah rasa tamak, buangkan jauh-jauh rasa suka menghina, elakkan menipu, jauhi melaga-lagakan orang, hindari permusuhan, jangan ditanam rasa suka membenci. Sebaliknya kita harus memelihara kemurnian hidup bersaudara.

Bina persaudaraan seperti dalam satu kaum keluarga, satu aqidah, satu hala tuju, satu tempat datang, dan satu pula tempat pergi. Sakit sama dirasakan sakitnya, dan senang sama dipanjatkan syukurnya.

Andai kata dengan suatu sebab seseorang itu tidak dapat melaksanakan amalan hidup ini, maka hendaklah dia hidup berdiam diri daripada sikap mengganggu atau menyusahkan orang lain.

Ikuti pengajaran ini: “Hendaklah engkau pelihara 3 perkara yang menjadi habuan orang Mukmin iaitu:

bersaudaralah-seperti-rantaian-tasbih-4

Siti Rohani Surani
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Siti Rohani Surani

Bertugas selama enam tahun sebagai DJ Radio IKiM FM. Merupakan penyampai radio bagi slot Warna Pagi Ikim FM dari pukul 6 hingga 10 pagi. Pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengacara bagi program realiti Astro Oasis iaitu Ustazah Pilihan yang bermula pada 6 Oktober 2011.

Kembali ke atas