MEMAHAMI KONSEP AKAUN SIMPANAN ANDA
- Ditulis oleh Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi
- Kategori Wadiah
- Read 16783 times
Baru-baru ini saya membuka akaun simpanan di sebuah bank Islam. Saja-saja saya bertanyakan tentang konsep muamalat Islam yang diguna pakai lalu saya dimaklumkan bahawa akaun tersebut berdasarkan konsep wadi‘ah yad dhamanah. Pegawai bertugas ada menerangkan tentangnya tetapi saya tidak begitu faham. Bolehkah ustaz terangkan apa yang dimaksudkan dengan konsep tersebut?
Wadi‘ah bermaksud simpanan. Secara mudahnya, seseorang mengamanahkan satu aset miliknya kepada seseorang yang lain untuk disimpan.
Pada asasnya, kontrak ini disebut sebagai wadi‘ah yad amanah iaitu simpanan dengan amanah. Maknanya, satu pihak diamanahkan untuk menyimpan dan menjaga satu barangan dan dia tidak boleh menggunakan barangan yang diamanahkan tersebut melainkan dengan kebenaran daripada pemilik asalnya.
Sekiranya pihak penjaga amanah tersebut diberikan izin menggunakan harta yang berada dalam simpanannya, maka status simpanan tersebut bertukar menjadi wadi‘ah yad dhamanah iaitu simpanan dengan jaminan. Maksudnya, pihak penjaga amanah tersebut mesti menjamin bahawa harta yang digunakan itu dapat dipulangkan semula apabila diminta atau menggantikannya sekiranya berlaku kerosakan kepada harta tersebut.
Merujuk kepada praktis semasa di kebanyakan institusi perbankan Islam di Malaysia, kebanyakannya menggunakan kontrak wadi‘ah yad dhamanah dalam produk akaun simpanan. Maknanya, institusi perbankan Islam itu ialah pemegang amanah atau penyimpan bagi duit yang didepositkan oleh pihak pelanggan.
Pihak pelanggan pula memberikan kebenaran kepada pihak bank untuk menggunakan duit tersebut bagi tujuan pelaburan dan memberi pembiayaan yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.
Maka menjadi tanggungjawab institusi perbankan Islam untuk memberi jaminan bahawa duit tersebut akan dipulangkan semula apabila diminta. Pihak bank pula atas budi bicaranya akan memberikan hibah atau hadiah dalam bentuk wang kepada pelanggan. Begitulah secara ringkas mengenai konsep dan praktis semasa akaun deposit yang berasaskan konsep wadi‘ah yad dhamanah.
Hibah atau Riba
Saya pernah bersembang dengan seorang kenalan yang bekerja di sebuah bank Islam. Dia mengesyorkan kepada saya supaya membuka akaun simpanan di bank tempatnya bekerja. Menurutnya, bank tersebut akan memberikan dividen yang lebih tinggi berbanding bank-bank lain. Berdasarkan rekod prestasi sebelum ini, dia menjamin bahawa kadar dividen untuk kali ini juga sama seperti sebelumnya. Bolehkah ada jaminan sebegitu? Mohon penjelasan ustaz.
Adalah suatu kesalahan untuk menjanjikan pulangan tetap kepada pelanggan. Hal ini boleh membawa kepada berlakunya riba. Ini kerana wang dalam akaun simpanan yang berasaskan konsep wadi‘ah yad dhamanah itu akan digunakan oleh pihak bank untuk tujuan pelaburan dan memberi pembiayaan. Situasi ini sama seperti kontrak qard (pinjaman) iaitu pendeposit meminjamkan wangnya kepada bank.
Jumhur fuqaha menyifatkan wadi‘ah sebagai akad amanah. Maksudnya, aset yang diserahkan untuk simpanan itu merupakan satu amanah. Kesannya, penerima wadi‘ah dipertanggungjawabkan untuk menggantikan aset wadi‘ah yang mengalami kerosakan atau hilang semasa dalam simpanannya ekoran kecuaiannya. Namun sekiranya institusi kewangan menggunakan wang yang diamanahkan, maka kontrak tersebut telah bertukar menjadi kontrak qard.
Selaras dengan pandangan ini, Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia pada mesyuarat khas ke-6 bertarikh 8 Mei 2008 memutuskan bahawa hukum wadi‘ah yad dhamanah yang melibatkan wang itu mengambil hukum qard dari segi garis panduan (dhawabit) dan kesan-kesan lanjutan daripadanya.
Begitu juga Akademi Fiqah OIC telah menetapkan bahawa deposit dalam akaun masa kini sama ada yang disimpan di institusi kewangan Islam atau konvensional merupakan pinjaman dari sudut fiqah. Ini kerana institusi kewangan yang menerima deposit menjamin deposit itu dan ia mesti memulangkan deposit tersebut jika diminta.
Kesimpulannya, akaun deposit yang berasaskan konsep wadi‘ah yad dhamanahini menyamai kontrak qard. Oleh yang demikian, segala hukum hakam, peraturan dan syarat-syarat yang terdapat dalam kontrak qard adalah terpakai dalam akaun deposit yang berasaskan wadi‘ah yad dhamanah.
Jadi antara peraturan utama yang perlu dipatuhi adalah pemegang amanah wajib memulangkan semula jumlah wang sama seperti yang dipinjamkan tanpa dikenakan sebarang lebihan. Maka, sekiranya pihak bank menetapkan pulangan tetap kepada pelanggan, hal ini boleh membawa kepada berlakunya riba. Asas ini bertepatan dengan sebuah hadis, maksudnya: “Setiap pinjaman yang memberi manfaat (kepada pemberi pinjaman) maka ia ialah riba.” (Riwayat Harith bin Usamah)
Wallahu a‘lam.
Ustaz Mohd Hafiz Fauzi
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09
Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi
Ketua Jabatan Syariah Bank Muamalat Malaysia Berhad. Lulusan Sarjana Muda Undang-undang (Sivil dan Syariah) UIA dan Sarjana Undang-undang Perbandingan (Bidang Perbankan dan Kewangan Islam) UIA. Beliau pernah menjadi panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam TV1 dan penceramah Radio IKIM.FM.