Menu

 

A+ A A-

MAJLIS PENASIHAT SYARIAH

Saya dimaklumkan bahawa setiap bank Islam di Malaysia perlu mempunyai Jawatankuasa Syariah mereka sendiri. Bolehkah ustaz terangkan apakah peranan Jawatankuasa Syariah tersebut?

majlis-penasihat-syariah-4majlis-penasihat-syariah-3Jawapan

Sistem perbankan Islam yang diatur oleh sistem urus tadbir syariah yang komprehensif akan memberikan keyakinan kepada pelanggan untuk berurusan. Oleh yang demikian, terdapat ketetapan perundangan kepada setiap bank-bank Islam untuk melantik ahli Jawatankuasa Syariah mereka sendiri.

Secara umumnya, Jawatankuasa Syariah ini berperanan untuk memastikan segala operasi perniagaan di bank-bank Islam tersebut sentiasa mematuhi prinsip prinsip syariah. Bagi menjawab secara khusus peranan jawatankuasa ini, suka saya menyatakan secara ringkas peranan yang digariskan dalam Kerangka Urus Tadbir Syariah (Syariah Governance Framework) 2011 yang telah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.

 

majlis-penasihat-syariah-5

majlis-penasihat-syariah-6

Beza Pandangan

Apakah perbezaan antara Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia dan Jawatankuasa Syariah di bankbank Islam? Apakah yang berlaku sekiranya berlaku perbezaan pandangan antara kedua-dua badan yang berautoriti ini?

Jawapan

Sekiranya kita tidak mengetahui peranan kedua-dua badan berautoriti ini, maka akan timbul tanda tanya tentang keperluan wujudnya dua badan ini. Bagi mengungkai kekeliruan ini, maka di sini dijelaskan secara ringkas tentang perbezaan antara kedua-dua badan syariah ini.

majlis-penasihat-syariah-7

Secara keseluruhannya, skop yang dimainkan oleh Majlis Penasihat Syariah adalah lebih umum mencakupi keseluruhan industri kewangan Islam di Malaysia.

Sebaliknya, penubuhan Jawatankuasa Syariah di bank-bank Islam bertujuan mengawal selia operasi perniagaan bank-bank tersebut agar sentiasa mematuhi syariah. Skopnya lebih khusus kepada bank yang melantik mereka sahaja.

Namun sekiranya berlaku perbezaan pandangan antara MPS Bank Negara dan Jawatankuasa Syariah, maka pandangan atau keputusan MPS Bank Negara adalah terpakai dan berhak untuk dipatuhi. Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu, Jawatankuasa Syariah di bank-bank Islam dibenarkan untuk mengambil atau membuat keputusan yang lebih ketat daripada keputusan yang ditetapkan oleh MPS Bank Negara Malaysia.

Syariah ke Sivil

Seperti yang kita ketahui, segala permasalahan yang melibatkan perbankan Islam akan dibawa dan dibicarakan di mahkamah sivil. Permasalahan ini melibatkan hukum syariah tetapi dibicarakan oleh hakim mahkamah sivil. Bagaimana pandangan ustaz tentang perkara ini?

Jawapan

Ya, memang tidak dinafikan bahawa segala permasalahan yang melibatkan perbankan Islam akan dibicarakan di mahkamah sivil. Namun demikian, ini tidak bermakna segala keputusan yang diambil akan bertentangan dengan syariah.

Perkembangan sistem kewangan Islam di Malaysia telah banyak memberikan perubahan kepada banyak aspek termasuklah pindaan kepada Akta Bank Negara. Antara lain, pindaan tersebut telah memperuntukkan kuasa khusus kepada Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia. Sebagai badan berautoriti, MPS BNM berkuasa untuk memutuskan isu-isu yang melibatkan muamalat Islam khususnya dalam kewangan Islam di Malaysia.

Seksyen 56 (1) dalam Akta Bank Negara dengan jelas menyatakan bahawa pihak mahkamah hendaklah merujuk kepada sebarang keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara sekiranya terdapat perselisihan dalam isu syariah.

Sebagai makluman bersama, pihak berautoriti terus menerus menjalankan usaha-usaha pengemaskinian dan penambahbaikan untuk memastikan perkembangan kewangan Islam dijalankan sejajar dengan kehendak dan ketetapan syarak. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama berdoa supaya institusi kewangan di Malaysia dapat diperkukuhkan dari semasa ke semasa untuk memelihara institusi kewangan umat Islam.

Wallahu a‘lam.

majlis-penasihat-syariah-2


 USTAZ MOHD HAFIZ FAUZI

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


 

Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi

Ketua Jabatan Syariah Bank Muamalat Malaysia Berhad. Lulusan Sarjana Muda Undang-undang (Sivil dan Syariah) UIA dan Sarjana Undang-undang Perbandingan (Bidang Perbankan dan Kewangan Islam) UIA. Beliau pernah menjadi panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam TV1 dan penceramah Radio IKIM.FM.

Kembali ke atas