Menu

 

A+ A A-

DISKRIMINASI WANITA HAMIL

JULIA membelek-belek halaman surat khabar di hadapannya. Fikirannya melayang mengenangkan nasibnya yang masih belum mendapat sebarang pekerjaan lebih-lebih lagi setelah berumah tangga. Julia merasakan sekiranya dia bekerja, dia dapat meringankan beban suaminya yang hanya seorang juruteknik kilang. Hidup di Kuala Lumpur memang mencabar, apatah lagi jika seorang sahaja yang mencari sumber ekonomi keluarga.

Dibelek-beleknya laman demi laman. Tiba-tiba, matanya terpaku pada satu iklan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Selangor. Jawatan sebagai guru sandaran tidak terlatih. Dia menghubungi rakan-rakannya yang bekerja sebagai guru. Mereka memaklumkan bahawa guru sandaran adalah jawatan guru tidak tetap dan kontraknya diperbaharui secara bulanan.

“Daripada duduk menganggur di rumah, ada baiknya aku cuba mohon jawatan ini. Paling kurang, bolehlah aku membantu suami. Kalau ada rezeki lebih, mungkin aku boleh diserapkan ke jawatan tetap,” bisik hatinya.

Tanpa membuang masa, Julia pun membuat permohonan. Seminggu selepas itu, dia dipanggil untuk sesi temu duga, Julia dikehendaki mengisi beberapa helai borang dan dokumen. Dalam masa yang sama, Julia sedang hamil anak pertama dan hal ini langsung tidak ditanyakan oleh pihak Pejabat Pendidikan.

diskriminasi-wanita-hamil-1

Bertukar Duka

Selang seminggu kemudian, Julia menerima SMS yang menyatakan dia boleh memulakan kerja dengan melaporkan diri ke Pejabat Pendidikan untuk mendapatkan Memo Penempatan. Memo Penempatan inilah yang menentukan sekolah yang akan ditempatkan. Julia sujud syukur kerana doanya telah termakbul.

Pada hari yang dinantikan, Julia melaporkan diri untuk mendapatkan Memo Penempatan. Dalam sesi penerangan, kesemua bakal guru sandaran diterangkan tentang terma-terma perkhidmatan.

“Adalah kamu semua faham tentang terma-terma kontrak yang saya terangkan tadi? Ada apa-apa soalan?” ujar pegawai yang memberikan taklimat.

“Ada antara anda yang mengandung? Sila angkat tangan.” tanya pegawai tersebut.

Dua orang wanita sebayanya mengangkat tangan. Lalu Julia pun turut mengangkat tangan. Pegawai tersebut memanggil mereka.

“Minta maaf, saya terpaksa ambil semula Memo Penempatan kamu kerana polisi kami tidak membenarkan jawatan guru sandaran ini kepada mereka yang mengandung.”

Julia tergamam. Begitu mudah harapannya dirampas tanpa alasan munasabah. Menurut pegawai tersebut, ini adalah polisi Jabatan Pendidikan kerana guru sandaran mengandung akan menjejaskan produktivitinya sebagai seorang guru.

Julia menceritakan perkara itu kepada suaminya. Lantas suaminya menuliskan surat kepada Pejabat Pendidikan bagi mendapatkan jawapan. Alasan yang sama dikemukakan. Julia merasakan wanita mengandung didiskriminasikan. Dia telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). SUHAKAM bersetuju untuk membiayai yuran guaman bagi mencabar polisi berat sebelah ini.

diskriminasi-wanita-hamil-2

Diskriminasi

Menurut Encik Ridhwan, peguam yang mengendalikan kes ini, polisi Pejabat Pendidikan ini adalah diskriminasi kepada wanita mengandung. Ia bertentangan dengan hak perlembagaan beliau di bawah Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan. Menurut artikel tersebut, seseorang harus dilayan sama rata dan tidak boleh didiskriminasikan atas jantina individu bagi pelantikan sesuatu jawatan dalam perkhidmatan awam.

Bahkan, ia bertentangan dengan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women-CEDAW). Ini bermakna dalam perkhidmatan awam, sebarang diskriminasi terhadap wanita dilarang sama sekali.

Satu saman pemula difailkan di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan deklarasi bagi membatalkan polisi ini. Kes begini merupakan satu kes cubaan (try case) dan sekiranya mahkamah memihak kepada Julia, ia akan mengubah segala polisi diskriminasi dalam perkhidmatan awam.

Di mahkamah, pihak kerajaan telah membangkitkan bahawa CEDAW hanyalah panduan dan tidak terikat kepada undang-undang perlembagaan Malaysia. Peguamnya telah merujuk kepada kes Mohd Ezam Mohd Noor menentang Ketua Polis Negara. Ia memutuskan bahawa mana-mana deklarasi yang diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tidak mengikat undang-undang Malaysia melainkan dijadikan sebagai konvensyen ataupun perjanjian.

Rekod arkib negara jelas menunjukkan bahawa CEDAW merupakan satu konvensyen dan terpakai dengan undang-undang negara. Rekod itu juga menunjukkan kesungguhan Malaysia untuk mematuhi kehendak CEDAW ini.

Selanjutnya, pihak kerajaan berhujah bahawa sesuatu pekeliling kerajaan merupakan polisi kerajaan yang tidak boleh diubah oleh mahkamah. Dalam hal ini, peguamnya berhujah bahawa mahkamah perlu melihat isi kandungan pekeliling ini. Peguamnya melampirkan polisi bagi jawatan guru sandaran ini dan tiada dalam pekeliling larangan bagi wanita mengandung untuk memohon jawatan guru sandaran ini.

Bagi membolehkan Julia mendapatkan perlindungan hak layanan sama rata, Julia perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa haknya di bawah Artikel 8 (2) telah dicabuli. Ini berdasarkan kepada prinsip kes Beatrice Fernandez menentang Sistem Penerbangan Malaysia yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Keputusan Mahkamah

Pada hari keputusan, Julia melihat begitu ramai wartawan sudah memenuhi perkarangan mahkamah untuk mengetahui keputusan. Tepat jam 9.00 pagi, mahkamah telah bersidang “Setelah meneliti kertas-kertas klausa yang difailkan dalam tindakan ini dan setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati bahawa jelas tindak tanduk defendan telah memungkiri hak perlembagaan plaintif di bawah Artikel 8 (2). Dan bertentangan dengan CEDAW yang merupakan satu konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mana Malaysia merupakan satu pihak daripadanya.

Oleh yang demikian saya dengan ini membenarkan deklarasi bahawa plaintif berhak di lantik sebagai guru sandaran sungguhpun plaintif dalam keadaan mengandung. Deklarasi bahawa pekeliling Pejabat Pendidikan adalah tidak berperlembagaan dan deklarasi bahawa tindakan menarik balik Memo Penempatan adalah tidak berperlembagaan.”

Pengajaran:

Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kesamarataan individu dalam perkhidmatan awam. Mana-mana polisi ketidaksamarataan atau diskriminasi boleh dibatalkan kerana melanggar hak perlembagaan individu.

Setiap individu khususnya wanita hamil perlu diberi layanan sama rata. Mana-mana polisi yang mendiskriminasi wanita hamil perlu diubah atau dihapuskan sama sekali.

Kes di atas adalah berdasarkan kes Noorfadila binti Ahmad Saikin menentang Chayed Basirun dan lain-lain.

Wallahu a‘lam.

diskriminasi-wanita-hamil-4

Mohamed Fadly Dato' Zakaria
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


Mohamed Fadly Dato’ Zakaria

Peguam di Advocates & Solicitors. Messrs Zuraidah Naziha & Fadly.

Terkini daripada Mohamed Fadly Dato’ Zakaria

Kembali ke atas