Menu

 

A+ A A-

KUKUH SILATURAHIM DENGAN HUTANG

Soalan: Mengapakah Islam mengharuskan hutang? Mungkin ada hikmah yang ustaz dapat jelaskan.

Hutang piutang dapat memberikan banyak manfaat atau syafaat kepada kedua-dua belah pihak. Hutang piutang merupakan perbuatan saling menolong antara umat manusia yang sangat dianjurkan oleh Allah s.w.t. Selagi ia menolong dalam perkara kebajikan. Hutang piutang dapat mengurangkan kesulitan orang lain yang sedang dirundung masalah serta dapat memperkuatkan tali persaudaraan kedua-dua belah pihak.

Pada dasarnya, isu hutang berkait rapat dengan sikap amanah dan kebijaksanaan kita menguruskan perbelanjaan. Sifat amanah dilihat sebagai satu kontrak yang membuktikan semangat tolong menolong, kasih sayang dan ketinggian iman seseorang membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

kukuh-silaturahim-3

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya.” (Surah al- Baqarah 2: 283)

Oleh itu, Islam telah menetapkan bahawa setiap individu Muslim, wajib melaksanakan amanah, bersifat jujur dan bijak dalam menguruskan perbelanjaan keluarga agar kita berkeupayaan menunaikan tanggungjawab seperti berzakat dan membayar hutang. Kebijaksanaan kita menunaikan tanggungjawab ini adalah sifat terpuji, mulia dan simbol orang yang beriman.


Soalan: Apakah maksud hutang dalam Islam?

Dari segi bahasa: dayn (hutang) ialah sebarang liability (tanggungan) masa hadapan yang dipertanggungkan atas seseorang sama ada dalam bentuk wang atau sebagainya.

Dari segi istilah: Ulama’ membahagikan dayn (hutang) kepada dua (2) jenis:

Umum: Iaitu hak atau tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh seseorang yang menanggung beban pada masa hadapan.

Khusus: Menurut jumhur atau majoriti ulama, sebarang kewajipan dalam bentuk kewangan  atas seseorang, yang terjadi kesan daripada pertukaran transaksi, kerosakan harta benda, kecederaan, ataupun untuk melunaskan hak-hak Allah seperti zakat.

Hutang menurut perundangan Islam mencakupi ruang lingkup yang luas iaitu bayaran kepada harga barangan, bayaran kepada qardh (hutang), bayaran mahr (mas kahwin) selepas isteri disetubuhi atau sebelumnya, yakni mahar yang belum dibayar selepas akad nikah, bayaran sewa, ganti rugi yang mesti dibayar kerana jenayah (arsy), ganti rugi atas kerosakan yang dilakukan, jumlah wang yang mesti dibayar kerana tebus talak (khuluk) dan barangan pesanan yang belum sampai (muslam fih). (Rujuk Wahbah al-Zuhayli al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu).


Soalan: Apakah hukum berkaitan hutang piutang?

kukuh-silaturahim-2

Memberi hutang hukumnya sunat dan sangat digalakkan kerana orang yang memberi hutang akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Allah. Ia merupakan satu amalan yang mulia jika tujuannya untuk menolong meringankan bebanan orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup, bukan dengan tujuan mengambil kesempatan atau faedah daripada orang yang berhutang. Manakala hukum berhutang pula harus. Walau bagaimana pun dalam lain-lain perkara, hukum berhutang  berubah mengikut keadaan. Jika seseorang itu benar-benar kesuntukan dan memerlukan wang untuk membiayai keluarganya, maka wajib ia berhutang.

Manakala hukum berhutang bagi pemiutang adalah berubah mengikut keadaan dalam tiga bentuk iaitu:

1.  Haram. Jika pemiutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan seperti minum arak, judi dan sebagainya.

2.  Makruh. Jika pemiutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau menunjuk-nunjuk. Ataupun penghutang tahu dia tidak mampu membayar semula hutang tersebut.

3. Wajib. Jika pemiutang mengetahui orang yang berhutang amat memerlukan hutang tersebut untuk menampung hidupnya dan keluarganya dan tiada cara lain untuk dia memperolehnya kecuali dengan cara berhutang.

Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.1


Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi

Ketua Jabatan Syariah Bank Muamalat Malaysia Berhad. Lulusan Sarjana Muda Undang-undang (Sivil dan Syariah) UIA dan Sarjana Undang-undang Perbandingan (Bidang Perbankan dan Kewangan Islam) UIA. Beliau pernah menjadi panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam TV1 dan penceramah Radio IKIM.FM.

Kembali ke atas