Menu

 

A+ A A-

BAHANA KERETA TERPAKAI

“Adik jangan risau. Kereta ini masih dalam keadaan tiptop lagi. Tak pernah accident. Dulu lady owner. Mileage pun rendah. Gerenti tidak menyesal punya,” ujar si jurujual.

Amalina pun terus memeriksa kereta tersebut dengan mata kasar beliau. Jurujual tersebut membuka pintu-pintu kereta dan bonet enjin kereta tersebut sambil berkata: “Hah tengok! Elok lagikan kereta ini? Tak ada yang rosak pun. Kesan kemik atau gesel pun tiada.” Tanpa berfikir panjang, Amalina pun bersetuju.

“Puan kena tandatangan di sini, di sini dan juga di sini. Untuk makluman puan, sewa beli kereta ini adalah untuk tempoh 60 bulan dan puan dikehendaki membayar sewa bulanan kereta ini tanpa gagal sebanyak RM700.00 sebulan hingga ke bayaran sewa yang terakhir,” terang pegawai bank kepada Amalina sebelum beliau menandatangani perjanjian sewa beli tersebut.

Selama 60 bulan, Amalina memakai kereta tersebut tanpa sebarang masalah dan tidak pernah terlibat dalam apa-apa kemalangan. Segala bayaran ansuran dibayar dengan baik oleh Amalina. Setelah tiba ke bulan 60, beliau pun membuat bayaran terakhir. Dengan itu, pihak bank pun menarik balik endorsement tuntutan hak milik kereta tersebut ke atas geran kereta tersebut.

bahana-kereta-terpakai-1

Kejutan PUSPAKOM

Amalina kemudian bercadang menjual Hondanya dan membeli Mini Cooper. Jurujual yang terlibat memaklumkan bahawa sudah ada pembeli yang berminat, namun mereka perlu membuat pemeriksaan kereta di PUSPAKOM terlebih dahulu. Ia syarat bagi pemindahan nama yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semenjak 1997. Amalina pun membawa keretanya ke PUSPAKOM bagi tujuan tersebut. “Puan, kami dapati bahawa kereta puan ini kereta potong. Oleh sebab itu, kami terpaksa menahan kereta puan untuk siasatan lanjut oleh Bahagian Kejuruteraan Auto JPJ,” jelas pemeriksa PUSPAKOM itu kepada Amalina. Amalina hanya mampu terkejut.

Sebulan selepas itu, beliau menerima sepucuk surat daripada JPJ yang menyatakan bahawa kereta Honda Jazz itu tidak boleh digunakan di mana-mana jalan raya di Malaysia atas sebab keselamatan. Terduduk Amalina apabila menerima surat itu. Sejurus itu, Amalina pergi ke kedai kereta terpakai tersebut. Malangnya dia dimaklumkan bahawa kedai tersebut telah lama ditutup dan tiada sesiapa yang tahu di mana jurujual kereta terpakai itu berada sekarang. Akhirnya Amalina pun mendapatkan khidmat peguam bagi mendapatkan khidmat nasihat undang-undang.

Kes Unik

“Puan, kes puan ini agak unik. Sekiranya pihak puan masih lagi berada dalam perjanjian sewa beli, maka tuntutan boleh dibuat terhadap pihak bank. “Ini kerana pihak bank merupakan pemilik bagi kereta puan semasa masih dalam jangka terma perjanjian sewa beli tersebut. Dan sebagai pemilik kereta, Seksyen 7 Akta Sewa Beli menetapkan bahawa pihak bank perlu mempunyai keupayaan untuk memberikan hak milik bersih kepada puan apabila puan membuat bayaran ansuran sewa yang terakhir. Ini selaras dengan kedudukan undang-undang dalam kes Public Bank Bhd. vs Ehwan Saring.

“Tetapi dalam kes puan ini, puan sudah pun membuat bayaran akhir dan bank telah pun menarik endorsement hak milik ke atas geran kereta puan. “Jika puan berminat, kita boleh jadikan kes ini sebagai kes ujian yang mana kita akan berhujah untuk mengubah kedudukan undang-undang ini sehingga ke peringkat Mahkamah yang paling tinggi sekali. Tetapi, ia akan mengambil masa yang lama dan menelan belanja guaman yang agak besar,” jelas puan Liza, seorang peguam kanan.

Amalina pun mengambil keputusan untuk menyaman pihak bank kerana kegagalan pihak bank untuk memastikan milikan bersih kereta tersebut semasa perjanjian sewa beli ditandatangani. Semasa dibicarakan di mahkamah, pegawai PUSPAKOM dan JPJ mengesahkan bahawa mustahil bagi orang awam untuk mengesan kesan-kesan potong sambung tersebut. Ia hanya dapat dikesan menggunakan peralatan dan teknik-teknik khas sahaja. Bahkan pegawai bank yang meluluskan pinjaman tersebut mengesahkan bahawa semasa kereta tersebut disewakan kepada Amalina, tiada sebarang pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak bank.

Amalina sendiri dalam keterangannya menyatakan bahawa beliau tidak pernah mengubah suai kereta tersebut dan beliau tidak pernah terlibat dalam mana-mana kemalangan sepanjang tempoh 60 bulan sewaan tersebut.

Keputusan Mahkamah

“Mahkamah mendapati bahawa plaintif iaitu Puan Amalina telah gagal dalam membuktikan kes beliau terhadap pihak bank atas sebab milikan kereta tersebut telah berpindah kepada plaintif sepenuhnya apabila pihak bank menarik endorsement hak milik ke atas geran kereta tersebut sebaik sahaja plaintif selesai membayar ansuran terakhir,” ujar hakim mahkamah tersebut. “Dengan ini, tanggungjawab kereta tersebut berpindah ke tangan plaintif sebaik sahaja endorsement tuntutan hak milik ditarik oleh pihak bank,” sambung hakim lagi.

Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Amalina membuat rayuan di Mahkamah Tinggi, namun Mahkamah Tinggi tetap menolak tuntutan rayuan Amalina. Peguam menasihatkan Amalina agar merayu ke Mahkamah Rayuan pula, tetapi disebabkan masalah kewangan yang meruncing, Amalina membuat keputusan untuk tidak meneruskan rayuannya.

bahana-kereta-terpakai-2

Mohamed Fadly Dato’ Zakaria
(Peguam di Advocates & Solicitors. Messrs Zuraidah Naziha & Fadly)
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu no.4


Mohamed Fadly Dato’ Zakaria

Peguam di Advocates & Solicitors. Messrs Zuraidah Naziha & Fadly.

Kembali ke atas